Pada suatu hari ketika 'Uzair memasuki kebunnya yang menghijau dengan  pokok-pokok tamar dan tiba-tiba hatinya telah terpesona serta tertarik  untuk memikirkan rahsia keindahan dan keajaiban alam ini. Sesudah  memetik buah-buahan dia pulang dengan keldainya sambil menikmati  keindahan-keindahan alam sekitarnya sehingga keldai yang ditungganginya  tersesat jalan. Setelah sekian lama barulah dia sedar bahawa dia telah  berada di suatu daerah yang tidak dikenali oleh beliau serta sudah jauh  dari negerinya sendiri.
Sebaik sahaja dia sampai ke daerah itu dilihatnya kampung itu baru  sahaja diserbu oleh musuh-musuh sehingga menjadi rosak-binasa sama  sekali. Di tapak atau bekas runtuhan terdapat mayat-mayat manusia yang  bergelimpangan yang sudah busuk serta hancur. Melihatkan pemandangan  yang mengerikan itu, dia pun turun dari keldainya dengan membawa dua  keranjang buah-buahan. Manakala keldainya itu ditambat di situ, kemudian  dia pun duduk bersandar pada dinding sebuah rumah yang sudah runtuh  bagi melepaskan penatnya. Dalam pada itu, fikirannya mula memikirkan  mayat manusia yang sudah busuk itu.
"Bagaimana orang-orang yang sudah mati dan hancur itu akan dihidupkan  oleh Tuhan kembali di negeri akhirat?" begitulah pertanyaan yang datang  bertalu-talu dan tidak terjawab olehnya sehingga dia menjadi  lemah-longlai dan kemudian terus tertidur. Dalam tidur itu, dia  seakan-akan bertemu dengan semua arwah (roh-roh) orang-orang yang sudah  meninggal itu. Tidurnya amat luar biasa sekali, bukan hanya sejam atau  semalam, tetapi dia telah tidur terus-menerus tanpa bangun-bangun selama  seratus tahun lamanya.
Dalam masa dia tertidur itu, keadaan di sekitarnya sudah ramai lapisan  baru, rumah serta bangunan-bangunan banyak yang telah didirikan. Dalam  masa seratus tahun itu, segala-galanya sudah berubah, manakal 'Uzair  tetap terus tidur tersandar di dinding buruk itu menjadi jasad (tubuh)  yang tidak bernyawa lagi. Dagingnya sudah hancur dan tulang belulangnya  sudah hancur lebur berderai. Kemudian jasad 'Uzair yang telah mati, daging dan tulangnya  yang sudah hancur itu disusun kembali oleh  Allah s.w.t. pada bahagiannya  masing-masing lalu ditiupkan ruhnya. Dan ketika itu juga 'Uzair hidup  kembali seperti dahulu. 'Uzair terus berdiri seperti orang yang bangun  dari tidur lantas dia mencari keldai dan buah-buahannya di dalam  keranjang dahulu.
Tidak berapa lama kemudian, turunlah beberapa malaikat seraya bertanya,  "Tahukah engkau ya 'Uzair berapa lama engkau tidur?" Tanpa berfikir panjang 'Uzair menjawab, "Saya tertidur sehari  dua ataupun setengah hari." Lalu malaikat pun berkata kepadanya, "Bahawa engkau terdampar di  sini genap seratus tahun lamanya. Disinilah engkau berbaring, berhujan  dan berpanas matahari, kadang-kadang ditiup badai dan berhawa sejuk dan  juga panas terik. Dalam masa yang begitu panjang, makanan engkau tetap  baik keadaannya. Tetapi cuba lihat keadaan keldai itu, dia sendiri pun  sudah hancur dan dagingnya sudah busuk."
Berkata malaikat lagi, "Lihatlah dan perhatikanlah sungguh-sungguh.  Demikianlah kekuasaan Allah s.w.t..                         Allah s.w.t. dapat menghidupkan  kembali orang yang sudah mati dan mengembalikan jasad-jasad yang sudah  hancur lebur dan dengan semudah itu pulalah  Tuhan akan membangkitkan semua  manusia yang sudah mati itu nanti di akhirat untuk diperiksa dan diadili  segala perbuatannya. Hal ini diperlihatkan oleh  Tuhan kepada engkau supaya iman  engkau tetap dan engkau sendiri dapat menjadi bukti kepada  manusia-manusia lain supaya engkau dan manusia-manusia lain tiada syak  dan ragu-ragu lagi tentang apa yang diterangkan  Tuhan  tentang akhirat itu."
Setelah 'Uzair melihat makanan dan keldainya yang sudah hancur itu, maka  'Uzair pun berkata, "Sekarang tahulah saya bahawa  Allah s.w.t. itu adalah berkuasa ke  atas tiap-tiap sesuatu." Tiba-tiba keldai yang sudah hancur berderai  itu dilihatnya mulai dikumpulkan daging dan tulangnya. Dan akhirnya  menjadi seperti sediakala iaitu hidup kembali bergerak-gerak dan berdiri  sebagaimana sebelum mati. Maka 'Uzair pun berkata, "Sekarang tahulah  saya bahawa  Allah s.w.t. berkuasa di atas  segala-galanya." Lalu dia pun terus mengambil keldainya dahulu dan terus  menunggangnya pulang ke rumahnya dahulu dengan mencari-cari jalan yang  sukar untuk dikenali. Dilihatnya segala-gala telah berubah. Dia cuba  mengingati apa yang pernah dilihatnya seratus tahun dahulu. Setelah  menempuhi berbagai kesukaran, akhirnya dia pun sampai ke rumahnya.  Sebaik sahaja dia sampai di situ, dia mendapati rumahnya sudah pun buruk  di mana segala dinding rumahnya telah habis runtuh. Semasa dia  memandang keadaan sekeliling rumahnya, dia ternampak seorang perempuan  tua, lantas dia pun bertanya, "Inikah rumah tuan 'Uzair?"
