Tuesday, March 3, 2009

Mencari Hakikat: Antara Alat Dan Matlamat


Sudah menjadi fitrah manusia untuk hidup di dalam ketenangan, untuk hidup di dalam kebahagiaan. Antara cara untuk bahagia dan tenang itu umpamanya punya pekerjaan yang terjamin, punya rumah yang selesa, punya isteri dan anak-anak yang sempurna, punya kereta idaman dan punyai harta dan wang simpanan yang mencukupi.

Maka berlumba-lumbalah manusia setiap hari dan setiap masa memikir, mencipta, mengejar apa yang danggap sebagai jalan kebahagiaan itu. Bagi yangmengejar kedudukan dan pangkat telah diasuh oleh ibubapa sejak dari kecil untuk menuntut ilmu. Dihantar anak-anak kesekolah,pusat tution supaya apabila besar anaknya menjadi anak yang pandai dan punyai pekerjaan yang besar juga. Kemudian anak yang sudah pun bekerja akan memikirkan lagi bagaimana untuk punyai gaji yang lebih besar, lalu diambil pula ilmu"master" dan "PhD". Hasil dari punyai ilmu tadi maka dapatlah dibelinya rumah yang digelar banglo dengan pelbagai tingkatnya. Ada banglo setingkat, ada banglo dua tingkat, ada apartment dan seumpamanya lagi. Pada pandangan masyarakat umum, maka digelarlah namanya sebagai'orang berada'. Untuk mencukupkan syarat bahagia itu tadi, maka dicarilah pasangan hidup. oleh kerana kedudukannya sebagai'orang berada' tadi, maka calon isterinya itu mestilah yang sesuai dengan statusnya. kebiasaannya isterinya itu dari golongan berada juga, anak hartawan, jutawan, artis, model atau gadis-gadis yang punya nama glamour. Begitu juga, harta dikumpul, disimpan dibank-bank. Soal riba, hutang,sedekah, zakat tak diambil kira. hanya yang penting baginya ialah gelaran orang kaya untuknya. Baginya inilah jalan untuk bahagia.

Tetapi sejarah telah mengajar kita. Sejarah bukannya berlaku sekali tetapi berulang-ulang kali. ini tandanya Tuhan sayang pada hamba-hambaNya, supaya manusia dapat membaca, memikir, mengkaji dan mengambil iktibar dari kisah-kisah yang telah berlaku. Bahkan untuk zaman akhir kurun ini juga, semua kisah dan riwayat dulu-dulu telah berlaku di depan mata.
Setiap hari didada akhbar kita baca, ada orang kaya yangmembunuh diri padahal dia punya harta yang banyak. Rupanya, punya harta yang banyak bukan hakikat bahagia. Setiap hari juga berita penceraian golongan hartawan dan artis menjadi lead story. Rupanya, punya isteri yang cantik dan glamour juga bukan hakikat bahagia. Kita juga baca, ada anak-anak yang punyai kedudukan pangkat dan ilmu ditengah masyarakat, sayangnya ayah ibunya dibuang kerumah-rumah kebajikan. Rupanya, punyai anak yang berjaya dan kaya bukan hakikat bahagia. Dan setiap hari juga,kita dengar dan lihat bahawa jutawan, hartawan berkrisis dimahkamah berebut harta. saman menyaman dah jadi lumrah. hasad dengki, saling jatuh menjatuhkan, fitnah, tuduh menuduh hinga kadang-kadang membawa kepada pembunuhan berlaku. Rupanya punya nama, kedudukan yang first level juga bukan hakikat bahagia. Mengapa terjadi demikian? Tak lain tak bukan kerana alat dah jadi matlamat. Matlamat sudah tidak nampak maka yang dikejar itu disangka matlamat..rupa-rupanya hanyalah alat sahaja. Maka tertipulah kita didunia ini, lebih dasyat lagi sengsara pula diakhirat. lebih faham lagi, didunia dah tak bahagia, akhirat pula beroleh azab sengsara. Tertipunya manusia ini bukan berlaku pada sesetengah manusia bahkan sudah melata pada semua masyarakat. Para ilmuan, orang kaya, ustaz-ustazah, para ulama, negarawan, pemerintah, pemuda-pemudi termasuk jugalah golongan ayah dan ibu..semua sudah tertipu.Macamana yang dikatakan tertipu itu? mari kita bincangkan..
Allah,Tuhan kita ini jadikan manusia atas dua maksud, yang pertama manusia itu dijadikan supaya menjadi hamba Allah. Maksudnya, menjadi hamba yang taat pada Allah, jadi hamba Allah yang sejati bukan hamba harta, bukan hamba wanita dan bukan hamba tahta (pangkat). Lebih mudah dikatakan bukan hamba kepada dunia ini dan seisinya.

