Bila diperkatakan mengenai orientalis, ia merujuk kepada fahaman orientalisme atau dalam bahasa Arabnya disebut "Al Istisyraq" adalah ilmu tentang Timur atau hal ehwal Ketimuran, atau jika diperhalusi lebih mendalam lagi, ia adalah kegiatan atau pengkajian berhubung dengan hal ehwal Ketimuran, sejarah, keyakinan dan kepercayaan penduduk di sebelah Timur, susun lapis penduduk, lokasi, persekitaran tabienya, bahasa, gaya pertuturan, watak dan sahsiah mereka.
Kajian ini menyelidiki aliran pemikiran tradisi dalam pelbagai bentuk, untuk pelbagai tujuan. Dalam konteks yang berlainan ada pula pandangan yang mengatakan bahawa Orientalism sebagai sebuah disiplin ilmu yang mempunyai methodologi yang tersendiri. Ia dipengaruhi oleh faktor luaran yang berfungsi sebagai dasar atau tujuan kewujudan dan operasinya.
Sejarah permulaan pembabitan para orientalis bermula sejak Perang Salib. Sebahagian tokoh Kristian telah menilai bahawa Perang Salib merupakan cara yang tidak tepat untuk menakluk kaum Muslim. Salah satu tokoh terkenal adalah Peter The Venerable atau Petrus Venerabilis (1094-1156M). Peter adalah tokoh misionari Kristian pertama yang merancang bagaimana menakluk umat Islam dengan pemikirannya, bukan dengan senjata. Ketika itu, dia merupakan ketua Biara Cluny, Perancis – sebuah biara yang sangat berpengaruh di Eropah pada Abad Pertengahan.
Sekitar tahun 1141-1142, Peter mengunjungi Toledo, Sepanyol. Di situ dia menghimpunkan sejumlah cendekiawan untuk menterjemahkan karya-karya kaum Muslim ke dalam bahasa Latin. Terjemahan itu akan digunakan sebagai bahan untuk misionari Kristian terhadap dunia Islam.
Salah satu usaha Peter yang berjaya adalah terjemahan Al-Qur'an dalam bahasa Latin oleh Robert of Ketton (selesai tahun 1143), yang diberi judul “Liber Legis Saracenorum quem Alcorant Vocant” (Kitab Hukum Islam yang disebut Al-Qur'an ).
Inilah terjemahan pertama al-Quran dalam bahasa Latin, yang selama beratus-ratus tahun menjadi rujukan kaum Kristian di Eropah dalam 'melihat Islam'. Kemudian pada tahun 1698, Ludovico Maracci, melakukan kritik terhadap terjemahan Robert of Ketton dan menterjemahkan Al-Qur'an sekali lagi ke dalam bahasa Latin bertajuk “Alcorani Textus Receptus”.
Menurut Peter Venerabilis, pengkajian Islam (Islamic Studies) perlu dilakukan oleh kaum Kristian, agar mereka dapat “membaptis (mensuci) pemikiran kaum Muslimin”.
Jadi, kaum Muslim bukan saja perlu dikalahkan dengan kekuatan ketenteraan, tetapi juga harus dikalahkan dalam pemikiran.
Peter membuat pernyataan berikut : "But I attack you not, as some of us [Christians] often do, by arms, but by words; not by force, but by reason; not in hatred, but in love…"
Selain menugaskan para sarjana Kristian menterjemahkan nashkah-nashkah bahasa Arab ke dalam bahasa Latin, Peter juga menulis dua buku yang menyerang pemikiran Islam. Strategi Peter Venerabilis ini kemudian menjadi rujukan kaum misionari Kristian terhadap kaum Muslimin. Henry Martyn, tokoh misionari berikutnya, juga telah membuat pernyataan, “Aku datang untuk menemui ummat Islam, tidak dengan senjata tapi dengan kata-kata, tidak dengan kekuatan tapi dengan logika, tidak dalam benci tapi dalam cinta.”
