Di dalam perbincangan ini saya tidak akan memperkatakan tentang meminang, syarat rukun perkahwinan, sah batalnya, kenduri kahwin, mas kahwinnya, kewajipan suami isteri, jimak, nusyuz, talak, zihar, rujuk, nafkah, giliran bagi berbilang isteri, perselisihan, kerana perbincangan seumpama ini di dalam bab nikah sudah selalu sangat diperkatakan orang, hari ini buku tentang perkahwinan sudah terlalu banyak di dalam pasaran terutama persoalan seks suami isteri, kadang-kadang kita lihat menjadi matlamat penulis. Tapi mungkin terasa buku tentang perkahwinan yang ada hubungan dengan tujuan dan falsafah perkahwinan yang lebih besar lagi tujuannya sebagai menyiapkan tapak kepada masyarakat yang lebih luas serta ummah Islam sejagat amat kurang sekali. Selalunya orang membahaskan tentang perkahwinan skopnya terlalu terbatas, maka oleh yang demikian di dalam perbincangan saya ini saya tidak mahu mengulanginya lagi, hal-hal seperti di atas. Saya cuba membahaskan tentang perkahwinan itu tujuan dan falsafahnya yang lebih jauh sedikit yang ramai penulis buku perkahwinan jarang-jarang sekali memperkatakannya agar kita melihat soal perkahwinan bukan persoalan kecil, bukan sekadar persoalan hiburan dan seks semata-mata tapi akan dapat dilihat bahawa perkahwinan itu ada hubung kait dengan masyarakat, dan ada hubung kait dengan keselamatan dan nasib masa depan umat Islam sama ada secara kita sedar atau tidak, secara langsung mahupun tidak secara langsung. Oleh itu perkahwinan di dalam Islam mempunyai erti yang besar.
Di Mana Rahsia Kebahagiaan Suami Isteri?
Sebelum saya menghurai tajuk ini, saya mulakan tulisan ini dengan beberapa pertanyaan lebih dahulu. Dari pertanyaan-pertanyaan itulah setiap orang yang membaca tulisan saya ini akan dapat memberi jawapan masing-masing dan dari jawapan masing-masing itulah bertitik tolak rahsia yang sebenarnya kebahagiaan suami isteri atau berlaku sebaliknya, sama ada yang sudah berkeluarga mahupun yang belum atau bakal berkeluarga insya-Allah. Di antara pertanyaan-pertanyaan yang saya ajukan seperti berikut:
1. Mengapa saudara/saudari berkahwin atau ingin berkahwin atau apa tujuan saudara/saudari berkahwin?
2. Suami atau isteri, lelaki atau perempuan yang macam mana yang telah dipilih atau akan dipilih?
a. Kerana kecantikannya atau rupanya. Kalau lelaki, kerana tampan atau segaknya?
b. Kerana kekayaannya?
c. Kerana keturunannya?
d. Kerana agama dan akhlaknya?
Mengapa berkahwin? Mengapa ingin isteri dan inginkan suami?
Ramai di kalangan umat Islam terutama di akhir zaman, di zaman moden dan sains teknologi canggih ini memberi jawapan kerana ingin berseronok-seronok dan memuaskan nafsu. Kalau tidak berkahwin kita akan terasa sepi.Baiklah, kalau kerana itulah setiap lelaki dan perempuan itu berkahwin ertinya kita akan atau telah menempuh jalan yang salah, jalan yang menjatuhkan taraf kita sebagai manusia, jalan yang mana di awal niat berkahwin lagi kita telah membuka pintu kehancuran rumah tangga sama ada kita sedar atau tidak.
Kenapa dan mengapa?
Pertama:
Kita telah setarafkan diri kita sebagai haiwan kerana haiwan berkelamin tidak ada tujuan lain selain kerana melepaskan nafsunya semata-mata, tidak ada tujuan-tujuan selain seks itu.
