Thursday, April 23, 2009

SIFAT -SIFAT ROH (HATI)

Roh yang ada di dalam diri kita ini terlalu abstrak (seni). Sifatnya sensitif, selalu berubah- ubah, sekejap baik dan sekejap jahat. Perubahan ini berlaku terlalu cepat sekali sehingga susah untuk kita mengesannya. Ini menyebabkan banyak sifat-sifat yang baik telah terabai dan sifatsifat yang buruk (jahat) dibiarkan bermaharajalela dalam diri sama ada disengaja atau tidak, disedari atau tidak.

Sifat-sifat roh terbahagi kepada dua iaitu:
1. Sifat-sifat mahmudah (sifat positif atau sifat-sifat yang baik)
2. Sifat-sifat mazmumah (sifat negatif atau sifat-sifat yang keji)

Pertama:
Sifat-sifat mahmudah antaranya:
a) jujur
b) ikhlas
c) tawadhuk
d) amanah
e) taubat
f) sangka baik
g) pemaaf
h) pemurah
i) syukur
j) zuhud
k) tolak ansur (timbang rasa)
l) sabar m) redha n) berani
o) lapang dada
p) lemah lembut
q) kasih sayang
r) selalu ingat mati
s) tawakal
t) takut Allah

Kedua:
Sifat-sifat mazmumah di antaranya:
a) riyak
b) ujub
c) sum’ah
d) takabur atau sombong
e) hasad dengki
f) pemarah
g) dendam
h) bakhil
i) penakut
j) cinta dunia
k) gila pangkat
l) gila puji
m) jahat sangka
n) putus asa
o) tamak

Kajian terhadap sifat-sifat mahmudah dan mazmumah ini sangat penting kerana dengan adanya ilmu ini memudahkan seseorang itu mengenal hakikat dirinya. Yakni, kenal sungguh tentang sifat batinnya. Bila sifat baik dan sifat jahat sudah dikenal pasti ada dalam diri seseorang itu maka tindakan yang perlu dilakukan ialah:
1. Sifat-sifat yang terpuji (mahmudah) itu hendaklah kita pertahankan, suburkan, pertajamkan dan kekalkan kerana sifat-sifat ini dikehendaki dan diperintahkan oleh Allah dan Rasul serta digemari oleh manusia seluruhnya, yang mana itulah bunga diri pada seseorang.
2. Sifat-sifat yang terkeji (mazmumah) pula hendaklah ditumpaskan, dikikis, dibuang, dihapus dan dicabut. Ini perlu dilakukan melalui proses mujahadatun nafsi (melawan hawa nafsu). Yakni melalui latihan terus-menerus terhadap nafsu (riadatun nafsi). Wajib dicabut buang sifat-sifat keji ini kerana sifat-sifat ini sangat dibenci oleh Allah dan rasul serta dibenci oleh manusia seluruhnya.

Untuk mendapat akhlak yang baik (terpuji) macamlah proses mendapatkan buah yang baik dan manis. Ia didapati setelah ditanam daripada benih-benih yang baik dan manis. Begitulah juga untuk melahirkan perbuatan dan tindakan yang baik serta akhlak yang baik itu adalah dengan menanam benih-benih yang baik di dalam roh (hati). Yakni benih-benih sifat-sifat mahmudah seperti kasih sayang, rasa simpati, rasa malu, sukakan ilmu pengetahuan, pemurah, pemaaf, sabar dan lain-lain lagi.

Buah yang masam adalah hasil ditanam benih yang masam. Begitulah perbuatan atau tindakan yang buruk atau akhlak yang buruk (keji) adalah berpunca daripada ditanam benih-benih yang keji (mazmumah) di dalam roh (hati).

Adapun benih-benih mahmudah dan benih-benih mazmumah yang wujud dalam roh (hati) hanya dapat dikesan oleh mata hati yang dibantu oleh ilmu mengenainya. Bukan dengan mata kepala yang sifatnya tidak dapat menjangkau dan merasainya. Yakni roh melihat roh. Hanya roh yang dapat mengenali atau mengesan roh.