Samuel M Zwemmer, misionaris Kristian terkenal di Timur Tengah pernah menulis buku bertajuk "Islam: A Challenge to Faith" (1907). Buku ini mengadungi rahsia untuk “menakluk” dunia Islam yang disebut Zwemmer sebagai “beberapa kajian tentang keperluan di dunia para pengikut Muhammad dari pandangan missionairi Kristian”.
Strategi penaklukan Islam melalui pemikiran ini kemudian dikembangkan oleh para orientalis Barat.
Sebahagian dari mereka memang membawa semangat lama kaum misionaris, sebahagian lagi melakukannya untuk kepentingan penjajahan (kolonialisme) dan sebahagian yang lain hanya bermotifkan kajian ilmiah semata-mata.
Kini, setelah beratus-ratus tahun, kaum orientalis telah berjaya mencapai kejayaan besar dalam bidang studi Islam. Bukan saja mereka berhasil mendirikan pusat-pusat studi Islam di Barat dan menerbitkan ribuan buku tentang Islam, tetapi mereka juga berhasil menghimpun literatur-literatur Islam dalam jumlah yang sangat besar.
Golongan yang dinamakan orientalis ini adalah golongan yang ditakrifkan sebagai "pakar" dalam hal bangsa-bangsa timur. Mereka ini terdiri daripada sebahagian orang Nasoro atau Kristian, sebahagian orang Yahudi dan termasuk juga golongan "FreeThinker" atau orang-orang yang tidak mengakui akan peraturan agama.
Selain itu, kerja keras mereka kemudian membuahkan hasil yang lebih mengagumkan, iaitu terciptanya kader-kader cendekiawan dan pemikir dari kalangan Muslim, yang tekun sekali untuk membongkar semula serta menyerang bangunan pemikiran Islam dan umat Islam. Apalagi, dengan cara itu, kader-kader Muslim itu juga mendapat berbagai-bagai keuntungan duniawai: populariti dan pelbagai kenikmatan hidup duniawi.
Dulu, pada zaman penjajahan perang, para orientalis pengkaji Islam dari kalangan misionaris menjadikan semangat penjajahan dengan semboyan ‘Gold, Gospel, dan Glory’. Mereka mengkaji masalah ketimuran, khususnya Islam, bukan dalam ruang yang kosong (ilmiah), tetapi menjadi sebahagian dari projek untuk menakluk Islam dan dunia Islam.
Kini, pada zaman moden, Orientalisme juga tidak terlepas dari kepentingan Barat dalam mengukuhkan hegemoninya. Para akademik muslim seharusnya sedar tentang hal ini. Jika mereka menerima “cinta kasih” dari Barat yang berupa bantuan biasiswa untuk meneliti Islam, mereka seharusnya sedar, siapakah mereka, dan siapakah yang membantu mereka. Untuk apakah semua bantuan itu diberikan? Sama seperti halnya dengan hutang luar negara yang dipinjamkan kepada negara-negara sedang membangun.
Apakah semua hutang itu diberikan secara murah hati dan merupakan program amal semata-mata? Sudah tentu tidak. Semua itu ada tujuannya. Ini bukan bersikap prejudis membabi buta dan menolak apa pun yang datang dari Barat.
Kerana harus diakui, banyak perkara ketika ini harus dipelajari dari Barat seperti ilmu sains dan teknologi. Tetapi, semua itu perlu dilakukan dengan hati-hati dan sikap kritis.
Para akademik Muslim yang tidak berhati-hati dan tidak memiliki ilmu yang mencukupi, akan terjerumus dalam perangkap untuk memecah belah umat Islam, mengkritik kelompok Islam tertentu yang tidak mahu mengikuti pola pemikiran sekular-liberal Barat.
Kelompok-kelompok yang ingin bertahan dengan identiti dan pandangan hidup Islam, dilabel dengan istilah-istilah yang negatif seperti “radikal”, “fundamentalis”, “militan”, “eksklusif”(hanya satu agama benar), “literalis"(makna selapis/berfikiran sempit), dan sebagainya.