Kedua:
Kalau berkahwin dengan tujuan nafsu semata-mata, ini amat merbahaya kerana sekiranya kemahuan kita sudah tidak ada lagi dengan isteri kita atau suami kita disebabkan kita sakit, atau isteri kita sakit, atau setelah isteri sudah tua, atau setelah kecantikannya sudah pudar, di waktu itu tarikannya sudah tidak ada lagi untuk perhubungan kelamin, mungkin kita ceraikan dia atau isteri minta cerai atau kalaupun tidak bercerai kerana memandangkan anak-anak sudah ada, tidak mahu berpisah dengan anak-anak, di waktu itu kemesraan sudah tidak ada lagi. Perhubungan suami isteri sudah tentu renggang. Masing-masing mudah buat kerenah, mudah tersinggung, mudah benci, mudah marah-marah, maka berlakulah krisis rumah tangga tidak berkesudahan. Kemudian ia akan memberi kesan kepada saikologi anak-anak. Oleh itu berkahwin dengan tujuan hiburan seks semata-mata tidak akan dapat membangunkan keluarga yang bahagia lebih-lebih lagi masyarakat yang bahagia.
Perempuan atau lelaki macam mana pilihan kita?
Di dalam memilih jodoh sama ada lelaki atau perempuan, berlakulah pemilihan itu berbagai-bagai sudut dan aspek.
1. Ada orang memilih kerana kecantikan, itu kalau lelaki. Kalau perempuan kerana kesegakan dan tampannya seorang lelaki.
Kalau itulah menjadi target, itu amat merbahaya. Kalau tidak berlaku jangka pendek mungkin akan berlaku jangka panjang.
Kerana kalau seseorang perempuan itu sudah tidak cantik lagi dan suami sudah tidak kacak, mungkin disebabkan selalu sakit, atau kerana kerja teruk atau berat sudah menghilangkan kecantikan atau kekacakannya, atau setelah berumur sudah tentu hilang kecantikan, di waktu itu tarikan sudah tidak ada lagi untuk hubungan kelamin sebab berahi berkelamin sudah lemah, lebih-lebih lagi pula di luar di tempat kerja pergaulan kita bebas pula, rangsangan kepada perempuan atau lelaki di luar lebih daripada isteri atau suami kita, di waktu itu mudah sahaja bergaduh atau bercerai atau kalau tidak bercerai pun oleh kerana anak sudah banyak kerana tidak mahu berpisah dengan anak-anak, perhubungan sudah tidak indah lagi, kerenggangan berlaku. Marah-marah pun mudah berlaku. Singgung-menyinggung pun terjadi. Mudah sahaja benci-membenci. Kalau begitu di manalah indahnya berkeluarga di waktu itu dan ini juga sangat memberi tekanan saikologi kepada anak-anak. Anak-anak akan menjadi mangsa, mungkin mereka menjadi liar, renggang dengan ibu bapa, benci duduk di rumah, suka mencari hiburan di luar rumah, maka mudahlah terjebak dan terlibat dengan dadah, rokok, arak, bohsia, bohjan, melepak, mungkin terlibat dengan zina dan berbagai-bagai jenayah kerana berpunca daripada rumah tangga yang tidak bahagia dan tidak harmoni.
2. Ada orang memilih jodoh sama ada lelaki atau perempuan kerana kekayaannya. Kaya kerana gaji besar, atau keturunan orang kaya, tidak kiralah cara, ini juga amat merbahaya:
Pertama:
Kerana mana tahu dengan takdir Allah Taala, si isteri itu dibuang kerja, atau kekayaan yang ada itu habis. Begitu juga suami jatuh miskin dengan berbagai-bagai sebab boleh berlaku, di waktu itu sudah tentu akan berlaku kerenggangan di antara suami isteri. Mulalah tidak senang satu sama lain, benci-membenci pun boleh berlaku, masam-masam muka pun terjadi, pergaduhan dan krisis rumah tangga pun terjadi, pintu terbuka untuk bercerai pun berlaku atau kalau tidak bercerai pun kerana tidak mahu berpisah dengan anak-anak atau kerana hendak menjaga status diri. Tapi apalah ertinya lagi rumah tangga yang sentiasa bergolak dan bergelora macam air laut yang sentiasa bergelombang. Yang akan lemas adalah anak-anak yang tidak berdosa, anak-anak juga akan terjadi seperti yang kita ceritakan di atas.
