Rasulullah SAW dan Khulafaur Rasyidin telah dapat dapat mengislamkan tiga perempat dunia, bermula dengan negara Islam kecil Madinah dan Mekah, bukan melalui proses pilihan raya tetapi melalui kaedah dakwah dan tarbiah. Sedangkan orang-orang politik hari ini mahu mengislamkan dunia dengan menguasai negara melalui sistem kotor pilihan raya secara Barat. Termasuk dalam golongan ini ialah orang politik yang cenderung untuk menegakkan negara Islam.
Sejarah perjuangan Islam sedang berulang di Malaysia. Yakni terdapat gerakan-gerakan Islam yang mahukan pendekatan kepada daulah Islamiah dan empayar Islam melalui motivasi dan pendidikan. Namun masyarakat jadi bingung kerana ada pula pihak yang mendakwa bahawa daulah Islamiah hanya boleh terjadi melalui pilihan raya. Yang mana satukah yang betul? Politik Islam atau politik Barat yang benar-benar dapat menegakkan Islam dan daulah Islamiah?
Untuk memudahkan umat Islam menilai dan mencari kebenaran, saya suka untuk membandingkan hasil pencapaian oleh kedua-dua kelompok ini. Iaitu perjuangan melalui politik dan melalui motivasi dan pendidikan. Politik Islam (melalui motivasi dan pendidikan) sudah berjalan 40 tahun di Malaysia, manakala politik Barat yang diperjuangkan oleh parti Islam sudah menjangkau lebih 50 tahun. Mari kita lihat perbezaan hasil-hasil yang diperolehi oleh kedua-dua bentuk perjuangan politik yang sedang berlaku di Malaysia kini.
1. Mesej Perjuangan
Mesej yang diperjuangkan serta teknik penyampaian pejuang Islam melalui jalan politik Barat hanya menumpukan perhatian kepada mendapatkan kuasa politik. Untuk tujuan memerintah negara atau negeri. Mesej yang disampaikan cuma berkisar di sekitar persoalan daulah, politik, hukum-hukum hudud, qisas serta yang bersifat negara. Tetapi tentang iman, taqwa, akhlak tidak diambil berat. Padahal intipati Islam ialah perkara-perkara yang disebutkan tadi. Orang masuk Syurga kerana tiga perkara tadi. Orang masuk Neraka pun kerana mengabaikan tiga perkara tadi juga. Waktu kempen pilihan raya itu sembahyang pun diabai dan dicuaikan.
Teknik penyampaian mesej yang digunakan ialah melalui ceramah, pidato, kempen secara tulisan, lisan, rakaman kaset dan video. Usaha-usaha serius hanya dibuat di waktu hampir pilihan raya lima tahun sekali. Selepas itu banyak rehat. Matlamatnya ialah menang pilihan raya dan dapat kuasa untuk memerintah. Dari sanalah diharapkan tertegaknya negara atau negeri Islam dan masyarakat Islam.
Sebaliknya pejuang-pejuang Islam melalui motivasi dan pendidikan, menumpukan perhatian kepada individu-individu masyarakat sama ada kepada umat Islam mahupun bukan Islam. Menyeru mereka mencintai Allah dan kehidupan di Akhirat supaya mereka menjalankan hukum Allah dalam diri dan keluarga serta masyarakat. Para pejuang Islam ini berusaha untuk menarik setiap orang supaya kembali ke jalan Allah, taat pada segala titah perintah dan meninggalkan larangan-Nya. Mesej perjuangan ialah iman dan taqwa.
Dengan iman dan taqwa, masyarakat akan membuat perubahan kepada cara hidup Islam. Dari sana akan terbentuk masyarakat Islam dan negara Islam. Siapa yang berkuasa tidak penting dan tidak semestinya parti atau jemaah Islam sendiri yang memerintah.
Untuk tujuan menarik individu supaya sanggup mengamalkan Islam, pejuang-pejuang Islam itu telah mengambil berbagai-bagai bentuk pendekatan. Melalui ceramah, majalah, buku-buku, kaset, video, bergaul mesra dengan semua golongan dengan membawa contoh atau akhlak yang baik, khidmat masyarakat, ziarah, ekonomi, budaya, perkampungan dan bandar contoh, pendidikan, kesihatan, penternakan, teknologi tinggi ekspo dan lain-lain lagi.
Pendek kata, apa saja bidang hidup yang diceburi oleh manusia, maka ke sanalah pejuang-pejuang Islam ini melibatkan diri dengan membawa mesej iman dan taqwa serta Islam sebagai cara hidup. Mereka mahukan perubahan masyarakat kepada cara hidup Islam. Supaya mereka dapat mengecapi nikmat hidup yang hakiki dan abadi di dunia dan Akhirat. Lalu mereka mengambil kaedah memberi motivasi dan mendidik manusia, Islam dan bukan Islam. Terutama menegakkan Rukun Iman dan Rukun Islam manakala parti politik mahukan kuasa memerintah supaya hukum Islam dapat ditegakkan, tanpa mengusahakan perubahan masyarakat kepada cara hidup Islam. Dan juga tanpa memikirkan untuk mengislamkan orang yang bukan Islam. Yang penting, orang ramai menyokong partinya. Sekalipun orang yang menyokong mereka tidak sembahyang atau orang jahat. Kadang-kadang parti-parti itu mencalonkan orang yang berpengaruh di dalam parti atau dalam masyarakat walaupun dia orang jahat.