Justeru itu, Ilmu Islam yang bersih daripada fahaman orientalis perlu segera disebarkan kepada masyarakat agar mereka dapat kembali ke jalan yang sebenar.
Musuh Islam memang banyak. Yang paling menonjol ialah kaum Yahudi dan Nasoro (Nasrani) seperti firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan tidak sekali-kali akan redha kepada kamu (Muhammad) orang Yahudi dan Nasoro sehinggalah kamu mengikut cara hidup mereka."
Para orientalis ini suka mengkaji Al Quran dan Hadis, bukan kerana mereka mahu beriman dengannya bahkan mereka tidak pun berminat untuk menganut Islam, tetapi setakat mahu mengetahui ilmu Islam untuk diperbandingkan dengan agama lain atau dengan ajaran-ajaran ideologi yang lain. Mereka belajar dengan tujuan untuk merosakkan ajaran Islam itu sendiri. Mereka mengubah atau menambah, membuang dan menokok serta menyelewengkan fakta-fakta serta huraian-huraian untuk mengelirukan umat Islam yang jahil dan untuk menakut-nakutkan orang di luar Islam agar mereka jangan menganut agama Islam.
Golongan yang utama yang hendak mereka kelirukan ialah umat Islam yang mendapat pendidikan Barat tetapi jahil dengan ajaran Islam. Dengan usaha mereka ini, telah ramai cerdik pandai di kalangan umat Islam yang berpendidikan Barat dapat mereka pengaruhi. Mereka yang sudah berfahaman Barat ini sebahagian besarnya mempunyai kuasa dan kedudukan tinggi di negara mereka sama ada di bidang politik, ekonomi, pendidikan dan lain-lain.
Di antara fahaman-fahaman orientalis yang sampai kepada kita melalui lidah orang-orang Islam seperti ini di dalam ceramah-ceramah dan penerangan-penerangan mereka, antaranya ialah:
1. Tentang peribadi Rasulullah SAW itu sendiri.
Mereka berkata bahawa Rasulullah SAW bertindak atas dua asas, iaitu pertama sebagai seorang Rasul dan kedua sebagai seorang manusia biasa. Mereka juga berkata di waktu mana Rasulullah bertindak sebagai seorang Rasul, maka ketika itu segala tindakannya adalah Sunnahnya dan kita patut ikut dan contohi. Tetapi di kala mana Rasulullah bertindak sebagai seorang manusia biasa, maka segala tindakannya itu tidak perlu diikuti atau dicontohi ataupun dijadikan hukum.
Hujah mereka itu nampak macam logik dan masuk akal. Maka mereka pun menyenaraikanlah amalan-amalan Rasulullah SAW sebagai seorang manusia biasa yang mereka kata tidak sepatutnya diikuti atau dicontohi oleh umat Islam.
Rupa-rupanya inilah cara halus yang mereka gunakan untuk memisahkan umat Islam yang jahil dan lemah dengan Sunnah-Sunnah Rasul. Walhal Allah Taala ada berfirman yang bermaksud:
"Dan tidaklah Muhammad itu bercakap daripada hawa nafsunya sendiri melainkan dari wahyu yang diwahyukan."
Di samping itu akhlak dan peribadi Rasulullah ialah Al Quran dan dialah sebaik-baik contoh bagi seluruh umat Islam.
2. Menyelewengkan maksud ayat Quran.
Kemudian ada pula kita dengar di dalam ucapan pemimpin-pemimpin politik bahkan juga dibaca di dalam khutbah-khutbah solat Jumaat tentang ayat Quran yang berbunyi seperti berikut:
"Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan (nasib) sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka."
Jelas dalam ayat ini disebut "apa yang ada dalam diri mereka". Tetapi ayat ini diselewengkan maksudnya oleh para orientalis hingga berbunyi:
"Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan (nasib) sesuatu kaum sehingga mereka mengubah nasib mereka sendiri."