Ini bererti, mengesan sifat-sifat roh ini mestilah melalui kepekaan pandangan mata hati serta dibantu oleh ilmu. Perjalanan roh ini laju dan sentiasa berubah-ubah, sensitif dan berbolak-balik dari detik ke detik. Kalau kita tidak peka dalam mengesannya setiap saat, kita akan rugi. Tidak peka dalam mengesan sifat-sifat yang baik bererti kita telah mengabaikan sifat-sifat roh yang baik atau perasaan-perasaan yang baik. Maka sifat baik tadi jadi tidak subur. Macam menanam pokok tanpa disiram air, tanpa diberi baja, tanpa dijaga, walaupun pokok itu boleh tumbuh tetapi daunnya kuning, kering, akhirnya mungkin mati. Yang baiknya, perlu ada guru mursyid yang memberi pimpinan atau didikan (yang dapat memimpin hati kita, asalkan kita sanggup mentaatinya).

Tidak peka dalam mengesan sifat-sifat mazmumah (jahat) bererti kita biarkan mazmumah itu berada dalam diri. Dari hari ke hari mazmumah itu kian subur bersama suburnya jasad lahir. Akhirnya ia menguasai diri dan kehidupan kita. Ketidakpekaan tadi menyebabkan mazmumah itu tetap bersarang di dalam hati (roh), tidak ditumpaskan, dikikisbuangkan dan dicabut. Akhirnya hati yang jahat itu mendorong untuk melakukan perbuatan atau tindakan-tindakan jahat atau akhlak-akhlak jahat. Yang kerananya akan merosakkan pergaulan dan menerjunkan kita ke Neraka.

Bagaimanakah kaedah untuk mengesan kelajuan perubahan sifat-sifat roh yang sentiasa berubah-ubah dan berbolak-balik ini? Cara mengesan benih-benih sifat-sifat roh (hati) ialah roh melihat roh atau roh meneropong roh. Diteropong, dikaji dan diselidiki sebaik-baiknya dengan dibantu oleh ilmunya untuk memastikan di kala mana berlaku sifat-sifat yang baik dan di waktu mana berlaku sifat-sifat jahat. Bila didapati roh (hati) bersifat baik maka hendaklah disuburkan. Di waktu roh (hati) bersifat jahat maka dikekang dan dilawan, serta ditahan.

CONTOH SIFAT-SIFAT MAHMUDAH:
1. Sifat kasih sayang
Dengan pandangan mata hati (mata roh) kita akan dapat mengesan adanya benih kasih sayang dalam hati. Ia adalah fitrah semula jadi yang murni. Yakni hati terasa terhutang budi kepada orang yang membantu atau berjasa kepada kita. Mengikut istilah syariat dikatakan rasa syukur atau rasa hendak balas budi. Ini sifat baik (positif). Apabila didapati ada sifat-sifat ini dalam hati hendaklah disuburkan, dipertajamkan dan dikekalkan serta dilaksanakan supaya kita jadi orang yang berterima kasih pada manusia. Lebih-lebih lagi bersyukur kepada Allah kerana nikmat-Nya yang tidak pernah putus-putus.

Rasa kasih sayang ini diperintahkan oleh Allah dan Rasul.
Rasulullah bersabda:
Maksudnya: “Barang siapa yang tidak mengasihi sesama manusia maka dia tidak dikasihi Allah.” (Riwayat Tirmizi)

Hadis ini menyuruh kita untuk berkasih sayang. Ia mendorong kita untuk saling mengasihi antara manusia dan makhluk Allah yang lain. Suburkan dan tajamkan lagi sehingga matang bersama matangnya jasad lahir kita. Lakukan bermacam-macam cara untuk suburkan sifat kasih sayang ini.