2. Tegak Islam secara syumul
Perjuangan orang-orang politik melalui sistem pilihan raya hingga kini sudah menjangkau lebih 50 tahun. Pernah menang pilihan raya di dua buah negeri di Malaysia (Kelantan dan Terengganu). Tetapi kemudian tewas. Kini sedang memerintah di satu negeri sahaja iaitu Kelantan. Yakni sudah 50 tahun baru dapat satu negeri. Berapa tahun lagi agaknya boleh dapat seluruh Malaysia? Dan bila lagi Islam itu hendak diisi di dalam negeri? Dan bila lagi mahu berusaha mengislamkan orang yang bukan Islam?
Sedangkan selagi belum dapat menguasai Kerajaan Pusat, selama itulah pejuang-pejuang Islam melalui politik pilihan raya akan mengatakan Islam tidak dapat ditegakkan secara syumul. Apakah hendak menegakkan Rukun Islam dan Rukun Iman perlu dapat kuasa Kerajaan Pusat lebih dahulu? Terpaksalah rakyat atau ahli-ahli parti menanti dan menanti terus untuk mengecapi kesyumulan hukum Islam. Hingga hampir berlaku dan berlalu satu generasi pun belum berpeluang mereka merasai nikmat hidup dalam suasana masyarakat Islam. Rumah tangga Islam pun belum wujud lagi, sekalipun oleh pemimpinnya sendiri.
Jemaah Islam yang berjuang melalui politik Islam tulen kini menjangkau umur 40 tahun. Hasil motivasi dan pendidikan serta kasih sayang, terjadi satu perubahan budaya yang besar dalam masyarakat. Yakni umat Islam ghairah mengamalkan cara hidup Islam dan hukum-hukum Allah terserlah perlaksanaannya di bumi Malaysia. Bahkan penutupan aurat pun adalah dari hasil usaha pejuang-pejuang seperti ini, bukan pejuang-pejuang politik pilihan raya. Walhal sebelum ini, yakni sebelum dan selepas merdeka, Malaysia dilanda budaya kuning Barat yang kotor itu, sekaligus menyapu cara hidup Islam dari kehidupan peribumi. Yang tinggal hanya asas-asas Islam sahaja. Tetapi kini, 40 tahun kebelakangan, tiupan bayu Islam oleh hembusan para motivator dan pendidik ini telah menyuburkan kembali hukum-hukum dan syiar Islam di bumi tercinta.
Dunia mengakui kini, bahawa Malaysia merupakan negara pengamal Islam yang terbaik di dunia. Ianya begitu terserlah dalam kehidupan hari ini. Bukan oleh orang politik pilihanraya tapi oleh motivator dan pendidik Islam. Antaranya:
a.Penutupan aurat sudah merata ke seluruh pejabat, universiti, sekolah, firma, bandar, kampung, di darat dan di laut. Wanita kembali menutup aurat dengan purdah dan mini telekung. Lelaki bermahkota serban dan kopiah serta mengenakan baju Melayu atau jubah. Walau dihalang, namun perkembangannya kian pesat menyelinap ke segenap pelosok negara. Ini termasuklah wanita-wanita yang bekerja sebagai anggota polis dan tentera. Pakaian seragam mereka pun sudah menutup aurat.
b. Sembahyang fardhu di masjid, surau, pejabat, di lapangan terbang, di stesen keretapi dan bas dan lain-lain lagi, kian menjadi pemandangan biasa. Pemandangan ini tidak pernah wujud sebelum ini. Sekarang ia sedang berkembang dan meningkat. Di bandar-bandar terutamanya, program qiamullail sudah lumrah.
c. Kelas-kelas pengajian agama, fardhu ain, kursus-kursus agama dan lain-lain tumbuh bagai cendawan di musim hujan di pejabat-pejabat, universiti dan lain-lain lagi. Masyarakat sudah cinta dengan agamanya. Lalu mereka mengusahakan atau menuntut dan memperjuangkan program-program yang boleh menghidupkan agama. Walhal sebelum ini, agama dianggap serong dan kolot. Tetapi kini agama dijunjung dan kelas-kelas agama dikerumuni. Masyarakat mendidik dan mengajar diri supaya menjadi insan bertaqwa dan saleh. Yang mengusahakan itu pula dari kalangan cerdik pandai sekular. Sesetengahnya pula, yang baru balik dari luar negara.
Hasil meningkatnya kesedaran Islam, meningkatnya ibadah dan penutupan aurat, maka umat Islam mula mengorak langkah kepada hukum-hukum Allah yang lain. Mereka membangunkan perkampungan-perkampungan Islam, demi mencetuskan suasana hidup Islam secara syumul. Sekaligus tercetusnya masyarakat Islam. Mereka berkorban dan berjuang dengan serius untuk niat tadi. Maka kini di Malaysia, sudah masyhur perihal adanya kampung-kampung atau madinah (bandar) Islam dibangunkan oleh badan-badan Islam. Walaupun kampung-kampung itu kecil, tetapi di dalamnya pencinta-pencinta Islam dapat merasai sistem kehidupan Islam yang murni.
