DALAM memperkatakan manusia dan ibadahnya kepada Allah S.W.T perlulah kita fahamkan maksud sebenar mengapa Allah menjadikan manusia dan menghidupkannya di mayapada ini. Kalau sekadar untuk mewujudkan makhluk-makhluk yang terus menerus memberikan taat setia serta patuh kepada segala perintah-Nya, maka tentulah mencukupi makhluk malaikat yang telah dijadikan-Nya, yang mana mereka itu tidak pernah engkar kepada perintah-Nya. Kerana itu manakala Allah menyatakan yang Dia akan menjadikan manusia-manusia di muka bumi ini, maka malaikat-malaikat berkata yang manusia-manusia ini akan membuat kerosakan dan menumpahkan darah. Namun demikian, Allah-lah yang lebih mengetahui apa yang mereka tidak tahu. Kerana itu Allah terus menjadikan manusia di bumi ini supaya ia menjadi khalifah atau duta-Nya.
Firman Allah:
Maksudnya:
“Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi ini” - Al Baqarah: 30
Hasilnya ialah Nabi Allah Adam A.S dan seterusnya seluruh zuriat-zuriat keturunannya. Maka Nabi Adam A.S adalah merupakan khalifah Allah yang pertama di bumi manakala seluruh zuriat keturunannya hingga dewasa ini adalah merupakan generasi khalifah-khalifah yang akan menyambung tugas Nabi Adam AS. Apakah tugas bagi generasi khalifah-khalifah ini? Tidak lain tidak bukan sudah barang tentulah untuk beribadah kepada Allah semata. Sebagaimana yang telah Allah tegaskan dalam Al Quran
Maksudnya :
“Tidak Aku jadikan jin dan manusia itu melainkan agar mereka beribadah kepada Aku. ” - Ad Dzariat: 56
Dengan matlamat agar manusia-manusia yang telah Allah jadikan itu taat beribadah, maka tentulah Dia tidak membiarkan mereka itu tanpa berpedoman dan panduan.Mereka ini Allah wajibkan supaya berpandu kepada‘ risalah-risalah atau syariat-syariat yang diutuskan-Nya kepada para Rasul masing-masing. Rasul-Rasul ini diutuskan oleh Allah dari zaman ke zaman dan manusia tidak dibenarkan menyeleweng dari syariat yang ditetapkan.Tiap-tiap Rasul yang Allah utuskan tidak boleh mengeluarkan syariat masing-masing. Di kalangan para Rasul yang teragung dan yang terakhir sekali ialah Nabi Muhammad S.A.W. Maka umat Nabi Muhammad dikeluarkan perintah untuk beribadah kepada Allah menurut syariat-syariat yang telah disampaikan oleh Allah kepada Rasulullah S.A.W; satu syariat yang dikenali sebagai Dinul Islam atau syariat Islam.
Lantaran dari itu nyatalah Islam menjadi pegangan setiap umat Rasulullah S.A.W dan mereka diperintahkan supaya mematuhi syariat Islam di dalam setiap aspek kehidupan sepertimana yang dikehendaki oleh Allah dalam firman-Nya:
Maksudnya:
“Masuklah kamu di dalam agama Islam semuanya sekali. ” - Al Baqarah: 208
Sesungguhnya perintah Allah ini adalah menyeluruh dan tidak ada seorang pun yang terkecuali. Dan bagi mereka yang soleh atau yang taat setia atau yang bertaqwa, ganjaran mereka adalah syurga iaitu suatu rahmat ALLAH yang paling besar. Sebaliknya bagi mereka yang mengengkari syariat Rasulullah ini adalah tergolong sebagai kafir atau derhaka (‘asi). Mereka akan dibalas dengan seksa yang amat dahsyat serta menggerunkan di akhirat kelak. Gelanggang penyeksaan yang tiada tolok banding di dunia ini dinamakan Neraka Jahanam dan ini telah Allah firmankan:
Maksudnya:
‘Adapun mereka yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka itu Syurga Makwa sebagai ternpat tinggal sebab perbuatan mereka itu. Dan adapun bagi mereka yang fasik (perosak) maka tempat mereka adalah neraka.” - As Sajadah: 20
Waliyazubillah.