2. Rasa simpati, timbang rasa atau tolak ansur
Benih rasa simpati atau timbang rasa ini dapat dikesan ada dalam hati bila berhadapan dengan orang yang mendapat kesusahan. Walaupun kita tidak dapat menolong dan membantunya tetapi secara automatik timbul rasa belas kasihan atau simpati itu. Setelah dikesan didapati ada sifat baik ini maka mestilah disuburkan dan dikekalkan. Ini supaya mendorong kita menolong orang yang susah atau sanggup bersusah payah untuk berkhidmat dan berbakti pada orang lain.

Syariat juga menyuruh kita bersimpati atau bertimbang rasa atau bertolak ansur pada orang. Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Sebaik-baik manusia ialah manusia yang dapat memberi manfaat kepada manusia lain.” (Riwayat Qudha’i dari Jabir)

3. Rasa malu
Benih rasa malu dapat dikesan wujudnya dalam hati, lebih-lebih lagi bila kita berbuat salah. Rasa malu bila orang lain tahu. Ini mesti disuburkan supaya dapat membendung kita daripada berbuat salah, sekalipun kesalahan-kesalahan dosa kecil, apatah lagi dosa besar. Ini juga mendorong kita segera bertaubat apabila bersalah. Seterusnya ia akan menyuburkan sifat jujur (berlaku benar), ikhlas dan amanah terhadap Allah dan Rasul serta manusia seluruhnya.

4. Rasa sukakan ilmu pengetahuan
Benih rasa sukakan ilmu pengetahuan dapat dikesan ada dalam hati bila ada perasaan ingin tahu, ingin pandai, ingin menyiasat, ingin memiliki ilmu sepertimana orang yang sudah ada ilmu, ingin amalkan, ingin membaca, mengkaji, menilai dan prihatin pada satu-satu perkara atau ingin mencari pengalaman sebanyak- banyaknya. Bila didapati benih sifat baik ini ada dalam hati maka suburkan dan dorong lagi supaya kecintaan kepada ilmu bertambah. Ini bersesuaian dengan perintah Allah dan Rasul-Nya. Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad.”
Maksudnya: “Tuntutlah ilmu hingga ke negeri China, menuntut ilmu itu wajib bagi setiap orang Islam.” (Riwayat Ibnu Abdul Bar dari Anas)
Bertambahnya ilmu dan pengetahuan memberi kesan lahiriah yang baik pada akhlak dan perbuatan seseorang itu seperti berani, pandai, berwibawa, cakapnya bernas, hidup tidak buntu, kreatif dan lain-lain lagi.

Perlu diingat bahawa sifat-sifat yang baik yang disebut di atas tadi dan banyak lagi sifat-sifat mahmudah lainnya itu, ia wujud bersama dengan jasad lahir. Rasa-rasa itu semuanya tidak perlu dipelajari dan tidak ada guru yang mengajarinya. Ia adalah perasaan semula jadi yang murni yang ada dalam hati. Cuma waktu kecil ia tidak subur. Tetapi ia ikut dewasa bersama dewasanya tubuh kasar.

Benih-benih sifat-sifat mahmudah tersebut mesti dikenal pasti dengan menggunakan teropong mata hati serta dibantu oleh ilmunya. Kemudian sifat-sifat baik ini hendaklah disuburkan, dipertajamkan dan didorong lagi supaya kita dapat mengekalkan sifat-sifat mahmudah itu dalam diri. Dengan itu lahirlah akhlak-akhlak yang baik, tindakan-tindakan yang mulia dan perbuatan-perbuatan yang terpuji dalam kehidupan kita.