Di sana mereka melepas rindu dengan hukum-hukum Allah, dengan Al Quran dan Hadis, dengan kehidupan Sunnah. Walaupun kecil tetapi pengaruhnya cukup besar. Umat Islam dan bukan Islam, dalam dan luar negara berpusu-pusu datang untuk melihat model masyarakat dan negara Islam kecil yang telah berlaku di Malaysia. sistem-sistem pendidikan Islam, ekonomi, sosial, politik, kesihatan, perhubungan, pentadbiran, pertanian, sains dan teknologi, media cetak dan elektronik, studio rakaman, pentas budaya dan lain-lain cara hidup yang Islamik.
Dunia terperanjat dengan kemunculan sistem yang luar biasa ini di tengah-tengah sistem jahiliah moden kini, walaupun ia belum begitu subur. Padahal mereka itu belum dapat negara dan belum dapat kuasa lagi. Kebangkitan kembali Islam melalui motivasi dan pendidikan amat terasa bilamana orang menyaksikan realiti wujudnya masyarakat Islam mirip salafussoleh ini. Kebangkitan Islam ini dikaitkan dengan gelombang gerakan motivasi dan pendidikan, tidak kepada laungan politik pilihan raya.
Inspirasi dari kesyumulan Islam yang tercetus di kampung-kampung Islam, telah mempengaruhi masyarakat umum Islam untuk menirunya dan mendapat kekuatan baru untuk lebih serius mengamalkan Islam. Mereka menuntut diadakan bank-bank Islam, surau di pejabat dan sekolah, pendidikan Islam, memakai seluar panjang bagi pelajar lelaki dan bertudung bagi pelajar perempuan sejak sekolah rendah lagi.
Kini di Malaysia hampir keseluruhan bank telah menyiapkan kaunter untuk sistem perbankan Islam. Di pejabat dan di sekolah-sekolah sudah disediakan surau-surau. Semua ini terhasil bukan atas kesedaran politik tetapi hasil motivasi dan didikan. Pada tahun 1993, sekolah-sekolah agama di Kedah terpaksa diperbesar dan dibanyakkan bilangannya kerana sudah ramai ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama, bermula dari sekolah rendah lagi. Di sesetengah tempat pula, ada sekolah-sekolah kebangsaan yang terpaksa ditutup kelas kerana tidak cukup bilangan pelajarnya.
Hasil pelancaran ekonomi secara komersil oleh badan-badan Islam, sudah ramai peniaga dan ahli-ahli ekonomi di Malaysia dan di luar negara yang cenderung mengamalkan ekonomi Islam. Mereka telah mula memberi kerjasama kepada badan Islam. Bahkan ekonomi komersil Islam ini telah menarik perhatian negara luar, misalnya Filipina. Presidennya telah mengizinkan badan korporat di negaranya untuk menandatangani memorandum persefahaman dengan syarikat saya ketika itu.
Bagaikan sebuah negara (yakni negara kecil dalam negara besar Malaysia), jemaah saya pada waktu itu mempunyai hubungan perniagaan dengan Filipina. Sistem ekonomi Islam telah menjadi laluan dakwah yang berkesan. Kerana itu, orang-orang Kristian di Filipina telah ramai yang memeluk Islam termasuk pegawai Bahagian Keselamatan di istana Presiden sendiri (Istana Malacanang) yang pengislamannya telah mendorong pula isteri dan bapa mentuanya untuk turut memeluk Islam.
Di Indonesia, minda jemaah saya telah menarik minat Presiden Soeharto. Bergegar Indonesia oleh kesedaran Islam yang masuk ke hati presidennya waktu itu. Bapak Presiden yang telah insaf telah menutup kilang-kilang arak. Ini berlaku bukan melalui badan politik tetapi atas kesedaran dan keinsafan Presiden. Hukum-hukum Islam sudah mula mendapat tempat istimewa. Dan badan Islam dari Malaysia telah mendapat kasih sayang dan hubungan baik dengan Indonesia walaupun negaranya sendiri mengharamkannya.
Inilah kesan dakwah. Perutusan minda yang membawa iman dan Islam telah menghubungkan negara-negara luar dengan jemaah kecil ini. Sedangkan badan-badan politik masih terkial-kial untuk cuba mendapatkan Malaysia. Sedangkan di luar negara tidak ada markas dan tidak ada aktivitinya.
Di Jordan, sudah ramai rakyatnya yang memandang ke Malaysia untuk sama-sama menyertai kebangkitan Islam oleh badan Islam dari Malaysia, bukan badan politik. Ertinya, perubahan sosial terjadi di Timur Tengah adalah kesan dari kebangkitan Islam di Timur Jauh.
Di China (Yunnan), pemimpin badan Islam dari Malaysia diberi penghormatan untuk memimpin kesatuan mereka iaitu sebagai Presiden Kehormat Seumur Hidup bagi Yayasan Penyelidikan Cheng Ho. Anehnya, jawatan tersebut tidak diberi kepada pemimpin politik pilihan raya yang berslogankan Islam dari Malaysia. Sedangkan semua maklum, bangsa Cina bukanlah satu bangsa yang mudah tunduk pada bangsa-bangsa lain. Sikap prejudisnya tebal. Tetapi sikap itu tidak ditujukan pada pemimpin Islam yang membawa motivasi dan didikan.
Ini membuktikan bahawa kepimpinan pemimpin motivasi dan pendidikan boleh diterima oleh mana-mana negara tanpa ada sekatan sempadan. Walaupun dia belum ada kuasa. Tetapi bagi pemimpin politik pilihan raya, kepimpinannya terbatas hanya di negaranya sendiri. Maknanya, pengaruhnya amat terbatas dibandingkan dengan pengaruh pemimpin motivasi dan pendidikan.