Kedua :
Biasanya seorang lelaki berkahwin dengan perempuan kerana kekayaannya, begitu jugalah sebaliknya perempuan menerima seorang lelaki sebagai suami; kalau perempuan, selalunya dia tidak begitu hormat dengan suaminya, kerana dia merasakan bahawa suaminya dialah yang menanggung. Atau kalau dia tidak menanggung pun, dia merasakan boleh berdikari tanpa pemberian suami. Ada suami atau tiada suamikah, dia boleh hidup sendiri kerana ada memiliki kekayaan. Dengan sebab itu lama-kelamaan taat dan setianya kepada suami akan berkurangan. Bahkan kalau suami itu bersandar hidup dengan isteri, isteri biasanya memperhambakan suaminya sesuka hati. Dia arah ke sana, arah ke sini, suruh itu, suruh ini, dia akan kontrol suami sesuka hati (queen control). Akhirnya wibawa suami tercabar, kuasa suami sudah tiada lagi, bahkan takut kepada bini atau pak mentua atau mak mentua.
Biasa orang kaya, selalunya isteri itu selalu dibacking oleh ibu dan ayahnya. Ada kalanya isteri berani menengking dan mengherdik suaminya. Apakah hidup begini suami boleh tahan selama-lamanya. Apakah suami sanggup dayus sepanjang masa? Apa hidup begini suami boleh merasa bahagia? Kalaupun tidak bercerai, saya rasa hidup berkeluarga begini sudah tentu tidak ada makna apa-apa, tidak ada kemerdekaan, sedangkan rasa kemerdekaan itu satu nikmat dan menjadi cita-cita hidup setiap orang.
3. Ada orang berkahwin kerana keturunan seperti keturunan orang-orang yang bangsawan, umpamanya keturunan raja, keturunan Datuk-Datuk atau keturunan orang-orang besar.
Kalaulah perkahwinan itu atas dasar itu sahaja yang tidak ada bersangkutan dengan agamanya, ini amat merbahaya lebih-lebih lagi kalau keturunan bangsawan itu adalah isteri. Di waktu-waktu berselisih faham dia akan menyebut-nyebut keturunannya dan dia akan menghina keturunan kita. Atau biasa orang berketurunan bangsawan itu kalau tidak ada agama, dia sombong dengan suami, atau keluarganya memandang rendah terhadap suami hingga suami akan terasa terhina atau inferiority complex. Di sini boleh mencacatkan kebahagiaan dan keharmonian suami di dalam rumah tangga.
4. Berkahwin kerana agamanya.
Seorang berkahwin sama ada lelaki atau perempuan kerana agamanya, itulah yang tepat. Itulah yang dituntut oleh syariat.
Ia adalah dipuji oleh Allah dan Rasul kerana berkahwin di atas dasar agama itu, sama ada dia cantik atau tidak, kaya atau miskin, bangsawan atau orang biasa, masing-masing tetap merendah diri, berakhlak mulia, suami kasih dengan isteri, isteri menghormati suami, suami memberi tanggungjawab terhadap isteri, isteri juga memberi tanggungjawab kepada suami. Akan berlaku tolak ansur, isteri mengutamakan suami, suami bertimbang rasa dengan isteri, ada kerjasama, masing-masing berlumba-lumba hendak khidmat-mengkhidmati satu sama lain, maaf-bermaafan, isteri memandang hormat dengan suaminya, suami sentiasa belas kasihan dengan isteri, kedua-dua keluarga dihormati, Allah Taala sentiasa dibesarkan melalui ibadah yang berbagai jenisnya. Perjalanan hidup Rasul dijadikan tradisi kehidupan mereka. Allah, Rasul, Syurga, Neraka, dosa, pahala, menjadi bualan. Walaupun berusaha mencari kekayaan dunia namun ia dipandang kecil, bukan menjadi matlamat, bukan menjadi perbualan. Akhirnya dunia selamat, Akhirat selamat. Wujudlah kebahagiaan dan keharmonian di dalam rumah tangga.
Oleh sebab itulah daripada empat pilihan itu, iaitu kecantikan, harta, keturunan, agama, pilihlah kerana agamanya. Ia sangat menyelamatkan dunia dan Akhirat kita. Tapi kalau boleh dapat keempat-empat sekali maka bertambah cantik dan indahnya kehidupan berumahtangga itu. Ia bertambah ceria dan berseri tapi payah hendak dicari.
