Dalam kehidupan sama ada dalam kehidupan rumahtangga atau bermasyarakat, dalam kehidupan bernegara dan lain-lain, tidak terlepas daripada adanya masalah untuk diselesaikan. Adanya keperluan-keperluan sama ada keperluan berekonomi, berpendidikan, pembangunan dan lain-lain yang hendak dicetuskan atau tidak terlepas daripada keadaan-keadaan musuh yang ingin merosakkan yang perlu untuk dibendung. Hal-hal seumpama ini tidak akan dapat dicetuskan atau dilaksanakan sebaik-baiknya kecuali melalui mesyuarat atau syura untuk memikirkannya. Dan realiti ini tidak siapa boleh menolak. Kerana ia berlaku dalam pengalaman hidup. Oleh yang demikian Islam sangat menganjurkan dalam kehidupan ini mengadakan syura. Melalui syura, banyak masalah dapat diselesaikan. Di antara nas-nas Al Quran dan Hadis yang menganjurkan syura ini seperti:
Maksudnya: “Hendaklah kamu bermesyuarat dengan mereka dalam apa urusan.” (Ali Imran: 159)
Dalam ayat yang lain lagi Allah SWT berfirman:
Maksudnya: “Urusan mereka itu (orang Islam) adalah bermesyuarat sesama mereka" (As-Syura: 38)
Dalam Hadis pula ada menyebut di antaranya:
Maksudnya: “Tidak akan menyesal selepas mesyuarat.”
APA ITU SYURA?
Erti mesyuarat ialah bertukar fikiran atau berbincang atau berunding dalam satu masalah sama ada krisis, ekonomi, pendidikan, kemajuan atau apa saja tindakan yang dilakukan. Paling tidak oleh dua orang atau lebih. Ia berlaku dua hala. Setiap orang yang bersyura itu mengeluarkan fikiran kemudian dipertimbangkan bersama mana pendapat yang benar atau kuat atau tepat atau lebih munasabah atau mendekati kebenaran maka ia diterima bersama. Sama ada keputusan itu hendak jadi tindakan bersama atau untuk jadi tindakan seseorang atau satu kumpulan. Jadi syura itu berlaku dua hala atau lebih, bukan hanya berlaku satu pihak. Kalau satu pihak, ia bukan syura.
BAHAN ATAU PERKARA YANG DISYURAKAN
Dalam melakukan syura hendaklah kita faham bukan semua perkara mesti disyurakan. Perkara-perkara yang tidak boleh disyurakan, hanya terpaksa kita terima untuk tindakan ialah:
1. Hukum-hakam yang sareh atau sahih dan qati’e seperti sembahyang itu wajib, puasa wajib, meninggalkan arak wajib, menutup aurat wajib. Ini tidak boleh dibatalkan oleh mesyuarat. Ini sudah keputusan Allah.
2. Satu perkara yang telah diarahkan oleh ketua sama ada ketua jemaah atau negara yang jelas menurut syariat.
3. Satu keputusan yang sudah diambil dalam keluarga, jemaah atau negara hasil dari syura, yang mana ia memang boleh disyurakan, maka anggota keluarga itu tidak boleh membuat syura lain untuk menolaknya. Ini berdasarkan firman Allah:
Maksudnya: “Hendaklah kamu bermesyuarat dengan mereka itu dalam satu perkara, setelah kamu bulat menerimanya, bertawakallah pada Allah.”(Ali Imran: 159)
Keputusan tadi yang dibenarkan syariat, jangan diungkaikan lagi oleh satu mesyuarat lain. Teruslah laksanakan dan bertawakal kepada Allah.
Kalau begitu apakah perkara-perkara yang boleh disyurakan?
Antara perkara yang boleh disyurakan ialah:
1. Perkara-perkara yang bersifat harus .Contoh yang harus:
a. Hendak buat jalan raya
b. Pergi musafir
c. Buat bangunan untuk pejabat atau kawalan
d. Kenderaan yang hendak dibawa masuk ke negara
e. Bajet perbelanjaan
f. Beli senjata untuk pertahanan negara
2. Perkara-perkara yang bersifat teknikal.Contoh teknikal:
a. Bentuk rumah
b. Bahan yang hendak digunakan
c. Tempat
d. Masa
e. Banyak sedikitnya
f. Tenaga-tenaga yang diperlukan dalam sesuatu projek
Di dalam mesyuarat hendaklah diperhatikan syarat-syarat dan adab-adab. Setiap orang yang terlibat mestilah dapat mengikut disiplin agar keputusan syura itu tepat dan bersih serta diberkati oleh Allah. Di antara disiplin dan adab itu ialah:
1. Bertujuan kerana Allah atau ingin mencari kebenaran serta ingin melaksanakannya, bukan kerana kemegahan atau hobi atau riyak atau menunjuk-nunjuk kebolehan.
