Monday, April 13, 2009

NASIB PENGHIBUR

Alangkah peritnya jadi penghibur. Bertungkus-lumus dan bersusah payah mengadakan konsert di merata ceruk negara untuk menghibur para peminat. Penat,lelah, jerih dan letih terpaksa ditanggung. Segala kelengkapan terpaksa dipunggah. Tidur pun lewat malam. Kadang-kadang terpaksa menahan sakit dan uzur. Kalau tidak berkonsert, sibuk pula buat recording. Latihan dan rehearsal silih berganti.Berpuluh-puluh kali recording baru siap satu lagu.Ada pula yang berlakon. Terpaksa menghafal skrip untuk menghayati watak. Berlakon pula tak tentu masa dan tak tentu tempat. Cahaya lampu panas membakar. Berpuluh-puluh kali shooting baru siap satu adegan. Kalau tak sesuai dengan kehendak pengarah, kena pula ulang lakon berkali-kali. Semua ini dibuat atas dorongan wang ringgit, nama, glamour dan populariti.

Apakah peminat benar-benar terhibur dan merasa tenang dan tenteram mendengar dan menonton persembahan para penghibur ini?

Malang sungguh. Mungkin para peminat merasa seronok buat sementara tetapi hakikatnya, mereka tidak pernah terhibur. Tidak ada peminat yang tenang hati, tenteram jiwa dan lapang fikiran mereka. Tidak ada masalah mereka yang selesai. Bahkan, mereka bertambah liar dan hidup mereka bertambah kusut dan kucar-kacir.Kerana masih tidak terhibur, mereka terus juga mencari hiburan lain. Yang menagih dadah terus menagih. Yang belum, terus mencuba. Ada yang minum arak. Pergaulan lelaki perempuan bebas sebebas-bebasnya. Apa sahaja yang seronok, pasti akan dicuba. Berparti-parti, berdansa-dansa dan berdating-dating. Ya, itulah hakikatnya. Yang dihibur tidak terhibur. Malah tukang hibur sendiri pun tidak terhibur. Tukang hibur menanggung derita. Terkinja-kinja di atas pentas, menari-nari di khalayak ramai, tetapi hati mereka kecewa sengsara. Hati mereka tidak pernah puas, tidak pernah tenang. Keresahan dan kegelisahan sentiasa memburu mereka. Mereka menderita bermacam-macam bimbang dan takut.

Krisis sering terjadi dengan penganjur, pengarah, produser,krisis rumahtangga, malah sesama penghibur sendiri. Kahwin,cerai, kahwin lain dan cerai lagi, semacam satu fenomena tetap yang berlaku dalam dunia artis. Gossip bertabur merata-rata.Tidak kurang yang kena tangkap basah dan terlibat dengan dadah.

Status hidup sebagai artis perlu belanja yang besar. Pendapatan tidak menentu. Masa depan sentiasa menghantui fikiran. Apa akan jadi bila muka sudah berkedut? Bila suara sudah serak? Bila peminat sudah hilang? Bila populariti sudah menurun?

Mungkin ada di kalangan para penghibur yang mengaku tidak dilanda krisis dan masalah seperti ini. Mungkin ada yang mengaku hidup mereka macam orang lain juga. Kalaupun ada yang mengaku begitu, mereka tetap juga tidak akan merasa bahagia.

Ini kerana penghibur juga insan. Penghibur juga manusia.Fitrah manusia itu sukakan kebaikan. Hati kecil dan hati nurani manusia cintakan kebaikan. Semulajadi manusia sukakan kebaikan. Kalau manusia berbuat baik, hati kecilnya akan setuju. Dia akan merasa bahagia, puas, dan tenang. Sebaliknya, kalau manusia berbuat jahat dan maksiat, dia sebenarnya menentang fitrahnya. Dia melawan hati kecilnya. Dia menentang dirinya sendiri. Tidak akan bahagia orang yang melawan dan menentang diri dan hatinya sendiri.Namun kebanyakan para penghibur tidak rasa berdosa akan perbuatan mereka. Tidak merasa apa yang mereka buat itu salah. Mereka begitu terdedah, terbiasa dan mesra dengan cara hidup mereka hingga tidak nampak lagi akan kesalahan perbuatan mereka. Seperti orang yang sudah lama bekerja di kandang lembu, baginya baja lembu sudah tidak busuk lagi.Malah bau baja lembu itu boleh “menyegarkannya”.

Bermuzik-muzik tidak dirasakan salah. Berlakon adegan-adegan asmara dan bermesra-mesraan yang berlawanan dengan syariat, bergaul bebas lelaki perempuan, dedah aurat, menari-nari di khalayak ramai, malah melalaikan manusia dari mengingati Tuhan, sudah tidak dirasakan salah dan berdosa lagi. Mencetuskan kejahatan dan mudharat di kalangan manusia tidak dirasakan salah. Semuanya dirasakan patut atas alasan kononnya untuk menghibur.

Itulah kata mereka. Tetapi hati kecil mereka tetap tidak merasakan sedemikian. Fitrah asal mereka tetap sepertimana yang Allah ciptakan; suka pada yang baik dan benci pada yang jahat. Hati kecil mereka tetap suka pada yang makruf dan benci pada maksiat. Apa yang Allah suka, hati kecil manusia akan turut suka. Apa yang Allah benci, hati kecil manusia akan turut benci.

Allah benci perompak, penipu dan penindas; manusia juga benci perompak, penipu dan penindas. Allah suka orang yang pemurah dan amanah; manusia juga suka orang yang pemurah dan amanah. Allah tidak suka manusia yang lalai dari mengingati Allah dan yang melanggar hukum-hakam-Nya; manusia juga begitu, walaupun yang berbuat sedemikian adalah diri mereka sendiri.

Kecualilah kalau fitrah semulajadi seseorang itu sudah rosak. Dia akan melihat yang jahat itu baik dan yang baik itu jahat. Yang benar itu salah dan yang salah itu benar. Yang hak itu bathil dan yang bathil itu hak. Tuhan telah mencabut hidayah dari mereka. Tuhan telah mengecap hati-hati mereka hingga mereka tidak boleh lagi menerima kebenaran. Lambat laun, Tuhan pun akan mereka nafikan.

Yang dirasakan seronok itu bukan kebahagiaan. Ia bukan hiburan yang hakiki. Ia tidak membawa kepada ketenangan jiwa. Ia hanyalah kesedapan sementara atas desakan hawa nafsu.
Firman Allah:
Maksudnya: “Sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan.”(Surah Yusuf: 53)

Dan nafsu itu tidak akan pernah merasa puas. Setiap kali kita mengikut kehendak nafsu, setiap kali itulah kita melawan fitrah kita. Setiap kali itu jugalah kita akan rasa menderita.Orang yang paling kuat berbuat maksiat dan dosa ialah orang yang paling tidak bahagia. Allah dan manusia juga turut membencinya.Kebahagiaan yang sebenar ialah apabila perbuatan lahir dan batin kita disesuaikan dengan kehendak Allah dan Rasul.Fitrah asal semulajadi kita juga bersetuju dengannya. Dan kebahagiaan yang sebenar juga ialah apabila segala perbuatan kita mampu mencetuskan kebaikan dan manfaat untuk manusia lain.

0 comments:

Post a Comment