Ayat "apa yang ada dalam diri mereka" itu telah ditukar kepada "nasib mereka sendiri".
Inilah kerja para orientalis yang lidah mereka dipanjangkan dan disambung oleh orang-orang Islam yang jahil dan berkepentingan.
Implikasi penyelewengan ini sangat besar. Pertama, ia mengatakan bahawa Allah tidak ada peranan di dalam mengubah nasib sesuatu kaum. Ia juga mengatakan bahawa kaum itulah yang berkuasa dan berupaya untuk mengubah nasibnya sendiri. Ini sudah membawa kepada iktiqad Qadariyah yang beranggapan bahawa kuasa itu ada di tangan manusia dan bukan lagi di pihak Allah. Walhal Ahlul Sunnah wal Jamaah berpegang kepada iktiqad bahawa walaupun usaha ikhtiar itu di tangan manusia tetapi Allahlah yang menentukan segala-galanya.
Kedua, manusia bertungkus-lumuslah berusaha memperbaiki nasib kaum mereka sendiri dengan menggunakan akal mereka semata-mata tanpa bergantung, tanpa bersandar dan tanpa merujuk kepada Allah dan ajaran agama. Maka semakin banyak mereka berusaha, keadaan dan nasib kaum mereka semakin bertambah buruk dan bertambah rosak kerana mereka telah lari dan tersimpang dari kehendak dan tuntutan ayat itu yang sebenar.
Di dalam hendak mengubah nasib kaum kita, ayat tersebut sebenarnya mahukan kita mengubah apa yang ada dalam diri kita. Iaitu kalau kita tidak beriman, ubah supaya kita jadi beriman. Kalau kita tidak taat kepada agama, ubah supaya kita jadi taat dengan ajaran dan hukum-hakam agama. Kalau kita tidak takutkan Allah, ubah supaya kita jadi bertaqwa. Kalau kita banyak sifat-sifat keji dan mazmumah dalam hati, maka kenalah kita bermujahadah dan memperbaiki diri dan memenuhkan hati kita dengan segala sifat-sifat mahmudah dan terpuji. Kalau fitrah kita kotor dan tercemar hendaklah kita bersihkannya supaya ia kembali kepada keadaan asal semula jadinya yang bersih dan suci murni. Pokoknya kita kena bina insan kita. Kita kena bina akal, hati dan nafsu kita seperti mana yang diajarkan oleh agama.
Selepas segala itu kita lakukan maka Allah akan tunjukkan jalan dan akan datangkan bantuan dan akan memperbaiki nasib kita. Apa sahaja yang kita buat selepas itu semuanya akan tepat, berkesan dan dibantu Allah. Allah ada berjanji:
"Dan Allah itu pembela bagi orang-orang yang bertaqwa."
Selagi kita tidak mengubah apa yang ada dalam diri kita, selagi kita abaikan agama, selagi kita abaikan proses membaiki diri, kita abaikan Tuhan dan kita tidak mahu kembali dan merujuk kepada Tuhan, selagi itulah kita akan tersasar. Kita akan bertambah rosak dan bertambah rosak hingga kaum dan bangsa kita akan hancur-lebur dengan sendirinya tanpa perlu diganggu-gugat oleh musuh seperti mana yang kita lihat sedang berlaku sekarang ini. Ukhuwah hilang, kasih sayang rosak, perpaduan runtuh, amanah sudah tidak ada, masing-masing tidak boleh dipercayai, rasuah, berkepentingan diri, nepotisme, runtuh moral, runtuh akhlak dan berbagai-bagai lagi.
3. Memberi tafsiran yang salah kepada Hadis.
Di samping itu terdengar juga Hadis seperti di bawah disebut dan diperkatakan oleh golongan yang disebutkan tadi:
"Bekerjalah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya dan berkerjalah untuk Akhirat kamu seolah-olah kamu akan mati esok."