Mengapa kita berkahwin?
Bagi umat Islam yang faham Islam, yang beramal dengan agamanya, menghayati dan mencintai agamanya, yang ada cita-cita hendak membangunkan agamanya secara syumul atau global, kemudian diperjuangkannya, bahawa perkahwinan atau mendirikan rumahtangga adalah mempunyai erti yang besar kerana daripada peribadi muslim dan keluarga muslim itu dari sanalah titik tolak atau starting point untuk memancarkan Islam ke masyarakat, ke negara dan seluruh alam sejagat, kerana dari sinilah kalau pilihan suami isteri itu tepat mengikut ajaran Islam, kemudian hiduplah kedua sejoli atau mempelai itu secara tuntutan Islam, selepas itu kalau Allah Taala takdirkan mereka mendapat cahaya mata atau anak-anak yang banyak dari dua insan yang berpadu kasih, yang mempunyai cita-cita Islam yang mendalam itu, maka sudah tentulah anak-anak itu dididik secara kehidupan yang dikehendaki oleh Islam. Maka insya-Allah akan lahirlah satu keluarga yang hidup secara Islam yang menjadi role model. Kalau suami isteri yang lain pula mendirikan rumah tangga mempunyai cita-cita yang sama, begitulah setiap individu muslim mempunyai cita-cita yang sama juga, gabungan keluarga yang menghayati Islam itu menjadi masyarakat yang lebih besar lagi menghayati Islam pula. Selepas itu sudah tentu mudah sahaja untuk menegakkan negara Islam dan seterusnya Islam sejagat.
Tidaklah seperti apa yang berlaku di hari ini, seluruh dunia bagi pejuang-pejuang Islam, amat sulit sekali untuk memperjuangkan negara Islam, kerana individunya belum bersedia. Keluarga Islam belum bersedia, masyarakat lebih-lebih lagi. Oleh yang demikian, sudah tentu amat payah sekali untuk diajak menegakkan negara Islam.
Mengapa terjadi demikian?
Kerana kesilapan itu bermula dari individu dan dari dua suami isteri yang berkahwin. Kerana Islam itu tidak menjadi matlamat mereka mendirikan rumahtangga, atau tidak ada cita-cita Islam, sekadar berkahwin itu kerana hendak melepaskan tuntutan naluri atau kemahuan semula jadi, atau tuntutan biologi, tidak ada pun dihubungkait dengan cita-cita Islam itu.
Oleh yang demikian apakah tujuan perkahwinan itu? Apakah sekadar melepaskan nafsu?
Tujuan perkahwinan mengikut Islam yang sebenarnya adalah seperti berikut:
Pertama:
Allah Taala telah mentakdirkan bahawa lelaki ada nafsu kepada perempuan. Perempuan juga ada nafsu dengan lelaki. Hakikat ini tidak boleh ditolak, kita tidak boleh lari daripada tuntutan semulajadi itu. Oleh itu untuk menyelamatkan keadaan maka tujuan kita berkahwin jangan sampai kita melakukan zina yang terkutuk itu. Kenalah kita berkahwin agar ia tersalur secara yang halal yang ia memang dibenarkan oleh Allah Taala yang Maha Pengasih.
Kedua:
Bahawa daripada perhubungan kelamin suami isteri itu di situlah sebagai sebab pertemuan benih kedua jenis manusia yang akan melahirkan zuriat, anak-anak, cucu-cucu yang ingin sangat kita akan jaga, asuh, didik, diberi iman dan ilmu, agar menjadi hamba-hamba Allah yang berakhlak dan bertaqwa yang akan menyambung perjuangan Islam kita itu agar perjuangan Islam kita bersambung selepas kita mati. Memang setiap umat Islam yang belum rosak jiwanya sangat menginginkan agar Islam itu terus bersambung dari satu generasi ke satu generasi.
Ketiga:
Kalau begitu tujuan kita berkahwin, kita inginkan anak yang akan kita didik menjadi seorang Islam yang sejati dan anak it adalah merupakan aset kepada kita. Dan anak itu sendiri pula boleh menjadi harta dan tenaga kepada Islam.