Demikian juga di Turki, akhbar, majalah dan TV (stesen TV swasta TGRT) begitu ghairah menyiarkan berita-berita badan Islam dari Malaysia, bukan badan politik. Hal yang sama lebih hebat terasa di Thailand, Singapura dan Brunei Darussalam, negara tetangga Malaysia. Dan yang terakhir di Filipina.
Badan politik selalu melaung-laungkan perkataan-perkataan Islam universal, perpaduan ummah dan negara Islam, yang membayangkan luasnya skop perjuangan mereka. Tetapi hingga kini, sudah lebih 50 tahun, kita belum dengar mereka mengirim duta-duta ke negara-negara luar, supaya berlaku hubungan dua hala dengan negara dan rakyat. Sama ada di sudut ekonomi, kebudayaan, pendidikan dan lain-lain lagi. Tidak dinafikan, wakil-wakil mereka memang ada di sana, tetapi operasi dan usaha mereka menerapkan Islam sebagai cara hidup kepada seluruh negara dan bangsa tidak berlaku.
Badan Islam, kerana menyedari Islam itu milik semua bangsa, bukan untuk bangsa Malaysia sahaja, telah melakukan operasi dakwah secara serius dan istiqamah di negara negara luar. Terdapat pejabat-pejabat perhubungan dan projek-projek Rufaqa’ di kebanyakan negara di dunia. Bahkan orang-orang Arab, Inggeris, Amerika, Australia, Perancis, Jerman, Singapura, Brunei, China, Uzbekistan, Mesir, Indonesia, Thailand, Filipina dan lain-lain, telah memberi kerjasama dan turut sama mendokong perjalanannya.
Duta-duta kecil badan Islam ini bekerja lebih gigih dari sesetengah orang kedutaan mana-mana negara, dalam usaha menyebarkan Islam dan memperkenalkan negaranya kepada negara di mana mereka berada. Kini badan Islam dari Malaysia mempunyai pengaruh yang besar dan nama yang masyhur di luar negara. Badan politik kelihatan belum dapat melakukannya. Melalui Biro Kebudayaan, badan Islam itu pernah menggemparkan England dan lain-lain negara Eropah dengan road show Mawaddah. TV Jordan, TV Mesir, TV Uzbekistan, TV Australia, TV Thailand, TV Singapura, TV Indonesia, TV Brunei dan TV Perancis, pernah menyiarkan persembahan nasyid oleh kumpulan Mawaddah dari badan Islam Malaysia itu.
4. Mengislamkan atau menarik minat orang kafir
Badan politik tidak punya potensi dalam usaha untuk menarik orang bukan Islam supaya memeluk Islam. Sedangkan di antara tugas pejuang Islam ialah menyelamatkan manusia daripada masuk ke Neraka. Namun laluan politik melupakan tanggungjawab ini. Badan Islam memang memberi perhatian serius dalam hal ini. Mereka bukan sekadar mengislamkan orang bahkan menubuhkan institusi untuk mendidik bahkan merancang masa depan hidup mereka, mengahwinkan, memberi peluang kerja dan belajar serta menyediakan sara hidup. Kemampuan menampung dan menjamin keislaman supaya Islam benar-benar menjadi cara hidup para mualaf ini adalah kebolehan khusus badan Islam ini. Stail perjuangan Islam melalui motivasi dan pendidikan, kaedah dan teknik serta matlamat yang telah digariskan telah melengkapkan kelayakan untuk membawa orang bukan Islam kepada hidup Islam. Bahkan jemaah Islam yang saya lagang, telah meneroka era ‘zimmi jemaah’ sejak dahulu lagi. Ertinya sudah berlaku dalam jemaah Islam, orang-orang bukan Islam memberi kasih sayang, ketaatan dan pengaruh kepada perjuangan Islam melalui badan motivasi dan pendidikan ini, terutama apa yang sedang berlaku di Thailand, Filipina, Indonesia dan Malaysia sendiri. Kerana melalui jemaah Islam mereka melihat kebenaran perjuangan, kebaikan dan keadilan serta keindahan Islam yang sangat menawan hati. Namun mereka sayang dengan agama asal. Maka tetaplah mereka sebagai bukan Islam tetapi sangat memberi kemudahan kepada perjuangan Islam. Bahkan sebahagian kecil mereka masuk Islam. Ini adalah ulangan sejarah. Di zaman Rasulullah ada orang-orang bukan Islam yang sayang dengan Raslullah dan membantu perjuangan Islam. Dalam negara Islam, mereka dinamakan kafir zimmi. Negara menaungi mereka dan mereka taat kepada pemerintah Islam. Di dalam jemaah, mereka juga boleh disebut zimmi jemaah. Hal ini adalah tanda-tanda kebenaran serta perkembangan yang meyakinkan bahawa politik Islam melalui motivasi dan pendidikan sedang menapak selangkah demi selangkah menuju kepada Futuh Mekah kali kedua, yakni daulah Islamiah. Dengan kata lain, jemaah Islam sedang menyiap dan memperkemas diri untuk menjadikan Malaysia sebagai daulah Islamiah, jika ditakdirkan oleh Allah. Tanpa demokrasi, tanpa pilihan raya.