CONTOH SIFAT-SIFAT MAZMUMAH:
1. Rasa tidak senang (berdendam)
Benih-benih mazmumah rasa tidak senang atau tidak redha atau berdendam dapat dikesan ada dalam hati di waktu kita diuji atau ditimpa bala. Sama ada ujian-ujian itu berbentuk lahiriah atau maknawiah (batiniah). Umpamanya:
* Terasa tidak senang bila dikata nista, dihina, diumpat, difitnah. Hati rasa marah, rasa dendam, rasa ingin hinakan orang itu semula. Ini sangat merbahaya. Boleh mencetuskan pecah ukhwah, pecah belah, huru-hara dan pergaduhan dalam masyarakat.
* Terasa tidak senang atau menderita bila tidak ada duit, tidak ada pangkat atau harta.
* Terasa tidak senang bila diuji dengan sakit atau kematian orang yang dikasihi.
* Terasa tidak senang atau kecewa apabila orang-orang yang dikasihi membuat ragam atau tidak bertanggungjawab.

Terasa tidak senang atau tidak redha dengan takdir Allah. Ini dapat dikesan bila kehendak-kehendak atau hajat-hajat hati tidak tercapai. Katalah kita hendak begian, dapat begian. Hendak banyak, dapat sikit. Hendak pandai, tidak pandai-pandai juga. Hendak pangkat, jawatan, pujian tapi tidak dapat-dapat. Barangkali kalau didorong sifat keji ini akan timbul bimbang terhadap masa depan. Hati makin susah sebelum susah yang sebenarnya menimpa. Misalnya hati merasa, “Bagaimana nanti kalau aku sakit? Bagaimana kalau aku miskin? Kalau aku tak kahwin? Kalau aku tak dapat anak? Kalau aku tak ada rumah? Kalau tak ada kebun selepas pencen? Dan macam-macam hajat yang tak tercapai.”

Bila rasa tidak senang ini disuburkan, ia boleh membawa kepada iri hati atau hasad dengki pada orang lain. Dia tidak akan senang melihat ada orang yang dapat lebih nikmat atau lebih senang daripadanya.

Setelah dikesan adanya rasa tidak senang atau tidak redha dengan ketentuan Allah ini mestilah dikikisbuangkan, ditumpas dan dicabut. Jika sifat-sifat ini tidak dibuang dan dibendung sebaliknya disuburkan, ia akan jadi lebih parah lagi. Dia sentiasa keluh-kesah atau gelisah bila berhadapan dengan sebarang ujian atau kesusahan. Ia menjadi seorang yang pemarah, pendendam, tidak senang dan putus asa hingga timbul akhlak-akhlak yang buruk atau perbuatan-perbuatan atau tindakan-tindakan yang buruk yang merosakkan dirinya dan masyarakat. Maka hilanglah kebahagiaan hidup.

Sebab itu dalam Islam disuruh redha dengan ketentuan Allah. Sifat tidak redha ini sangat dibenci Allah dan Rasul serta seluruh manusia. Untuk membendungnya ingatlah perintahperintah Allah SWT.

Firman-Nya dalam Al Quran:
Maksudnya: “Hendaklah kamu katakan semua itu datang daripada Allah.” (An Nisaa’: 78)
Maksudnya: “Janganlah kamu berputus asa daripada nikmat Allah.” (Yusuf: 87)

Ingatlah setiap perkara yang berlaku sama ada baik atau buruk, hakikatnya daripada Allah. Ia ada hikmahnya yang tersendiri, yang tersembunyi, untuk kebaikan dan manfaatnya pada diri kita kalau kita pandai menerimanya.

Sebenarnya ada rahsia yang kita tidak tahu. Mungkin kalau kita dapat apa yang kita kehendaki, kita tidak bersyukur. Tentulah ini berdosa. Boleh jadi ada orang lain pula yang hasad dengki dengan apa yang kita dapat itu. Bukankah itu membahayakan diri kita? Kalau kita sedar hakikat ini tentulah kita rasa bertuah dengan apa yang ada atau apa yang Allah berikan. Walaupun tidak memenuhi hajat kita namun tidaklah sampai rasa tidak senang, yang mana bererti kita tidak senang dengan Allah, Tuhan yang Maha Adil itu. Bila rasa tidak senang ertinya kita kufur dengan nikmat. Itulah penzaliman terhadap diri yang kita lakukan setiap saat. Oleh itu sifat keji ini hendaklah dikikisbuangkan. Kalau tidak, ia akan menjadi dosa dan menerjunkan kita ke Neraka, wal’iyazubillah.

