Tidak ada orang yang suka masyarakat berpenyakit, bermasalah dan timbulnya gejala-gejala negatif. Misalnya berlaku berbagai-bagai bentuk jenayah dan vandalisme di dalam masyarakat seperti kecurian, rompakan, pergaduhan, penipuan, zina, rogol, tidak hormat pemimpin dan orang tua, tidak belas kasihan dengan kanak-kanak, merosak barang-barang umum, melepak, memekik-mekik dan melalak-lalak. Kerana hal seumpama ini akan merosakkan ketenteraman umum dan akan menjadikan orang ramai dan semua golongan hidup di dalam gelisah, takut, bimbang, resah dan tidak tenang sama ada ia berlaku secara langsung mahupun tidak secara langsung.
Bila terjadi hal-hal negatif di dalam kehidupan bermasyarakat; di sini yang hendak diperkatakan ialah masyarakat Islam seperti yang digambarkan di atas; sudah tentu ada golongan-golongan yang memikirkan bagaimana hendak mengatasi masalah. Biasanya tentulah cerdik pandai dan orang-orang penting masyarakat yang datang hendak memikirkan masalah
itu. Masyarakat umum tentu tidak tahu bagaimana hendak mengatasinya. Mereka bingung. Di dalam kebingungan dan ketakutan itu mereka menunggu siapa yang akan bertanggungjawab. Bila ada golongan yang hendak mengubat penyakit masyarakat, sudah tentulah mereka akan bermesyuarat dan berbincang membuat cadangan. Akhirnya rumusan-rumusan yang merupakan cara-cara bagaimana hendak bertindak dan usaha bagaimana hendak dilakukan diambil sebagai panduan. Bagi saya cara-cara, mekanisme dan usaha-usaha jadi nombor dua dalam menangani gejala-gejala masyarakat itu. Tapi asas utamanya untuk menyelesaikan masalah masyarakat itu iaitu tiang-tiang seri atau tonggak masyarakat yang hendak bertindak itu hendaklah baik terlebih dahulu. Yang dimaksudkan dengan tiang-tiang seri atau tonggak masyarakat ialah seperti ketua-ketua kaum, ketua-ketua masyarakat, para ulamanya, cerdik pandai, pemimpin-pemimpin politik, pegawai-pegawai pemerintah, terutama pegawai-pegawai tinggi, kemudian barulah ibu bapa. Mereka ini bukan saja perlu bertindak menangani masalah tetapi mereka mesti menjadi contoh kepada masyarakat. Agar orang ramai sayang, segan dan hormat. Agar orang ramai akan memberi sokongan dan kerjasama sepenuh hati dan padu. Lebih-lebih lagi mereka yang menimbulkan gejala-gejala itu akan segera malu dan hormat. Menjadikan lidah mereka masin. Lebih-lebih lagi agar tidak jadi bahan-bahan ejekan di belakang mereka atau bahan-bahan perli.
Tiang-tiang seri atau tonggak masyarakat adalah menjadi contoh, ikutan dan suri teladan kepada umum. Kalau mereka boleh menjadi contoh, usaha mereka itu akan berkesan kerana orang ramai menghormati dan malu kepada mereka. Cakap dan saranan mereka mudah diterima. Yang lebih penting dari itu adalah pertolongan Allah SWT yang akan memberi kejayaan melalui usaha-usaha mereka. Oleh yang demikian, tonggak masyarakat itu hendaklah orang yang elok ibadahnya, berilmu, berakhlak seperti merendah diri, pemurah, kasih sayang, lemah lembut, jujur, simpati, bertolak ansur, mengutamakan orang lain dan lain-lain lagi. Kalaulah tonggak-tonggak masyarakat ini baik, mereka akan disayangi dan dihormati. Mereka menjadi suri teladan kepada orang ramai. Usaha mereka diterima penuh. Perjuangan mereka disokong sepenuh hati. Orang ramai malu dan insaf. Bantuan Allah pun datang kerana ketaqwaan mereka. Tiang seri masyarakat itu ibarat tiang atau kayu. Orang ramai adalah bayangan kayu, kalau tiang atau kayu itu lurus, luruslah bayangannya. Kalau tiang atau kayu itu bengkok maka bengkoklah bayangannya. Begitulah apabila teras-teras masyarakat itu baik, maka baiklah masyarakat. Orang ramai mudah mengikut dan meniru. Lebih-lebih lagi yang diikut itu, orang yang mereka sayang dan hormati.