5. Mengancam musuh dan lawan
Parti politik mempunyai banyak musuh dan lawan, seelok mengisytiharkan diri sebagai parti pembangkang. Permusuhan adalah berpunca daripada keinginan memerintah, yakni merebut kuasa pemerintahan dari parti pemerintah. Namun hingga kini, sesudah 50 tahun berjuang, pejuang-pejuang Islam melalui politik pilihan raya belum meyakinkan bahawa Islam itu indah. Kerana peribadi pejuang-pejuang politik tidak meyakinkan orang ramai kerana keindahan Islam tidak ada di dalam kehidupan mereka.
Bahkan akhir-akhir ini ketika parti pemerintah sudah lemah pun, parti pembangkang yang bercita-cita Islam ini lagi lemah hingga tidak dapat menjatuhkan musuhnya. Hinggakan musuhnya kini merasa selesa sahaja berhadapan dengan parti tersebut walaupun mereka lemah. Dalam hal menegakkan hukum hudud, yang menjadi cita-cita penting dan utama pejuang Islam melalui politik pilihan raya ini, parti berkenaan mengambil masa yang begitu lama untuk membentangkan draf perlaksanaan hudud kepada rakyat umum seperti yang pernah diminta oleh pemerintah sebelum ini. Jelas, lebih baik berjuang melalui motivasi dan pendidikan hingga orang tidak melakukan jenayah walaupun tidak ada hukum hudud. Apa yang hendak dihududkan kalau orang sudah tidak melakukan jenayah lagi. Sebaliknya jemaah Islam secara motivasi dan pendidikan, berbaik-baik dan berkawan dengan semua golongan. Tidak pernah jemaah Islam mencari musuh. Sekalipun ada golongan yang ingin bermusuh. Sebab Islam agama kasih sayang dan perdamaian. Namun kerana mengusahakan sistem hidup Islam secara syumul di peringkat jemaah, kemudian mendapat pengaruh yang besar dalam negara, maka sudah tentu ada pihak-pihak secara individu terutama dari golongan rasmi yang merasa takut dan terancam. Mereka melihat kalau jemaah Islam terus dibiarkan, lama-kelamaan rakyat akan berpihak kepada mereka dan ini boleh mengancam kedudukan mereka. Adalah cukup ketara bahawa pemerintah di sesebuah negara lebih susah menghadapi jemaah Islam daripada menghadapi orang politik yang mahukan negara Islam. Walaupun pemimpin jemaah Islam tidak pernah isytiharkan atau usahakan untuk dapatkan negara Islam, tetapi mengapa ia ditakuti? Ya, kerana melalui motivasi dan pendidikan, yakni politik Islam, sejarah membuktikan daulah Islamiah boleh menjadi realiti bahkan ia berjaya mengislamkan tiga perempat dunia. Melalui motivasi dan pendidikan, jemaah Islam di Malaysia ini juga telah turut memperkatakan masalah hudud yang berbangkit. Ertinya, mereka tidak menolak mana-mana satu hukum Allah sama ada politik, hudud atau qisas. Tetapi ia mesti dilakukan seeara bertahap dan kena pada masanya melalui kesedaran rakyat kepada Tuhan dan Islam. Apabila kebanyakan umat Islam sudah beriman dan baik, barulah tekankan hukum hudud untuk mengawal peratus kecil umat Islam yang degil dan jahat, supaya kejahatan mereka tidak menyakitkan rakyat yang baik. Masakan awal-awal hendak buat rumah, dalam keadaan rumah belum siap, terus mahu masukkan perabot dan segala macam alat -alat perhiasannya?
6. Apa ramalan orang luar?
Saya belum pernah mendengar adanya peramal politik sarna ada di dalam atau di luar negara yang meramalkan atau mengandaikan bahawa parti politik yang memperjuangkan negara Islam di Malaysia, akan memerintah Malaysia. Tetapi terhadap badan Islam di Malaysia ini, sudah ramai penulis yang mengatakan Rufaqa’ akan menjadi kuasa politik dan akan memerintah Malaysia, walaupun negara bukan menjadi cita-cita utama perjuangannya. Walaupun Rufaqa’ tidak ikut pilihan raya. Hal ini diperkatakan sejak dahulu lagi.
Di antara yang mengatakan begitu ialah:
a. Profesor Judith Nagata, pensyarah antropologi di Universiti York di Toronto, Kanada. Beliau telah membuat kajian tentang kebangkitan Islam di Malaysia dan menulis dalam bukunya, The Reflowering of Malaysian Islam: Modern Religious Radicals and Their Roots:
…Darul Arqam’s acknowledged influence, both among youth in the nerve-centres of the country’s capital and universities, as well as growing strength in certain rural sectors, especially in Kelantan, Terengganu, Selangor and Negeri Sembilan, could become the nucleus of powerful force, to be mobilizedfor other purposes at other times. It is just such potential political mobilization, with an underspinning of powerful personal and religious loyalties, which causes the greatest apprehension in official circles … “
Terjemahannya:
“Pengaruh Darul Arqam yang diakui bersama, baik di kalangan belia di pusat-pusat bandar atau di universiti-universiti serta kekuatannya yang sedang memuncak di sesetengah sektor luar bandar, terutama di Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan, boleh menjadi satu nadi penggerak yang kuat bagi tujuan-tujuan lain pada masa-masa yang lain. Potensi mobilisasi politik inilah, yang ditunjangi oleh ketaatan terhadap peribadi dan keagamaan yang kuat bertenaga yang menyebabkan pihak-pihak rasmi dalam kerajaan menaruh kebimbangan yang amat sangat … ”
b. Dr. David Browning dari Universiti Oxford berkata pada muridnya Dr Muhammad Syukri Salleh (pensyarah Universiti Sains Malaysia dan juga salah seorang pemimpin Al Arqam pada ketika itu): “Bila kamu menjadi salah seorang pemimpin di Malaysia, jangan lupakan saya.”
