Di sini dibawakan cerita sejarah di zaman Rasulullah saw. Mungkin dari sejarah ini semua orang sudah tahu dan sudah pun disyarahkan. Cuma dari sejarah ini, hendak mengajak kita semua terutama kaum ibu berfikir. Supaya dari sejarah yang akan diceritakan ini kita berfikir, mengkaji, menganalisa dan akan keluarlah nanti ilmu-ilmu yang baru dari sini. Mungkin dari sini timbulnya persoalan, apakah kaum ibu itu patut berperanan atau tidak berperanan? Cerita cerita ini semua orang tahu tetapi oleh kerana kita orang Islam jarang menggunakan akal, lebih-lebih lagi perkara ini dianggap kecil saja, jadi ianya tidak dibahaskan sangat. Bila tidak dibahaskan, ia tidak menjadi ilmu maka tidak menjadi satu pengajaran untuk umat Islam.
Jadi sengaja dibawakan cerita yang semua orang sudah tahu. Kemudian apabila ia diperbincang, ada sesuatu ilmu yang kita akan dapat. Ini berdasarkan 3 cerita:
1. Saiyidatina Aisyah ra selalu mengajar hadis kepada para sahabat, bahkan sahabat-sahabat pun selalu bertanya tentang Rasulullah daripada Saiyidatina Aisyah ra.
2. Nasibah atau nama gelarannya, Ummu ‘Ammarah pernah mengikut pasukan tentera Islam ke medan perang iaitu dalam peperangan Badar untuk merawat tentera-tentera Islam yang luka. Bahkan beliau pernah mempertahankan Rasulullah dalam keadaan Rasulullah sedang sangat terancam oleh musuh.
3. Saiyidatina Asma’ kakak kepada Saiyidatina Aisyah. Beliau pernah membuat kerja besar dalam sejarah iaitu menjadi ‘spy’ Rasulullah semasa Rasulullah dan ayahnya (Abu Bakar) berhijrah ke Madinah. Dia juga membawa makanan untuk Rasulullah dan ayahnya.
3 cerita ini terkenal dalam sejarah. Kita semua pun sudah syarahkan tentang cerita ini. Dan kita jarang mendengar cerita-cerita sejarah tentang wanita yang lain di zaman Rasulullah. Mungkin kita tidak tahu banyak sejarah yang melibatkan wanita atau kita kurang membaca sejarah sehingga kita tidak tahu cerita-cerita sejarah wanita yang lain. Sebenarnya berdasarkan 3 cerita ini, ia menjadi bahan rujukan sepanjang zaman. Jika sesuatu itu menjadi tempat rujuk ertinya ia sudah menjadi perkara yang besar dan telah memberi kesan kepada setiap zaman. Khususnya kepada kemajuan umat Islam itu sendiri terutamanya di sudut kaum ibu. Apa yang dimaksudkan ialah cerita ini dijadikan sebagai tempat rujuk.
Timbul dua golongan di kalangan umat Islam terutama para ulama dalam menilai cerita-cerita ini. Bagi orang awam, mereka tidak faham bagaimana hendak menjadikannya sebagai tempat rujuk. Orang awam hanya mengikut saja.Yang sebenarnya para ulama yang menjadikannya sebagai tempat rujuk. Jadi sudah timbul dua golongan ulama yang menilai cerita-cerita sejarah ini.
Yang pertama, oleh kerana cerita tentang kaum ibu ini sedikit sangat, itupun berlaku waktu darurat, waktu perang atau waktu cemas. Seolah-olah kalau tidak ada waktu cemas, kaum ibu tidak ada peranan. Di samping itu, waktu zaman dulu, oleh kerana orang sangat takut dengan Tuhan, mereka menjadikannya alasan untuk tidak berperanan. Rasa takut bercampur dengan fakta sejarah menyebabkan mereka membuat satu keputusan atau satu konklusi bahawa kaum ibu tidak perlu ada peranan di tengah masyarakat. Mereka lebih baik di rumah. Sejarah itu sudah didengar tetapi mungkin tidak tahu bagaimana hendak mengambil hikmah dari sejarah itu.
