Wednesday, April 29, 2009

Merujuk Kepada Ahli Zikir

Maksud Firman Allah:
“Bertanyalah kepada Ahli Zikir jika kamu tidak ada pengetahuan tentang hal itu.”
(An-Nahl:43)
Ayat ini menuntut kita untuk merujuk kepada orang yang dikatakan Ahli Zikir dalam memberi jawapan kepada persoalan kehidupan kita. Ayat ini, sesungguhnya, sangat relevan dalam memberi jalan keluar kepada permasalahan sosial yang melanda masyarakat hari ini seperti gejala dadah, seks bebas, rasuah dan vandalisme.
Ahli Zikir inilah yang patut menjadi tempat rujuk semua pihak dalam menyelesaikan masalah masyarakat itu. Malangnya, kebanyakan daripada kita merujuk kepada yang bukan ahlinya dan hasilnya masalah tetap tidak selesai-selesai, malah semakin hari semakin bertambah pula. Maka, benarlah kata-kata Rasulullah iaitu: “Apabila sesuatu urusan itu diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah kerosakan yang bakal menimpa.”
Siapakah dia Ahli Zikir yang dianjurkan Tuhan agar kita merujuk kepadanya dalam persoalan kehidupan?
Ahli Zikir ini bukanlah orang yang duduk-duduk berzikir atau berjalan-jalan dengan membawa tasbih ke sana sini sambil mulutnya kumat-kamit. Benar, mereka itu berzikir tetapi belum lagi boleh diiktiraf sebagai Ahli Zikir. Yang dimaksudkan Ahli Zikir ini ialah orang yang hatinya benar-benar sudah terhubung dengan Tuhan dalam semua hal.
Firman Allah:
Orang-orang yang hatinya terhubung dengan Allah pada waktu berdiri, duduk dan berbaring (Ali-Imran:191)
Apabila hatinya sudah terhubung dengan Tuhan, maka jadilah dia orang kesayangan Tuhan seperti yang digambarkan oleh Tuhan dalam sebuah Hadis Qudsi:
"Amal-amal ibadah fardhu yang Aku wajibkan kepada hamba-Ku yang mereka lakukan untuk mendekatkan dirinya kepada-Ku dan Hamba-Ku itu sentiasa melakukan ibadah-ibadah sunnat untuk mendekatkan diri kepada-Ku hingga Aku mencintainya. Dan apabila Aku mencintainya, maka Aku menjadi telinga baginya untuk mendengar, mata untuk melihat, tangan untuk memegang serta kaki untuk berjalan. Apabila ia meminta kepada-Ku pasti akan Kuberi. Apabila meminta perlindungan kepada-Ku pasti akan Kulindungi."
Inilah dia gambaran orang yang sudah terhubung hati dengan Tuhan atau disebut juga sebagai Ahli Zikir. Oleh yang demikian, bilamana dirujuk kepada Ahli Zikir tentang sesuatu masalah, makanya masalah itu diselesaikan mengikut kehendak Tuhan. Dorongan hatinya adalah dorongan Tuhan. Bilamana dia berbuat, dia berbuat bagi pihak Tuhan. Bilamana dia berpendapat, dia berpendapat bagi pihak Tuhan. Kerana kehendak hatinya sudah selari dengan kehendak Tuhan. Tuhan pasti akan membantunya.

0 comments:

Post a Comment