Monday, April 20, 2009

ISLAM ITU MENGHIBURKAN BILA DISUBURKAN

Islam diturunkan oleh Allah Taala kepada Rasul-Nya, bukan semata mata ilmu untuk ilmu. Jauh sekali hanya sekadar mental exercise, atau sebagai bahan kajian.

Islam perlu dihidupkan dengan cara diyakini, dihayati, diamal dan dilaksanakan di dalam kehidupan. Sama ada dihidupkan di dalam kehidupan yang lahir ini, di dalam akal atau mental kita, lebih-lebih lagi di dalam jiwa kita.

Apabila dihidupkan Islam itu di dalam kehidupan kita ia akan jadi meriah sekaligus sebagai syiar di mayapada ini. Dengan itu Sunnah Rasulullah SAW akan menjadi pedoman hidup dan akan kelihatan lambang-lambang kebesaran Allah itu (ayatullah) di dalam kehidupan manusia. Sama ada di dalam kehidupan peribadi mahupun di dalam kehidupan bermasyarakat, di dalam kehidupan berpendidikan, di dalam ekonomi, di dalam kebudayaan, ketenteraan, di dalam pentadbiran, di dalam perhubungan dan lain-lain lagi.

Bagaimana Hidupkan Islam Agar Ia Meriah

Untuk menghidupkan Islam ia perlu dihidupkan atau dibangunkan di dalam akal, di dalam jiwa dan di dalam kehidupan yang lahir ini.

1. Yang pertama, menghidupkan Islam di dalam akal iaitu kita kenalah menguasai ilmunya. Sama ada ilmu aqidah, feqah, tasawuf, akhlak, tafsir dan lain-lain lagi dengan tepat. Apabila Islam itu dapat dihidupkan di dalam akal maka ia akan menjadi:

* Ia akan menjadi ilmu dan maklumat-maklumat yang dimiliki.
* Ia akan menjadi panduan di dalam kehidupan yang berbagai-bagai
* aspek.
* Ia akan dapat menyelesaikan berbagai-bagai masalah hidup apabila
* buntu
* Ia akan menjadi kawan secara maknawi pada seseorang itu.
* Dari ilmu boleh mendapatkan ilmu.
* Dengan ilmu ia akan dapat merujuk.
* Dengan ilmu ia akan dapat mendidik orang.
* Dengan ilmu akan dapat menguasai orang.
* Dengan ilmu akan dapat membangunkan kemajuan dunia dan Akhirat.


2. Yang kedua, menghidupkan Islam di dalam jiwa agar dengan berpandukan ilmu Islam itu dapat membangunkan sifat-sifat mahmudah di dalam jiwa atau hati, dengan kata-kata yang lain sifat-sifat mulia. Dengan itu akan lahirlah pada seseorang itu seperti sifat-sifat sabar, redha, tawakal, pemurah, lapang dada, pemaaf, meminta maaf, rendah diri (tawadhuk), penyayang, bertimbang rasa, lemah-lembut, jujur, adil, berlaku benar.

Dengan jiwa yang hidup itu seperti yang telah kita sebut di atas sangat membantu manusia melahirkan kehidupan di dalam masyarakat yang berkasih sayang, harmoni, aman damai, bertolong bantu, adil dan lain-lain lagi. Dari sini, hilang ketakutan, kebimbangan, huru-hara, krisis, pergaduhan dan peperangan yang sangat ditakuti oleh manusia.

Jiwa yang hidup itu memang manusia sejagat memerlukannya kerana di sanalah rahsia rukun damai di dalam kehidupan bermasyarakat atau bergaul. Tiada jiwa yang hidup atau dengan kata-kata lain tiada sifat-sifat batin yang mulia itu di kalangan manusia, akan wujud lawannya iaitu sifat-sifat mazmumah atau sifat-sifat yang keji seperti sombong, riyak, pemarah, gila puji dan nama, hasad, berdendam, bakhil, tamak, mementingkan diri dan lain-lain lagi.

Dari sifat-sifat yang keji tadi akan lahir buahnya di dalam masyarakat manusia seperti bersakit-sakit hati, berkecil-kecil hati, pergeseran, permusuhan, krisis, pergaduhan, pembunuhan dan seterusnya peperangan.
Akibat dari itu tiada siapa yang susah melainkan manusia itu sendiri.Dengan ulasan ini jelaslah pada kita dengan menghidupkan jiwa, akan meriahlah di dalam kehidupan manusia sesuatu yang positif atau akan lahirlah berbagai-bagai bentuk kebaikan yang faedahnya kembali kepada manusia itu sendiri.

3. Dengan menghidupkan Islam di dalam kehidupan yang lahir seperti sembahyang jemaah, berdakwah, bermesyuarat, membaca Al Quran, berzikir, menutup aurat, membanyakkan sedekah, menolong orang yang susah dengan wang ringgit dan tenaga, bertolong bantu, mengutamakan orang lain, bersimpati dengan kesusahan orang, melahirkan kegembiraan di atas kegembiraan kawan, membayar hutang orang, memberi hadiah, mengajar orang yang jahil, memberi nasihat bagi orang yang buntu atau yang memerlukan nasihat, melupakan kesalahan kawan bahkan memaafkannya, menziarahinya, kunjung-mengunjung, menerima jemputan yang dihalalkan, berniaga dengan tujuan khidmat dan menjalinkan kasih sayang di antara peniaga dan pelanggan, menerima dan menghormati tetamu, menunjuk jalan bagi orang yang sesat jalan, menghormati ibu ayah, orang tua, pemimpin dan guru, mengasihi kanak-kanak,bertimbang rasa kepada manusia, bertolak ansur.

Dari menghidupkan Islam di dalam kehidupan yang lahir hingga menjadi budaya hidup di kalangan umat Islam, akan terserlahlah syiar-syiar Islam atau ayatullah atau lambang-lambang kebesaran Allah di dalam kehidupan umat Islam. Inilah yang dimaksudkan oleh Allah Taala di dalam sepotong ayat Al Quran yang berbunyi:

Ertinya:
" Barangsiapa membesarkan syiar-syiar Allah maka sesungguhnya ia daripada hati yang bertaqwa"
(Al Haj: 32)

Untuk menghidupkan Islam agar ia meriah di dalam akal, jiwa dan kehidupan lahir, memerlukan ilmu, mujahadah yang serius serta berterusan, pimpinan guru serta memohon selalu kepada Allah Taala agar memberi hidayah dan taufiq.

Tanpa ilmu, juga mujahadah yang berterusan serta tanpa pimpinan guru dan hidayah dan taufiq dari Allah Taala, tidak mungkin Islam itu dapat dimeriahkan di dalam diri dan kehidupan manusia . Oleh itu perjuangan yang gigih dan istiqamah dengan dipandu oleh ilmu yang tepat serta pimpinan guru amat diperlukan oleh umat Islam. Tanpanya, segala-galanya akan gagal, tanpanya hanya akan tinggal di dalam slogan dan saranan-saranan, tanpanya hanya tinggal angan-angan dan ucapan.

0 comments:

Post a Comment