Akhirnya sampai sekarang ada golongan ulama yang tetap mempertahankan yang kaum ibu tidak boleh bergelanggang. Tidak boleh mencampuri hal masyarakat dan tidak boleh mencampuri hal negara. Banyak duduk
rumah lebih baik. Tetapi golongan ini sudah tinggal sedikit. Siapa yang larat hendak berkurung di rumah atau hendak disimpan di rumah? Tidak ada siapa yang larat kerana zaman sudah terbuka. Jadi golongan ini sudah tinggal sedikit, hanya di hujung-hujung.
Golongan yang kedua memberi hujah juga dengan merujuk kepada fakta sejarah ini. Oleh kerana ada peranan kaum ibu di zaman Rasulullah, maka sebab itu kaum ibu di zaman ini mesti berperanan di tengah masyarakat. Berperanan untuk ikut membangunkan negara, memajukan masyarakat dan membangunkan ummah.
Di sini boleh dilihat, fakta sejarah yang sama tetapi hasilnya tidak sama. Itu belum lagi dari Quran dan Hadis. Baru dari cerita sejarah. Walaupun itu termasuk dalam hadis juga, tetapi banyak bercorak sejarah. Kalaulah ayat Quran itu betul-betul Al Quran dan Hadis itu betul-betul Hadis, lagi susah hendak diambil intipatinya. Malah hendak diamalkan juga susah padahal ada nas dan ada fakta. Hendak dijadikan tindakan sangat susah. Kerana ia tidak bersifat hukum, halal atau haram dan Qat’i (yang putus dan yang jelas serta yang tidak boleh dipertikaikan lagi).
Jadi kalau begitu, kita yang bukan ulama ini, hanya terpaksa mengikut salah satu daripada pendapat tersebut. Bagaimana? Hendak ikut pendapat pertama atau yang kedua? Bila kita mengkaji, kita akan dapati golongan kedua sebenarnya mengambil kesempatan kerana adanya fakta sejarah ini. Kaum ibu itu boleh mencampuri hal negara dan masyarakat. Maka golongan kedua ini mengambil kesempatan. Lebih-lebih lagi mereka mengambil kesempatan itu di waktu dunia sudah terbuka, maju dan bertamadun. Dengan alasan umat Islam perlu maju. Kalau tenaga lelaki tidak cukup mesti dicampurkan dengan wanita. Alasannya kuat.
Tetapi malangnya apabila ia bercampur nafsu dan fitrah semulajadi yang memang hendak maju. Kalau tidak membahasnya secara halus, kita pun boleh menerima. Maka akhirnya, digalakkanlah kaum ibu ikut membangun, maju tanpa mengikut halal atau haram. Yang fitrah mengatakan bahawa mentang-mentanglah kemajuan itu sesuai dengan nafsu, maka dia pun terus membangun tanpa memikirkan apa syarat rukun sah batal dan haramnya. Mereka fikir kerana ada alasan, bertindaklah. Kerana ada untung, soal disiplin yang Islam tetapkan, mereka buat tidak tahu saja. Tentang syarat rukun buat-buat tidak tahu. Inilah golongan kedua.
Ada golongan menengah iaitu golongan ketiga. Hujah ini boleh kita terima. Selain ada fakta sejarahnya, ia berlaku di zaman Rasulullah. Sesuai pula dengan fitrah maka kita boleh terima. Tetapi kita mesti terima ini, bahawa benar kita ikut bersama dan maju tetapi biarlah bersama disiplin Islam, maju bersama takutkan Tuhan, maju atas dasar cintakan Allah. Jadi kalau begitu setelah dibahas-bahas, lahirlah golongan ketiga. Inilah yang sebenarnya iaitu golongan pertengahan. Kenapa? Kalau kita hendak menerima hujah golongan yang pertama, atas alasan aktiviti kaum wanita tidak banyak di zaman Rasulullah. Malah, tiga kisah itupun hanya berlaku di waktu darurat. Kalaupun ada para sahabat bertanya kepada Saiyidatina Aisyah tentang hadis-hadis, itu bukanlah sesuatu yang dirancang. Hanya sekali-sekala secara kebetulan. Gambarannya, seolah-olah sahabat datang ke rumah Rasulullah. Kebetulan Rasulullah tidak ada, jadi para sahabat bersembang-sembang dan bertanya-tanya dengan isteri Rasulullah tentang hadis-hadis. Bukannya diatur begitu rasmi. Jadi, nampaknya macam kuat juga hujah untuk tidak membenarkan wanita keluar rumah.