Kedua, Allah jadikan manusia supaya menjadi Khalifah Allah di muka bumi ini. ertinya Allah jadikan manusia untuk mentadbir dunia dan seisinya mengikut plan master Allah, undang-undang dan peraturan dari Allah. Dari mentadbir diri, mentadbir keluarga, mentadbir masyarakat, mentadbir negara dan mentadbir dunia ini mengikut peraturan yang Allah tentukan. Samada pentadbir itu dari segi politiknya, ekonominya, pendidikannya, peraturan hidupnya, cara berkebudayaannya hendaklah mengikut plan yang Allah turunkan kepada baginda Rasulullah S.A.W. Tak boleh sekali-kali-kali kita cuba ubah plan ini dengan mengikut isme-isme yang lain seperti ideologi komunis, nasionalis atau kapitalis yang kadang-kadang berselindung disebalik nama demokrasi, keadilan, hak sama rata dan sebagainya.

Mengapa kena ikut plan Allah?..sebabnya plan yang Allah turunkan itu sangat jelas, dapat membezakan yang mana alat dan yang mana matlamat. Plan ini sangat jelas..siap dengan contoh-contoh, riwayat-riwayat dan kesan baik serta kesan buruknya kepada manusia. Sedangkan isme-isme lain saling bercampur aduk antara alat dan matlamat. Kadang-kadang yang alat dah dijadikan matlamat, yang matlamat pula dijadikan alat. Peraturan yang tak jelas ini akan mengusutkan manusia maka terjadilah huru hara dalam semua hal yang ditadbirkan. Isme-isme ini kalau diamalkan pada diri..diri akan jadi huru hara. Jika dilaksanakan dalam rumahtangga maka rumahtangga pula porak peranda. Mana mungkin bahagia..
Contohnya, Allah suruh menuntut ilmu bukan bermatlamat untuk pandai. Tetapi ilmu itu untuk menyuluh kebenaran kerana jika kenal kebenaran maka kenallah manusia itu pada Penciptanya. Pandai itu hanya alat dalam berilmu. Jadi jika kita belajar sehingga pandai tetapi tak kenal kebenaran, tak kenal Allah..maka alat dah jadi matlamat. Sedangkan matlamat utama dalam belajar tak tercapai. Bila setinggi mana pun ilmu yang kita ada, tapi matlamat dah tak tercapai maka nampaklah apa yang berlaku seperti hari ini. Maka lahirlah para doktor yang boleh mengubat penyakit lahir manusia seperti diabetes, darah tinggi, demam dan seumpamanya tetapi tak dapat mengubati penyakit hatinya sendiri seperti penyakit sombong, riya', takbur, ujub, suka dipuji, kedekut dan sebagainya. Apalah gunanya di dunia manusia itu sihat tetapi diakhirat dihumban ke neraka Allah..waiyazubillah.
Pada masa yang sama, tak mengapalah kita tak pandai pun. Hidup setakat menoreh getah, atau menjadi nelayan tetapi kenal Allah. Solat terjaga, syariat kemas, hati pun mulia. Di dunia nampak macam tak ada harga tetapi di akhirat di pandang mulia.