2. Setiap orang hendaklah hatinya merasa takut kepada Allah kerana kalau-kalau segala yang dibincangkan tidak tepat atau tidak selaras dengan kehendak Allah dan Rasul.
3. Hendaklah setiap orang memasang niat agar kebenaran itu datang daripada orang lain bukan dari dirinya sendiri agar terlepas dari sifat-sifat riyak, bermegah-megah atau ujub.
4. Bila terlihat kebenaran yang diucapkan oleh mana-mana anggota dalam majlis syura itu hendaklah penuh rendah diri dapat menerimanya.
5. Kalau kebenaran dapat dikeluarkan dari mulutnya sendiri hendaklah bersyukur kepada Allah SWT kerana Allah telah memperlihatkan kebenaran kepadanya.
6. Hendaklah menghormati pandangan atau pendapat anggota. Kalau dia sedang bercakap, jangan memotong cakapnya. Jika dia belum habis bercakap jangan disuruh berhenti. Kalau apa yang dikatakannya benar, ucaplah terima kasih, doakan Allah berikan keberkatan (jazakallah). Kalau salah, jangan menghina. Kalau mampu, betulkan dengan penuh kasih sayang dan mesra, dengan hujah-hujah yang bernas. Kalau kita yang salah, minta ampunlah kepada Allah dengan penuh rendah diri mahu menerima hakikat kesalahan itu.
7. Hendaklah diakhiri majlis itu dengan membaca doa kifarat atau minta ampun pada Allah.
8. Jangan mujadalah. Jangan tinggikan suara. Kalau berbeza pendapat atau menyalahi nas, hendaklah tawaquf.
9. Kalau pandangan tidak dapat disatukan, maka demi perpaduan hendaklah terima pandangan ketua.
KEPADA SIAPA BERSYURA
Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini syura ertinya bertukar fikiran, berunding atau berbincang yang berlaku dua hala dalam mencari satu keputusan yang jitu bagi sesuatu perkara untuk dijadikan tindakan oleh orang atau golongan tertentu atau untuk tindakan bersama. Kalau begitu ertinya syura bukan kepada semua orang, tapi mesyuarat itu, ia dengan seseorang yang cerdik (ada buah fikiran) dan sesuai dengan bidang atau kepakaran yang ada, serta seorang yang bertaqwa. Kalau hendak disenaraikan adalah seperti berikut:
Orang yang hendak jadi partner dalam berbincang itu ialah:
1. Orang yang bertaqwa, supaya timbul keikhlasan dalam berbincang dan dalam berlaku adil.
2. Orang yang cerdik (ada buah fikiran).
3. Seorang yang sesuai dengan bidang yang hendak kita bincangkan itu.
4. Islam. Ini berdasarkan Hadis:
“Jangan kamu bermesyuarat dengan orang kafir dalam memikirkan urusan kamu.”
Sebab orang kafir tidak tahu hak atau batil. Orang kafir juga ada yang memusuhi Islam, jadi takut mereka memberi pandangan yang beracun.
Dengan empat syarat ini barulah Allah akan restu perbincangan dan dapat kejayaan dalam perjuangan. Bilangannya dua orang paling tidak. Tidak mesti rasmi-rasmi. Katalah kita memang ada hendak bincang suatu perkara, tiba-tiba berjumpa di rumah kenduri, mungkin kita ajak berjalan lalu kita pun berbincang. Berbincang secara tidak formal lebih baik, lebih mesra dan hati ke hati. Kalau tentang dasar pelajaran, bincang dengan orang yang berkaitan. Tentang agama dengan orang agama sahaja. Supaya keputusan dibuat oleh ahlinya. Supaya tidak hancur. Hadis ada berkata:
Maksudnya: “Tiada agama bagi yang tidak berakal.”
Ertinya panggil orang cerdik dalam agama. Tidak payahlah satu dewan, kalau seorang saja yang layak, seorang itu sahaja yang diajak berbincang. Berkait dengan soal-soal dasar negara atau hukum-hakam yang tidak jelas, contohnya timbul sesuatu isu, pemimpin negara hendaklah bermesyuarat dengan ulama-ulama yang bertaqwa, ilmunya luas, dihormati umum, punya pengalaman serta pengetahuan am atau general knowledge yang luas dengan tujuan
keputusan dihormati oleh orang ramai. Ini termasuklah keputusan syura yang telah disebut sebelum ini. Kalau ketua merasa ragu dengan keputusan syura itu untuk dijadikan tindakan dalam negara, bolehlah ianya dibawa ke majlis ahlul halli wal aqdi. Inilah Majlis Syuyukh atau Majlis Tamfiz (meluluskan) segala tindakan. Ahli Majlis Syuyukh ini tidak mesti dari pemimpin rasmi, boleh dijemput dari orang-orang yang mempunyai ciri-ciri tadi.
Wednesday, August 5, 2009
Home »
Minda Tajdid
» Kuliah Kepimpinan 6:SYURA MENURUT ISLAM
0 comments:
Post a Comment