2. Rasa ujub
Benih rasa ujub ini dapat dikesan bila kita dapat nikmat lebih sama ada lebih ilmu, lebih pangkat, lebih harta, lebih cantik, lebih pandai, lebih bijak dan lain-lain kelebihan lagi. Waktu itu hati terasa istimewa, terasa hairankan diri. Bila didorong lagi sifat keji ini akan menjadi sifat riyak. Yakni timbul rasa ingin menunjuk-nunjuk. Seterusnya bila disuburkan lagi berubah kepada sifat keji yang lain pula iaitu sifat sombong. Yakni rasa bermegah-megah, rasa diri superman atau superwoman, rasa hebat diri dan suka menghina orang lain.

Sifat keji ini bila didapati wujud dalam hati, maka mestilah ditumpaskan dan dikikisbuangkan melalui proses mujahadatunnafsi. Ini kerana sifat sombong atau takabur atau membesarkan diri sangat dimurkai Allah. Yang mana ia merupakan pakaian Allah SWT yang tidak dibolehkan bersekutu pada mana-mana makhluk-Nya.

Sombong ini boleh menimbulkan hilang ukhwah, hilang kasih sayang dan benci-membenci. Akhirnya bergaduh dan timbul perpecahan, krisis, tegang dan jatuh-menjatuhkan. Masyarakat jadi haru-biru dan porak-peranda serta hilang kebahagiaan dan keamanan.

3. Rasa tamak atau bakhil
Benih rasa tamak ini dapat dikesan ada di hati bila kita melihat atau ternampak nikmat. Waktu itu rasa hendak memiliki nikmat itu untuk jadi hak milik sendiri. Iri hati kalau nikmat itu dipunyai oleh orang lain. Rasa tamak dan haloba menyerang hati. Walau apa cara sekalipun dia akan usahakan untuk memilikinya tanpa mengira halal atau haram.

Rasa hati di waktu itu rakus, gelojoh dan ganas. Dia tidak peduli sama ada menyusahkan orang lain atau tidak. Melanggar hak asasi kemanusiaan atau tidak. Pokoknya dia dapat walau apa cara sekalipun. Sifat keji ini tersangat merbahaya. Ia boleh bertindak merampas, menipu, mencuri, merompak, rasuah, merogol, berzina, bergaduh dan akhirnya berperang. Penyakit ini perlu ditumpaskan dari awal lagi.

Bila dikesan ada rasa tamak, ia hendaklah ditumpaskan dan dikikisbuangkan melalui proses mujahadatunnafsi. Ia sangat dibenci dan menjadi musuh Allah dan Rasul-Nya serta seluruh manusia. Kemudaratannya bukan setakat di dunia bahkan di Akhirat akan dicampak ke Neraka, wal’iyazubillah.

4. Rasa takut
Benih rasa takut dapat dikesan wujud dalam hati bila berhadapan dengan makhluk yang lebih berkuasa, lebih kaya, lebih berpangkat, lebih berpengaruh atau yang berbudi padanya dan lain-lain lagi. Boleh jadi rasa takut ini juga disebabkan oleh inferiority complex dengan makhluk.

Bila takut menguasai diri, dia akan hilang kebebasan dan kemerdekaan diri. Kalau disuburkan rasa takut ini, tanpa sedar dia akan menganggap makhluk lebih berkuasa daripada Tuhan. Terjebak dengan mentuhankan makhluk tanpa sedar. Ini termasuk syirik khafi. Sifat keji ini tersangat merbahaya. Ia mengakibatkan orang ini sanggup melanggar syariat Allah dan Rasul serta menafikan kuasa Allah. Walaupun mulutnya mengatakan Allah-lah yang berkuasa tetapi pada realitinya makhluklah tempat dia rujuk, patuhi, taati dan takuti.