Keempat:
Dengan perkahwinan itu, jika tujuan kita mendapat anak berjaya, dan berjaya pula dididik dengan Islam dan menjadi seorang muslim yang berguna, kemudian dia akan melahirkan cucu, berjaya pula dididik secara Islam yang sebaik-baiknya, berapa banyak pahala yang kita dapat sambung-menyambung.
Itu adalah merupakan aset simpanan kita di Akhirat kelak
Kelima:
Islam yang maha indah itu alangkah indahnya kalau ia dapat menjadi kebudayaan hidup yang pernah mengisi ruangan dunia ini di masa yang silam, selama 3 kurun dari sejak Rasulullah SAW. Sekarang tinggal nostalgia sahaja, yang tinggal pada hari ini hanya aqidah dan ibadah, itu pun tidak semua umat Islam berbuat. Oleh itu kita ingin sangat kalau dapat diwujudkan di dalam suasana keluarga pun jadilah, kerana hendak buat lebih dari itu hari ini memang amat sulit sekali. Lantaran itulah perkahwinan itu amat perlu sekali kerana hendak melahirkan masyarakat Islam kecil, moga-moga dari situ akan tercetus masyarakat Islam yang lebih besar.
Keenam:
Seorang muslim bukan sahaja diperintah untuk mencari keredhaan Allah Taala, tapi diperintah juga untuk menghiburkan hati kekasih Allah Taala iaitu Rasulullah SAW, yang mana Rasulullah SAW sangat berbangga dengan ramainya pengikut atau umatnya di Akhirat kelak. Maka sebab itulah Rasulullah SAW menyuruh umatnya berkahwin.
Setiap umat Islam hendaknya apa yang menjadi kesukaan Rasul-Nya itulah juga kesukaan mereka.
Ketujuh:
Kalaulah Rasulullah SAW berbangga dan bergembira dengan ramainya umat, maka kita sepatutnya juga berbangga dengan ramainya umat Islam di dunia ini. Maka untuk memperbanyakkannya, lantaran itulah kita berkahwin. Jadi kita berkahwin itu ada bermotifkan untuk meramaikan umat Islam, ada cita-cita Islam sejagat. Kita berkahwin itu ada cita-cita besar, bukan sekadar setakat hendak melepaskan nafsu seks seperti cita-cita kebanyakan manusia.
Kelapan:
Berkahwin itu jangan sampai putus zuriat, kerana kita berbangga dapat menyambung zuriat yang menerima Islam sebagai agamanya dan dengan keturunan itulah orang kenal siapa asal-usul kita atau mereka.
Kesembilan:
Tujuan-tujuan lain sebagai maksud tambahan daripada perkahwinan bahawa setiap lelaki dan perempuan yang menjadi pasangan suami isteri hendaklah meniatkan satu sama lain hendak memberi hiburan seorang hamba Allah Taala yang inginkan hiburan, kerana niat menghiburkan orang mukmin itu mendapat pahala.
Begitulah sebahagian daripada tujuan-tujuan dan maksud-maksud daripada perkahwinan di dalam Islam, ia mempunyai cita-cita yang murni. Melahirkan cita-cita Islam, ingin mewujudkan satu rangkaian dan elemen-elemen amalan dan suasana Islam dan kalau dapat ia digabungkan dengan rangkaian-rangkaian dan elemen-elemen golongan yang mempunyai cita-cita dan tujuan yang sama seperti yang Islam kehendaki, atau yang Islam mahu, ia lama-kelamaan akan menjadi satu masyarakat Islam yang lebih besar lagi yang syiarnya akan dapat dilihat di mana-mana sahaja di muka bumi Tuhan ini, yang akan menjadikan dunia ini amat meriah, ceria, gembira dan bahagia. Barulah boleh kita meyakinkan orang lain kerana keindahan Islam itu begitu terserlah.
Thursday, April 9, 2009
Home »
Minda Tajdid
» PERKAHWINAN :FALSAFAH DAN TUJUANNYA MENGIKUT PANDANGAN ISLAM
0 comments:
Post a Comment