c. Penulis politik tanah air, Syed Hussein Al Attas, telah meramalkan dalam bukunya bahawa Perdana Menteri selepas Mahathir ialah Ustaz Ashaari Muhammad.
d. Penulis politik Sayuti Omar, meramalkan Al Arqam akan memerintah Malaysia bilamana terjadi perubahan sosial kepada Islam.
7. Perubahan kesedaran masyarakat
Kesedaran Islam yang tumbuh mercup bagaikan cendawan di musim hujan di Malaysia kini adalah hasil daripada usaha politik motivasi dan pendidikan. Bukannya melalui kesedaran politik pilihan raya yang katanya memperjuangkan Islam. Parti politik pilihan raya tidak mampu mengusahakan itu semua. Bahkan mereka patut berterima kasih kepada gerakan politik Islam melalui motivasi dan pendidikan kerana perubahan yang berlaku dalam partinya juga adalah kesan daripada usaha motivasi dan pendidikan itu. Sebab kalaulah usaha mereka (politik pilihan raya) memberi kesan, sudah tentu sesudah lebih 50 tahun berjuang, sekarang mereka sedang menikmati hasilnya.
Kesedaran yang berlaku hasil dari motivasi dan pendidikan adalah kesedaran dalam diri, yang dibuat secara sukarela dari keinsafan dan kesedaran, bukannya melalui paksaan dan akta sepertimana lumrah berlaku pada gerakan politik pilihan raya. Sebagai buktinya, kita akan senaraikan beberapa contoh yang berlaku di Malaysia hari ini yang membuktikan perubahan Islam itu adalah kesan dari politik motivasi dan pendidikan dan bukannya hasil politik pilihan raya yang berslogankan Islam.
Antaranya adalah seperti berikut:
a. Kemudahan tempat sembahyang.
Hasil kesedaran Islam, hampir kesemua pejabat kerajaan dan swasta, sekolah rendah dan menengah, universiti, stesen minyak, kedai makan (terutama di tempat persinggahan bas ekspres), perhentian bas, stesen keretapi, terminal lapangan terbang dan tempat rehat di lebuh raya, telah menyediakan kemudahan untuk sembahyang. Penyediaan kemudahan ini sama ada dibuat oleh kerajaan, swasta atau individu adalah hasil kesedaran dari motivasi dan pendidikan, bukannya kerana tekanan oleh parti politik pilihan raya. Empat puluh tahun yang lalu, sewaktu gerakan politik ‘Islam’ secara pilihan raya sedang memuncak, mana berlaku ini semua?
b. Menunaikan sembahyang
Kesedaran masyarakat untuk menunaikan sembahyang fardhu semakin ketara meningkat di seluruh Malaysia sekarang ini. Di sini saya sebutkan satu contoh yang jelas berlaku di Hentian Puduraya, Kuala Lumpur yang membayangkan peningkatan ilmu dan amal hasil dari kesedaran melalui motivasi dan pendidikan. Surau di Hentian Puduraya semakin besar dibandingkan 30 tahun yang lalu. Pembesarannya adalah kerana sudah ramai yang melakukan sembahyang di situ. Kesedaran sembahyang jemaah amat ketara. Kalau dahulu, kebanyakan yang sembahyang di situ sembahyang sendirian tanpa berjemaah. Tapi hari ini, bergilir-gilir sembahyang jemaah didirikan. (Surau yang diperbesarkan itu kini sudah dianggap kecil).
Begitu juga sudah ramai yang sembahyang jamak qasar.Kalau dulu, mana ada orang melakukan sembahyang jamak qasar bila bermusafir. Sesetengah tok guru pun tidak melakukannya walaupun mereka mengajar ilmu tersebut. Sebaliknya, ramai yang lebih suka mengqadakkan sembahyang bila bermusafir. Tetapi hasil kesedaran dari motivasi dan pendidikan, suasana itu sudah berubah. Berubahnya itu bukan kerana kesedaran politik ala Barat.
c. Penutupan aurat
Kesedaran untuk menutup aurat yang merata di Malaysia hari ini adalah hasil motivasi dan pendidikan, bukannya dari kesedaran politik. Pemakaiannya dibuat secara sukarela, bukan dipaksa melalui undang-undang dan akta. Contoh terbaik yang membuktikan kegagalan parti politik pilihan raya yang berkuasa melaksanakan hukum ini berlaku di Kelantan. Walaupun penutupan aurat sudah diakta dan diundang-undangkan, sebahagian masyarakat Kelantan tidak mengendahkan undang-undang tersebut. Bahkan sesetengahnya sudah berani mencabar kewibawaan parti politik tersebut. Kegagalannya adalah kerana ia dibuat secara undang-undang dan akta. Bukan hasil kesedaran dan keinsafan. Sedangkan kita lihat, berapa ramai yang kekal memakai tudung hasil dari kesedaran melalui motivasi dan pendidikan yang tanpa diundang – undangkan?