Yang kedua pun kita tidak boleh terima kerana itu hanya dibiarkan terus, tanpa fikirkan Tuhan dan halal haram. Yang penting maju dan membangun.
Hujah tentang mengapa di zaman Rasulullah tidak banyak aktiviti wanita dan nampak seperti kaum wanita tidak berperanan adalah kerana waktu itu, bidang-bidang kemajuan kepada umat Islam sangat terbatas. Oleh kerana terbatas, tenaga lelaki pun berlebihan jadi buat apa hendak mengambil kaum ibu? Sebab itu nampaknya kaum ibu duduk di rumah, pasif dan tidak ada kerja. Sebab bidangnya tidak ada. Masa itu tidak ada kementerian. Sedangkan kalau ada satu kementerian pun, sudah berapa ramai orang diperlukan. Tetapi waktu itu tidak ada jabatan dan tidak ada sekolah rasmi. Siapa yang mempunyai anak, mak dan ayah akan mengajar anak sendiri di rumah. Sekolah rasmi tidak ada. Anak-anak bersekolah di rumah sendiri. Ini hujah mengikut fakta sejarah.
Waktu dulu tidak ada syarikat-syarikat besar. Tidak ada yayasan. Tidak ada orang buat estet yang luas. Jadi kalau tidak ada itu semua maka tidak perlulah tenaga. Kalau tidak perlukan tenaga, cukuplah menggunakan tenaga lelaki yang sedikit itu. Mungkin sebelum keluar hujah ini, kita pun berfikir, betul juga nampak sejarah memang kaum ibu tidak banyak keluar. Jadi rupanya bila kita kaji, bagaimana mereka hendak keluar sedangkan memang tidak ada kerja di luar. Tidak ada kementerian, tidak ada jabatan, tidak ada pejabat, tidak ada sekolah dan lain-lain lagi. Jadi sebab itulah kaum wanita tidak keluar dan tidak diberi peranan. Begitu juga dalam hal hendak mengembangkan ajaran Islam. Tenaga lelaki sudah cukup.
Kaum ibu di waktu itu, sekalipun orang kafir, mereka bukan jahat seperti hari ini. Sekadar aqidah mereka tidak betul saja. Sekadar tidak mengikut syariat Tuhan. Tetapi mereka tidak jahat sepertimana yang ada hari ini. Jadi kalau tidak ditampilkan kaum ibu Islam, tetap tidak menjadi masalah. Eloklah mereka menjaga anak di rumah. Kebetulan sekolah rasmi tidak ada lagi. Mengajar anak di rumah lebih baik. Tenaga lelaki sudah cukup untuk pergi berdakwah.
Tetapi sekarang dunia sudah terbuka. Sudah bertamadun. Disamping bertamadun, manusia juga sudah jahat Kejahatan kaum ibu lebih dasyat dari kejahatan kaum lelaki. Bukan saja orang kafir jahat, kaum ibu umat Islam sudah rosak sangat. Jadi waktu ini sudah patutlah tenaga kaum ibu camputangan. Patutlah kaum ibu memainkan peranan. Lebih-lebih lagi, kalau kita hendak berhadapan dengan kaum ibu yang rosak sangat dan sudah liar. Takut-takut nanti kalau kaum bapa yang hendak membuat kerja atau hendak menarik kaum ibu supaya mereka insaf, sedangkan kaum bapa hari ini bukan seperti kaum bapa zaman Rasulullah yang kuat iman mereka. Kot-kot pergi pancing ikan, joran itu ditarik ikan dengan orang-orangnya sekali. Kalau ikan tidak makan, laut yang makan orangnya. Ini sudah terbukti kerana sudah berapa ramai pencegah maksiat hendak menyelamatkan kaum ibu tetapi mereka yang ikut buat maksiat sama. Sengaja berlama-lama baru ditangkap. Itu maksudnya mereka sudah masuk ke laut juga. Kononnya mereka hendak selamatkan orang tetapi mereka juga sudah tidak selamat. Mereka hendak naikkan ikan tetapi mereka yang jatuh ke laut. Setengahnya sudah tertangkap dan sudah menjadi kes. Ini faktor sejarah yang orang tidak boleh tolak. Sudah ramai orang yang terlibat didedahkan dalam surat khabar. Konon-konon hendak buat ambush, hendak menangkap orang berkhalwat maka berebut-berebut hendak pergi ambush. Driver pun hendak ikut ambush.