Pada hari ini bagaimanalah gejala masyarakat ini hendak ditumpaskan kalau tiang seri atau tonggak-tonggak masyarakat yang menguasai masyarakat serta ingin bertanggungjawab kepada masyarakat itu, sebahagian besarnya orang-orang yang tidak disayangi dan dihormati. Bahkan adakalanya usaha-usaha mereka itu jadi bahan-bahan ejekan. Kalau tidak terang-terangan pun, berlaku di belakang mereka. Ini kerana orang ramai dan penjahat-penjahat masyarakat itu tahu keburukan yang dilakukan oleh tonggak-tonggak masyarakat itu. Hingga mereka tidak disayangi dan dihormati lagi. Orang ramai tidak mahu menyokong sepenuh hati. Orang-orang jahat dalam masyarakat bertambah benci. Adakalanya mereka bertambah geram dan berdendam. Mereka bertambah lagi membuat tindakan-tindakan liar dan ganas yang lebih menyusahkan lagi. Sebagai contoh kejahatan-kejahatan orang yang menjadi tiang seri masyarakat ini, mereka mungkin tidak bersikap vandalisme tapi sombong dan pemarah. Kalau mereka tidak melepak-lepak, mereka rasuah. Kalau mereka tidak mencuri tapi tamak dan bakhil. Kalau mereka tidak berzina tapi mementingkan diri sendiri. Kalau mereka tidak bergaduh tapi riyak, suka glamour, ingin nama. Kalaupun orang ramai tidak tahu; kerana mereka tidak melakukannya di hadapan orang ramai; tapi Allah Taala tahu. Maka di sinilah usaha-usaha mereka Allah tidak bantu. Hari ini golongan tonggak masyarakat ramai lagi yang tidak atau belum sedar tapi ingin menyedarkan orang. Mereka kurang sangat membaiki diri tapi menyuruh orang ramai membaiki diri. Mereka mahu mengubah pengacau-pengacau masyarakat tapi mereka tidak mahu merubah diri. Lebih-lebih lagi di dalam keadaan mereka tidak berubah, mereka mengata pula, menuduh, menuding jari dan menghina golongan yang dianggap menimbulkan gejala masyarakat. Bukan saja orang jahat sakit hati, orang baik pun benci. Kerana orang ramai tahu, mereka juga perosak masyarakat tapi bentuknya saja yang tidak sama. Orang muda dengan caranya. Mereka dengan cara mereka tersendiri pula. Orang ramai melakukan gejala di tengah ramai secara terbuka tapi mereka melakukannya di tempat-tempat yang tertutup, di tempat-tempat yang eksklusif. Kalau masyarakat ramai tidak tahu tapi bolehkah lari daripada pengetahuan Allah? Kadang-kadang mereka itulah yang membuat program untuk menangani masalah-masalah masyarakat agar masyarakat bersih daripada segala bentuk jenayah dan daripada segala bentuk gejala yang negatif. Bagaimanalah Allah mahu membantu usaha-usaha itu kalau Allah Taala telah murka kepada penganjur-penganjurnya. Akibatnya habis masa, terkorban wang ringgit, sia-sia saja tenaga, hasilnya tiada. Gejala tetap terus berlaku. Adakalanya ia lebih teruk lagi. Oleh itu kita tidak cukup sekadar usaha saja, bantuan Allah itu amat diperlukan dan kenalah diambil kira. Jika Allah Taala tidak membantu usaha-usaha kita kerana dosadosa kita, sia-sia saja usaha kita. Bahkan adakalanya menambahkan dosa lagi serta gejala masyarakat tidak juga pulih dan bersih.
Wednesday, August 5, 2009
Home »
Minda Tajdid
» Kuliah Kepimpinan 5:BAIK TIANG-TIANG SERI MASYARAKAT BAIKLAH MASYARAKAT
0 comments:
Post a Comment