d. Pelajar Luar Negara
Akhir-akhir ini kebanyakan pelajar yang balik dari menuntut di luar negara terutamanya dari Amerika, England, Australia, New Zealand dan lain-lain negara Eropah, pelajar perempuannya menutup aurat dengan tudung, purdah dan berjubah sementara lelakinya bergamis dan berserban. Yang selayaknya mereka ini tentulah memakai baju kot, jean dan lain-pakaian berjenama mewah dan mahal. Tetapi sebaliknya yang berlaku. Semuanya mengakui, kesedaran yang mereka perolehi adalah hasil dari kesedaran melalui motivasi dan pendidikan, bukannya kesedaran politik pilihan raya.
e.Barangan Islam
Bagi memenuhi tuntutan kesedaran masyarakat, ahli-ahli perniagaan (termasuk peniaga yang bukan Islam) juga sedar mereka terpaksa menggunakanjenama-jenama yang berunsur Melayu dan Islam untuk melariskan barangan mereka. Sesetengahnya terpaksa menggunakan kata-kata yang berbau Islam dalam iklan-iklan barangan mereka. Umpamanya, ‘Gunakan tanpa was-was’, ‘Suci lagi halal’ dan lain-lain lagi. Mengapa berlaku demikian? Ini adalah kerana adanya gerakan motivasi dan pendidikan, bukannya gerakan politik, yang mereka ini tidak mahu lagi terlibat dengan barangan dan makanan syubhat, apalagi yang nyata tidak halal.
f. Pejuang-pejuang Islam naik kapal terbang.
Ramai orang tidak sedar, selama ini hanya bilangan jari saja orang-orang Melayu yang naik kapal terbang. Tanyalah pramugara-pramugari MAS, siapakah yang paling ramai di kalangan orang Melayu yang selalu menggunakan pesawat? Kalau dulu, hanyalah pegawai-pegawai kerajaan sahaja yang selalu menggunakannya, itu pun atas urusan kerajaan (memang dibayar oleh kerajaan) dan sangat terbatas pula, dan juga ahli-ahli perniagaan. Tetapi bila kesedaran melalui motivasi dan pendidikan berlaku, staf Rufaqa’ dan ahli jemaah Tablighlah yang selalu menggunakan pesawat untuk menyedarkan masyarakat dunia yang lain kepada Islam. Di kalangan staf Rufaqa’ sendiri, naik kapal terbang sudah seperti naik bas.
g. Umrah
Dulu, apabila tiba musim cuti sekolah at au cuti hari raya, orang-orang Melayu akan mengambil kesempatan itu untuk melawat Disneyland, melawat tempat salji dan lain-lain tempat menarik di Asia dan Eropah. Tetapi sekarang suasana sudah berubah. Umrah dijadikan program tumpuan di samping berkesempatan melawat ke tempat-tempat kesan sejarah Islam seperti melawat makam nabi-nabi, makam Sahabat, gua Ashabul Kahfi dan lain-lain tempat peninggalan sejarah Islam seperti di Amman, Istanbul dan Kaherah. Perubahan ini juga adalah kesan dari motivasi dan pendidikan, bukannya dari kesedaran berpolitik pilihan raya.
h. Jadi tarikan pelawat
Ketara sekali sekarang, pejuang-pejuang Islam dari luar negara, apabila berkesempatan melawat Malaysia, mereka tidak melawat markas, pejabat, perkampungan, ekonomi, pendidikan dan lain-lain projek jemaah politik pilihan raya. Sebaliknya mereka lebih tumpukan kepadajemaah Islam yang melaksanakan motivasi dan pendidikan. Terutama di bandar-bandar Rufaqa’ seperti di Bandar Country Homes.
Mengapa berlaku demikian? Kerana susasana Islam sebagai cara hidup tidak wujud dalam jemaah politik pilihan raya. Mereka tidak dapat mewujudkan ekonomi Islam, pendidikan Islam, perkampungan Islam, bandar Islam, sosial Islam, teknologi Islam dan lain-lain sistem hidup yang boleh dibanggakan untuk dicontohi oleh pejuang-pejuang itu. Tetapi pada jemaah Islam yang terlibat dengan motivasi dan pendidikan, itu semua ada pada mereka. Sebab itulah tempat mereka menjadi tumpuan pejuang-pejuang dari luar negara dan juga pelawat-pelawat asing yang lain:termasuk yang bukan Islam). Seolah-olah tempat mereka juga telah menjadi salah satu destinasi pelancongan yang mesti dilawati.
i. Kesedaran dikalangan golongan atasan
Di bandar-bandar utama sekarang, sudah ramai orang-orang besar (orang kenamaan dan karyawan)dan bintang filem, Ielah menjemput orang-orang dakwah sama ada dari jemaah Islam ataupun individu perseorangan untuk mengajar diri dan keluarga mereka tentang Al Quran dan lain-lain ilmu Islam.Kesedaran untuk belajar ilmu lslam
tumbuh mercup di mana-mana. Sebab itulah di rumah sesetengah mereka, sudah ada disediakan surau peribadi untuk keluarga mereka sendiri. Yang peliknya, mengapa mereka tidak memanggil orang-orang politik untuk memenuhi tuntutan mereka itu?