Maka sibuklah pemimpin-pemimpin politik dan khatib-khatib di mimbar masjid, bahkan ulama-ulama, mengupas dan menghuraikannya mengikut cara orientalis hingga umat Islam jadi keliru dibuatnya. Mereka kata bekerja dan berusahalah untuk dunia bersungguh-sungguh dan beribadat jugalah untuk Akhirat bersungguh-sungguh.
Soalnya, kalau bertembung antara kerja dunia dengan kerja Akhirat, mana satu yang hendak didahulukan? Mana yang hendak diutamakan? Mengikut kupasan mereka, yang dunia utama, yang Akhirat pun utama. Mana boleh ada dua perkara yang bertentangan yang sama-sama utama. Mesti ada satu yang lebih utama dari yang satu lagi. Kalau tidak, mana dapat kita buat pemilihan. Kalau patut ke kiri, ke kirilah. Kalau patut ke kanan, ke kananlah. Mana boleh ke kiri pun hendak pergi dan pada waktu yang sama ke kanan pun kita hendak pergi. Inilah huraian yang pelik dan tidak masuk akal. Ramai umat Islam yang keliru.
Hairan, kenapa ada juga orang Islam yang membuat huraian macam ini.Kalau kita sedang bermesyuarat membincangkan hal kerja jabatan contohnya, dan kemudian terdengar azan solat Jumaat, maka apa perlu kita buat? Teruskan mesyuarat ke atau berhenti dan pergi ke masjid? Pasti kupasan dan huraian mereka ini tidak akan dapat menjawab.
Yang sebenarnya, hadis ini bermaksud bahawa kerja dunia ini mesti dibuat bersungguh-sungguh kerana hasilnya kita perlu pakai lama dan ia juga ialah ibadah. Namun, kalau bertembung dengan kerja Akhirat, maka dahulukan yang Akhirat kerana kerja dunia boleh di tangguh ke petang ke, esok ke, lusa ke, minggu depan ke dan seterusnya kerana kita akan hidup untuk selama-lamanya.
Kita ada banyak masa untuk membuat kerja-kerja dunia. Kerja Akhirat pula tidak boleh ditangguhkan kerana kita akan mati esok. Kalau ditangguhkan maka tidak akan ada peluang lagi untuk kita melaksanakannya.
Begitulah beberapa contoh penyelewengan golongan orientalis yang telah mempengaruhi sebahagian dari umat Islam. Namun kalau majoriti umat Islam faham akan maksud ayat-ayat Al Quran dan Hadis yang sebenarnya, maka penyelewengan ini lama-kelamaan akan dapat dibendung dan dihapuskan.
Penyelewengan golongan orientalis ini biasanya berbunyi sumbang, menghala ke dunia, bersalahan atau " contradictory ", tidak masuk akal dan tidak boleh diterima oleh hati. Mana akan sama firman Allah Taala dan sabda Rasul berbanding pendapat para orientalis yang jiwa mereka sudah mati dan hati mereka dihinggapi berbagai jenis penyakit rohani yang kronik.
KIta tidak perlu menyalahkan musuh kerana pola kajian Orientalis memang bersifat begitu. Sayangnya, mengapa terdapat juga ilmuwan dari kalangan Muslim yang mahu melakukannya, dengan imbuhan duniawi yang sangat murah – sekadar beberapa keping dolar dan gelaran doktor.
Sewajarnya, para cendekiawan yang mendapat kesempatan mempelajari ilmu dari Barat memanafaatkan kesempatan itu sebaik-baiknya untuk kepentingan Islam. Bukan sebaliknya, terjebak dalam kerangka pemikiran orientalisme atau sekularisme serta turut sama bersekongkol dengan musuh sama ada dalam sedar atau tidak, untuk menghancurkan Islam.
Sekian.
Sunday, April 26, 2009
Home »
Perbandingan Agama
» ORIENTALISME : DURI YANG MENCUCUK DARI DALAM
0 comments:
Post a Comment