Mari kita sama-sama tafakur, merenung sekejap ke dalam diri kita. Rasakan di hati kita bahawa kita ini hamba Allah yang maha dhaif, lemah dan hina. Buktinya:
1. Bolehkah kita elak diri kita dari sakit? Kalau terkena atau tercucuk duri yang halus dapatkah kita menahan bisanya? Itupun sudah terlalu sakit, sudah tidak tertahan lagi rasanya. Itulah tanda lemahnya kita. Bolehkah kita melihat kalau jarum tercucuk dimata kita? Bolehkah kita bernafas kalau air tersumbat di hidung kita? Tentu tidak boleh. Itulah tanda lemahnya kita ini. Apatah lagi kalau Allah tarik satu sahaja urat saraf kita, meranalah kita seumur hidup.
2. Bolehkah kita elak dari orang caci maki dan kata kita?
3. Bolehkah kita menolak dari bencana alam yang melanda yang mengejut pada kita? Tentu tidak boleh walaupun berkumpul seluruh tenaga makhluk yag berada di langit dan di bumi. Bencana alam tetap juga terjadi. Kita tidak mampu menahannya. Banjir yang melanda, datangnya tidak mampu diempang. Angin taufan, ribut yang mengangkat dan menghumban, tidak mampu kita membendungnya. Gempa bumi yang dahsyat yang membunuh segala kehidupan, tidak kuasa manusia menahannya. Lemahnya manusia ini.
4. Dapatkah kita menahan kematian orang yang kita cintai? Akhirnya kita juga yang akan mati. Dapatkah kita menolaknya? Tentu tidak mampu. Betapa lemah dan hinanya kita. Sudah mati jadi bangkai. Tidak seorang pun yang mahukan jasad kita itu. Isteri tidak mahu. Suami tidak mahu. Anak-anak pun tidak mahu. Ibu ayah tidak mahu. Kekasih pun tidak mahu. Sebab itulah orang hantar cepat-cepat ke kubur kerana kalau dibiarkan, busuk!
Bila dinilai bukti-bukti tadi menggambarkan betapa hinanya kita. Cuba kita rasakan kehinaan dan kelemahan itu setiap ketika dan kita bawa perasaan itu di mana-mana.
Fikirkan dan hitungkan pula nikmat-nikmat Allah yang berada di luar diri kita. Hitung berapa banyak harta, duit, rumah, kereta, perabot, pinggan, mangkuk, periuk belanga, kain baju, kasut, barang kemas, makanan yang kita simpan dan berapa jenis lauk yang dimakan untuk satu hari, berapa banyak kenderaan kita, kebun, anak-anak, isteri-isteri, kawan-kawan, pengikut-pengikut, pembantu-pembantu, udara yang dihirup, bumi yang dipijak, cahaya matahari yang kita dapat manfaat darinya. Rasakan di hati bahawa alangkah banyaknya kurniaan Allah pada kita selama ini.
Kemudian pandang ke langit. Lihatlah besarnya ciptaan Tuhan itu. Tergantung tanpa tiang. Walhal rumah kita yang kecil pun ada tiangnya. Bumi yang terhampar tempat kita berpijak, sangat berguna pada kita. Saksikanlah matahari yang turun naik, yang cahayanya sangat memberi manfaat, yang menjadikan silih bergantinya siang dan malam, memberi peluang untuk kita berkerja dan rehat. Menjadikan waktu yang bermusim juga sangat berfaedah pada manusia. Air yang disedut naik, hujan yang turun, ini memberi bekalan air untuk seluruh kehidupan. Memeriahkan alam dengan cahaya. Tenaga solar serta tenaga elektriknya. Rasakan ke dalam hati kita betapa pentingnya ini semua. Rasakan betapa perlunya nikmat-nikmat ini dalam kehidupan kita.
Fikirkanlah! Bolehkah manusia mencipta tanah, api dan air itu? Dapatkah kita tumbuhkan pokok? Yang kayunya kita gunakan untuk membuat rumah itu? Dapatkah kita buat segala keperluan-keperluan asas yang jadi peralatan hidup kita itu? Bolehkah kita hidup tanpa kita gunakan barang-barang ciptaan Allah itu? Tentu tidak. Oleh itu datangkan rasa insaf pada diri kita bahawa kita tidak mampu mengadakan itu semua.
Bila kita sedar begitu barulah kita terasa perlunya Allah itu pada kita. Barulah kita terasa patut kita menyembah-Nya. Barulah terasa patut kita taat perintah-Nya. Kalau begitu bukankah patut kita patuh kepada-Nya. Bukankah patut kita jadikan Allah itu Tuhan kita. Tidaklah kita hendak bertuhankan diri kita lagi. Inilah pendorong untuk kita beribadah.
Bila kita bawa berfikir tadi barulah kita terasa Tuhan itu terlalu berjasa dan pemberi. Barulah terasa patutnya kita bersyukur pada Allah kerana segala-galanya adalah ciptaan-Nya dan pemberian-Nya. Bukan kita buat sendiri. Inilah pendorong.
Siapa yang menciptakan bumi ini? Siapa yang menjadikan bumi ini sebahagiannya subur dan terdapat pula sebahagiannya yang kering kontang dan gersang??Siapa yang menjadikan proses percambahan dan pertumbuhan di bumi yang subur ini??Yang pasti tiada campur tangan manusia.
Siapa pula yang menjadikan dari biji benih itu sebatang pokok,kemudian dari pokok itu mengeluarkan pula buah?? Siapa yang menjadikan jutaan jenis buah dengan berbagai rupa,warna,saiz dan rasa?? Bukankah kita sudah tahu jawapan kepada persoalan itu!
Yang pasti ialah kita tak punya apa-apa peranan, tidak punya apa-apa kuasa terhadap menjadikan itu semua. Allah SWT adalah segala-galanya.
Begitupun kita tak pernah sedar dan insaf bahawa kita hanya mengambil saja segala nikmat kurniaan Allah SWT.Tidak sedetik pun kita terlepas dari nikmat Allah SWT.Tidak sedetik pun kita terlepas dari kekuasaan Allah SWT.
Dalam keadaan kita tidak punya apa-apa yang segala-galanya milik Allah SWT,terlalu aneh bilamana Allah SWT itu yang paling kita lupakan.
Malahan lebih dashyat lagi bila kita berkrisis,bermusuhan,berbunuhan dan berperang lantaran merebut untuk memiliki yang bukan milik kita.
0 comments:
Post a Comment