Ertinya, dia sudah mentuhankan makhluk atau mentuhankan manusia. Contohnya, dia sembahyang, puasa, naik haji tetapi tunduk dengan ‘tuan’nya bila disuruh jual atau beli atau minum arak. Katalah dia tidak minum arak, cuma jual atau beli arak, tetapi kerana ‘tuan’nya memberinya gaji, maka dia taat dan patuh. Walhal dia tahu perbuatan ini jelas melanggar syariat Allah. Ertinya dia lebih takutkan arahan manusia melebihi suruhan Allah SWT.

Oleh itu sifat keji ini hendaklah dihapus dan ditumpaskan daripada bersarang di hati kita. Kalau perkara ini tidak dikaji dan diteliti, sudah tentu tidak diketahui. Kikiskanlah dengan menanam rasa takut hanya pada Allah. Rasakanlah Allah Maha Berkuasa, Maha Besar dan Allah-lah Maha Kuat dan Maha Gagah daripada segala-galanya. Semua makhluk ini sama-sama lemah di sisi Tuhan yang Maha Perkasa itu. Kalaupun makhluk itu kuat atau berkuasa, hanya kerana dia diberi nikmat yang lebih sedikit saja daripada orang lain. Tetapi dia tetap lemah dan tetap dalam kuasa Tuhan yang Maha Berkuasa. Allah telah mendidik kita agar hanya pada-Nya kita wajib takut dan menghinakan diri. Ini kerana Allah-lah yang Maha Mencipta, Maha Menganugerah, Maha Pemberi, Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan. Allah-lah yang mengadakan dan mentiadakan sesuatu. Allah-lah yang menentukan nasib makhluk. Allah-lah yang muassir (memberi bekas). Selain-Nya semuanya tidak lebih gagah, tidak lebih besar dan tidak memberi bekas apa-apa. Walaupun makhluk itu lahirnya kita nampak besar dan hebat, gagah dan berkuasa tapi hakikatnya semua makhluk itu tetap dalam genggaman Allah SWT. Hanya empat sifat mazmumah saja yang kita kaji secara terperinci di sini, yang merupakan sebahagian daripada sifatsifat mazmumah yang banyak itu. Perlu diingat juga bahawa sifat-sifat yang jahat ini semuanya sudah wujud bersama lahirnya tubuh kasar. Rasa-rasa itu tidak perlu dipelajari dan tidak ada guru yang mengajarinya. Cuma waktu kecil ia tidak subur. Tetapi ia ikut dewasa bersama dewasanya tubuh kasar. Oleh itu benih-benih sifat mazmumah dalam hati ini mesti dikenal pasti di awal-awal lagi.

Dengan menggunakan teropong mata hati dengan dibantu oleh ilmunya, sifat-sifat jahat ini mesti ditumpaskan dan dikikisbuangkan melalui proses mujahadatunnafsi (yang akan kita bincangkan dalam bab akan datang). Barulah sifat mazmumah ini dapat dikekang dan dikosongkan, yang akhirnya sifat mahmudah dapat diisi dalam hati.

Di sinilah pentingnya mengkaji dan mengesan sifat-sifat roh (hati). Supaya setelah kedua-duanya dikesan, yang mahmudahnya dapat disuburkan dan yang mazmumahnya dapat dihapuskan. Barulah manusia itu kembali kepada hakikat dirinya. Yakni hakikat manusia itu sendiri. Ini kerana nilai diri manusia itu adalah pada sifat roh (hati)nya. Ia jadi penentu yang mencorak kehidupannya dan manusia seluruhnya.

Roh ini dikekalkan untuk ditanya dan dipertanggungjawabkan di Akhirat nanti. Roh inilah yang mukalaf. Ia yang akan merasai nikmat atau azab. Roh inilah juga yang akan ke Syurga

0 comments:

Post a Comment