Kesimpulannya, kita ini kesemuanya adalah duta Allah yang dihantarkan ke dunia bagi menjalankan segala perintah yang disampaikan melalui Rasul-Rasul pilihan-Nya. Untuk ini bagi kita ialah Nabi Muhammad S.A.W dan syariatnya ialah Islam. Melalui lslamlah kita diperintahkan beribadah kepada Allah, kita diperintahkan mencurahkan segala bakti dan taat setia kepada-Nya. Barulah bersesuaian dengan taraf kita sebagai duta-Nya. Sebagaimana kalaulah kita ini dihantar oleh kerajaan kita menjadi duta ke negeri orang yang mana kita dilengkapi dengan segala kemudahan seperti kereta, rumah, gaji besar dan sebagainya, maka semestinyalah segala kemudahan ini semata untuk membolehkan kita menjalankan tugas kita dengan sebaiknya mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh negara yang kita wakili itu.
Seandainya kita cuai dengan tanggungjawab kita, malah menggunakan segala kemudahan itu untuk kepentingan diri kita sendiri, maka kita pasti menerima hukuman mengikut kadar kesalahan yang kita lakukan. Begitu jugalah dengan kedudukan kita sebagai duta Allah, yang mana kita dihantar ke dunia untuk menjalankan segala tugas yang telah disyariatkan dan diberikan segala kemudahan agar kita beribadah kepada-Nya maka sekiranya kita menyalah-gunakan kemudahan itu, sudah tentulah apabila kita dipanggil balik ke negara asal kita iaitu negara akhirat, (kita ini sebenarnya bukan warganegara dunia tetapi adalah warganegara akhirat) maka kita akan dihadapkan ke pengadilan dan kita akan diberi hukuman setimpal dengan setiap kesalahan kita. Kita tidak akan dapat melepaskan diri kita daripada seksa Allah yang amat menakutkan itu.
Friday, March 27, 2009
MENGAPA ALLAH JADIKAN MANUSIA
Related Posts:
ISLAM ITU MENGHIBURKAN BILA DISUBURKANIslam diturunkan oleh Allah Taala kepada Rasul-Nya, bukan semata mata ilmu untuk ilmu. Jauh sekali hanya sekadar mental exercise, atau sebagai bahan kajian. Islam perlu dihidupkan dengan cara diyakini, dihayati, diamal dan d… Read More
KESYUMULAN ISLAMISLAM adalah agama yang syumul. Ia merupakan agama yang meliputi semua aspek kehidupan manusia, bermula daripada persoalan diri, keluarga, rumahtangga, jemaah, masyarakat, negara hinggalah kepada persoalan dunia antarabangsa.… Read More
KITA ADALAH PELAKON SANDIWARA DI DUNIAAku hamba-Mu Tuhan adalah pelakon di pentas sandiwara-Mu. Engkau telah berfirman di dalam Al Quran, “Sesungguhnya dunia adalah tempat sandiwara (bermain-main).” Yang indah, benar dan kekal hanyalah di Akhirat sana. Dunia-Mu … Read More
MONOLOG : RASA BERTUHANAku cuba memiliki rasa bertuhan. Tapi masih tidak terasa apa-apa. Orang yang rasa bertuhan ialah orang yang merasa dirinya sentiasa di dalam kekuasaan Tuhan. Bagaimana tu? Terasa payah untuk mendapatkannya. Dia sentiasa se… Read More
GHURUR (TERTIPU DALAM IBADAH)Inilah pembicaraan tentang tertipu. Dalam bahasa Arabnya disebut “Ghurur”. Tertipu dengan kawan-kawan atau musuh sudah biasa sekali kita dengar. Malah ia juga pernah berlaku pada diri kita. Tetapi tertipu dengan amalan jarang… Read More
0 comments:
Post a Comment