j. Kelab-kelab eksklusif seeara Islam banyak ditubuhkan di taman-taman mewah di sekitar Lembah Klang. Kesedaran untuk bersosial secara syariat Islam telah mendorong mereka menubuhkan kelab-kelab eksklusif itu. Dan kesedaran ini bukannya hasil dari kesedaran politik pilihan raya, sebaliknya hasil motivasi dan pendidikan.
k. Aktiviti Islamik di hotel Aktiviti-aktiviti di hotel sekarang turut mengalami perubahan. Seminar ekonomi Islam, kursus agama, konsert budaya Islam, majlis berbuka puasa dan sembahyang sunat tarawih, sembahyang berjemaah dan lain-lain lagi, sudah menjadi budaya di hotel-hotel di Malaysia hari ini. Semua aktiviti yang dibuat adalah anjuran jemaah Islam yang terlibat dengan motivasi dan pendidikan. Jemaah atau parti politik pilihan raya mana pernah terlibat dengan program-program seumpama ini. Pada mereka tentulah mengislamkan negara lebih utama daripada mengislamkan sebuah hotel.
Cukuplah buktl-bukti yang saya bentangkan di atas bagi membenarkan dakwaan saya bahawa perubahan yang berlaku di negara kita vang tercinta ini adalah hasll dari kesedaran yang dicetuskan oleh motivasl dan pendidikan dan bukannva dari kesedaran politik pilihan raya. Semuanya berlaku dengan kesedaran dari diri sendiri, bukannya dengan paksaan dan akta. Dan ianya adalah ulangan kepada sejarah ummah pertama dahulu yang mana berlakunya pengamalan islam termasuklah perlaksanaan hudud, qisas dan sebagainya adalah hasil kesedaran iman dan pendidikan, bukannya akta yang dibuatkan undang-undang seperti yang diperjuangkan oleh parti politik pilihan raya.
Perbandingan-perbandingan yang saya buat ini adalah realiti yang sedang terjadi di Malaysia dan juga lain-lain negara di dunia. Tidak ada orang boleh menafikan. Anda tidak boleh berkecil hati atau prejudis pada saya. Sebab, Islam sebagai cara hidup atau satu sistem yang sempurna mesti menempuh jalan yang tersendiri untuk naik ke atas. Kalau menempuh jalan orang lain, pasti kita tidak sampai kepada Islam sebagai cara hidup, sama ada dalam rumah tangga, jemaah, toifah, negara atau dunia.
Jalan Barat tentu membawa ke Barat juga. Tidak mungkin kita ikut jalan Barat boleh sampai kepada sistem Islam. Kalau sampai juga, tentu Islam itu bukan Islam yang murni. Tetapi Islam yang sudah disadur dengan sekularisme Barat. Lihat realitinya. Mana dia orang-orang politik yang mendapatkan negara Islam? Atau yang telah mewujudkan Islam sebagai cara hidup melalui usaha mereka? <
Mengatakan kita tiada pilihan sebab takut negara dirampas orang, ini ternyata tidak benar. Bahkan mereka buta sejarah Islam. Sebab sudah 50 tahun lebih berjuang, tanda-tanda dapat memerintah Malaysia belum kelihatan. Sedangkan badan Islam tulen baru 40 tahun, sudah banyak perubahan yang dibuat bahkan disebut-sebut layak memerintah, walaupun bukan itu cita-cita mereka.
Rasulullah berdakwah dan berjuang selama 23 tahun sahaja dan telah berlaku Futuh Mekah dan model negara Islam di Madinah. Ertinya Islam dapat membina negara sesudah 23 tahun berjuang. Yakni negara yang menjalankan sistem hidup Islam yang bermula dengan dakwah dan tarbiah. Rasulullah SAW tidak rebut negara sebelum rakyat terdidik. Kerana kalaupun boleh dapat, apa ertinya? Manusia-manusianya belum bersedia. Macam dapat hutan balak tetapi tidak ada persediaan untuk membalak. Apa ertinya? Sebab itu waktu peringkat perjuangan di Mekah, Rasulullah pernah ditawarkan negara, tetapi Rasulullah menolak.
Tegasnya, politik Islam iaitu motivasi dan pendidikan itulah jalan kepada negara Islam. Manakala politik Barat tidak membawa kepada negara Islam mirip salafussoleh. Ya, mungkin boleh dapat negeri atau negara, tetapi tidak menjamin Islam akan menjadi sistem dan cara hidup rakyatnya. Kuasa tidak berupaya membuatkan manusia cinta pada hukum Allah dan ghairah melaksanakan syariat Allah. Kalau kita dapat rumah tetapi tidak dapat mempengaruhi orang-orangnya, tertegakkah rumah tangga Islam di dalamnya?
Saya minta maaf kepada ahli-ahli parti politik yang memperjuangkan Islam melalui pilihan raya. Saya secara berterus terang menyebutkan kesalahan-kesalahan laluan politik ini. Saya bukan menyinggung peribadi tetapi memberitahu tuan-tuan bahawa politik Islam yang sebenar bukannya menyertai politik Barat. Moga-moga tuan-tuan berlapang dada terhadap teguran dan nasihat. Saya juga menanti nasihat dan teguran ilmiah dari pihak tuan-tuan pula. Supaya kita termasuk ke dalam golongan yang saling nasihat-menasihati kepada kebenaran dan kesabaran.
0 comments:
Post a Comment