"Ya," jawab perempuan itu. "Inilah rumah 'Uzair dahulu, tetapi 'Uzair  telah lama pergi dan tiada didengar berita tentangnya lagi sehingga  semua orang pun lupa padanya dan saya sendiri tidak pernah menyebut  namanya selain kali ini sahaja." Kata perempuan itu sambil menitiskan airmata. 'Sayalah 'Uzair," jawab 'Uzair dengan pantas. "Saya telah  dimatikan oleh  Tuhan seratus tahun dahulu dan  sekrang saya sudah dihidupkan oleh  Allah s.w.t. kembali." Perempuan  tua itu terkejut seakan-akan tidak percaya, lalu dia pun berkata,  "'Uzair itu adalah seorang yang paling soleh, doanya selalu dimakbulkan  oleh  Tuhan dan telah banyak jasanya di  dalam menyembuhkan orang yang sakit tenat." Sambunya lagi, "Saya ini  adalah hambanya sendiri, badan saya telah tua dan lemah, mata saya telah  pun buta kerana selalu menangis terkenangkan 'Uzair. Kalaulah tuan ini  'Uzair maka cubalah tuan doakan kepada  Tuhan supaya mata saya terang  kembali dan dapat melihat tuan."
"Uzair pun menadah kedua belah tangannya ke langit lalu berdoa ke hadrat  Tuhan. Tiba-tiba mata orang tua  itupun terbuka dan dapat melihat dengan lebih terang lagi. Tubuhnya yang  tua dan lemah itu kembali kuat seakan-akan kembali muda. Setelah  merenung wajah 'Uzair dia pun berkata, "Benar, tuanlah 'Uzair. Saya  masih ingat." Hambanya itu terus mencium tangan 'Uzair lalu keduanya  pergi mendapatkan orang ramai, bangsa Israil. 'Uzair memperkenalkan  dirinya bahawa dialah 'Uzair yang pernah hidup di kampung itu lebih  seratus tahun yang lalu.
Berita itu bukan sahaja mengejutkan bangsa Israil, tetapi ada juga  meragukan dan ada yang tidak percaya kepadanya. Walau bagaimanapun  berita itu menarik perhatian semua orang yang hidup ketika itu. Kerana  itu mereka ingin menguji kebenaran 'Uzair. Kemudian datanglah anak  kandungnya sendiri seraya bertanya, "Saya masih ingat bahawa bapa saya  mempunyai tanda di punggungnya. Cubalah periksa tanda itu. Kalau ada  benarlah dia 'Uzair."Tanda itu memang ada pada 'Uzair, lalu percayalah sebahagian  daripada mereka. Akan tetapi sebahagian lagi mahukan bukti yang lebih  nyata, maka mereka berkata kepada 'Uzair, "Bahawa sejak penyerbuan  Nebukadnezar ke atas bangsa dan negara Israil dan setelah tentera  tersebut membakar kitab suci Taurat, maka tiadalah seorang pun bani  Israil yang hafal isi Taurat kecuali 'Uzair sahaja. Kalau benarlah tuan  Uzair, cubalah tuan sebutkan isi Taurat yang betul."
'Uzair pun membaca isi Taurat itu satu persatu dengan fasih dan lancar  serta tidak salah walaupun sedikit. Mendengarkan itu barulah mereka  percaya bahawa sungguh benar itulah 'Uzair. Ketika itu, semua bangsa  Israil punpercaya bahawa dialah 'Uzair yang telah mati dan dihidupkan  semual oleh Tuhan. Banyak di antara mereka yang  bersalam dan mencium tangan 'Uzair serta meminta nasihat dan panduan  daripadanya. Tetapi sebahagian daripada kaum Yahudi yang bodoh  menganggap 'Uzair sebagai anak  Tuhan pula.  Maha Suci Allah tidak mempunyai anak samada  'Uzair mahupun Isa kerana semua makhluk adalah kepunyaan-Nya  belaka. Janganlah  kita was-was tentang kekuasaan  Allah s.w.t., maka hendaklah dia  fikir siapakah yang menciptakan dirinya itu. Adalah mustahil sesuatu  benda itu terjadi dengan sendirinya tanpa ada yang menciptakan. Kalau  masih ada orang yang ragu-ragu tentang kekuasaan  Allah s.w.t., ubatnya hanya satu  sahaja, hendaklah dia membaca dan memahami al-Quran, was-was terhadap kekuasaan  Allah  s.w.t. itu hanya datangnya dari syaitan.
 Allah s.w.t. telah meletakkan akal  dalam kepala kita untuk berfikir, oleh itu gunakanlah akal kita untuk  berfikir.






0 comments:
Post a Comment