Jadi cerita ini pun menunjukkan betapa kaum ibu wajib berperanan. Kiaskanlah di bidang-bidang lain yang lebih luas. Memang patutlah kaum ibu itu berperanan. Tidak boleh lagi membawa hujah di zaman Rasulullah yang hanya dua tiga orang saja yang berperanan sedangkan sekarang ini waktu darurat sangat. Ertinya golongan ini tidak pandai hendak mengambil fakta itu untuk dikaitkan dengan suasana masyarakat pada waktu itu.
Dalam ajaran Islam, kemajuan yang lahir di tengah masyarakat Islam dari masa ke semasa ada hubungan dengan fardhu kifayah. Fardhu kifayah itu ialah bilamana sesuatu yang bersangkut paut dengan umum. Kalau sesuatu itu masih bersifat individu maka itu bukan fardhu kifayah. Tetapi kalau keperluan umum, itu fardhu kifayah. Ertinya masyarakat bertanggungjawab. Kalau tidak diwujudkan, semua berdosa. Contohnya, di satu tempat yang ramai penduduk. Susah sangat hendak melalui jalan yang rosak dan ada pula sungai. Kena ada jambatan. Kalau jalanraya itu memang tidak elok maka hukumnya wajib membangunkan jalanraya yang baik atas nama masyarakat. Itulah yang dimaksudkan kemajuan umat Islam, dari masa ke semasa ada hubungan dengan keperluan mereka.
Contoh lain, di satu kawasan, anak-anak sudah ramai, sudah beratus orang. Bagaimana hendak diajar sendiri oleh mak ayahnya sedangkan masing-masing ada tugas sendiri atau tidak pandai mengajar maka hukumnya adalah fardhu kifayah untuk mencetuskan sekolah. Kemajuan yang lahir di tengah masyarakat ini ada hubungan dengan fardhu kifayah. Bila kemajuan itu terpaksa dicetuskan di tengah masyarakat sebagai keperluan maka berlakulah hukum fardhu kifayah yang akan memaksa kaum ibu untuk keluar berperanan sama. Inilah alasan kuat mengapa kaum ibu mesti berperanan. Cuma oleh kerana kita ada Tuhan dan hendak membuat kerja Tuhan, kita galakkan tetapi didisiplinkan. Kita galakkan tetapi ada peraturannya, ada syarat rukunnya. Tidaklah seperti golongan kedua, mentang-mentang ada hujah, wanita boleh maju sama maka teruslah dibiarkan mereka begitu saja tanpa ada disiplin dan peraturan. Akhirnya, walaupun maju tetapi side effect negatifnya terlalu banyak. Inilah yang berlaku pada hari ini. Maju tetapi banyak krisis dan pergaduhan. Apa ertinya maju bersama ketakutan dan jenayah.
Asalnya 3 cerita wanita tadi, terjadilah dua golongan. Yang pertama, sangat mengurung dan mengawal kaum ibu. Hal-hal negara tidak boleh campurtangan langsung. Yang kedua pula mengambil kesempatan. Dengan mudah dimuakan betul-betul tanpa batas. Akhirnya maju tetapi side effect yang negatif terlalu banyak. Kita boleh terima bahawa kaum ibu keluar untuk membangunkan masyarakat dan bangsanya tetapi mesti atas dasar kerana Allah, bersama rasa cinta dan takut kepada Allah. Supaya kemajuan menjadi ibadah dan mendapat pahala serta keredhaan Tuhan dan tidak ada side effect yang negatif.
Sekian
0 comments:
Post a Comment