Begitulah juga dalam soal mencari pasangan hidup. Perkahwinan adalah syariat dan lelaki-wanita adalah alat dalam perkahwinan. Tetapi dah alat dijadikan matlamat, maka soal cantik dilebih-lebihkan, soal tua-muda dikira sangat-sangat,bimbang anak jadi janda diusia muda. Hal ada harta benda dititik beratkan kononnya untuk masa depan anaknya. Kononnya akan bahagialah kalau pasangannya itu cantik, kacak, muda belia dan berharta. Kalaulah calon menantu sekadar nelayan walaupun ibadahnya kemas, maka ditolaklah calon tadi kerana bimbang masa depan anaknya tak menentu. Padahal setiap hari di dada akhbar, yang bercerai berai itu golongan yang berharta, artis-artis yang mempunyai rupa yang cantik. Begitulah juga di dalam hal poligami, maka ditentang habis-habisan seolah-olah poligami itu racun rumahtangga. Padahal yang gagal dalam poligami adalah golongan yang menjadikan nafsunya itu sebagai matlamat. Dipilihnya isteri yang cantik-cantik sahaja, yang janda, yang susah tidak diambilnya. Bertambah isteri tetapi dari segi mentadbir isteri-isterinya kacau bilau jadinya. Maka poligami pun disalahkan kononnya sebagai punca cerai-berai, sebagai punca anak-anak tidak terurus, sebagai punca isteri-isteri disepak-terajang. Sedangkan antara matlamat poligami ialah meramaikan umat manusia yang soleh-soleh. Jika satu isteri mempunyi 10 orang anak yang dididik dengan peraturan Allah maka akan lahirlah sepuluh manusia yang beriman, soleh-solehah. Jika 4 isteri maka 40lah anak-anak yang soleh. Untuk apa anak-anak yang soleh ini. Anak ini adalah aset yang bagi ibubapa. Di dunia lagi mereka dah menenangkan hati dan membahagiakan . Di alam kubur ia menjadi aset agar terhindar dari azab kubur.
Sabda Rasulullah S.A.W" akan terputus amal manusia setelah mati kecuali tiga perkara iaitu ilmu yang memberi manafaat, sedekah jariah dan doa anak yang soleh"
dan lebih utama lagi dihari akhirat anak-anak soleh ini akan menjadi wadah untuk membolehkan ibubapanya melangkah kesyurga Allah yang maha cantik, maha hebat, maha indah.
Inilah matlamat poligami. Tetapi bila dalam hal poligami ini, alat dijadikan matlamat..itulah terjadi seperti yang kita lihat hari ini. Ditambahkan lagi dengan produk-produk super power ditengah pasaran. Produk yang bermatlamatkan nafsu ini tumbuh begitu subur umpamanya kopi tongkat ali, kopi berahi dan berbagai jenis lagi. Maka nafsu dah jadi matlamat. terjadilah ditengah-tengah masyarakat ini pelbagai masalah kronik seperti zina, rogol, sumbang mahram dan pelbagai perkara yang telah terjadi sejak zaman berzaman lagi.
Islam melalui lidah Rasulullah S.A.W melalui wahyu dari Allah telah menggariskan panduan alat dan matlamat di dalam perkahwinan agar mendapat rahmat Allah. Matlamat perkahwinan di dalam Islam adalah mendapat redha Allah semata-mata. Nafsu digunakan di dalam perkahwinan agar nafsu itu ditundukkan pada perintah Allah. Dalam mengejar matlamat sebenar iaitu kebahagian hakiki dengan mendapat redha Allah maka segala pendidikan, urusan rumahtangga, tarbiah rumahtangga hendaklah mengikut plan yang telah ditentukan Allah. Dalam rumahtangga adalah langkah pertama untuk menentukan samada kita boleh menjadi pemimpin yang baik. Antara langkahnya ialah mendidik isteri supaya kenal kepada Penciptanya, mendidik anak-anak supaya kenal Tuhannya. Antara cara-cara yang diajar kepada kita ialah dengan solat berjemaah bersama-sama, mengadakan tadarus Al-Quran sekeluarga, saling nasihat menasihati dengan mengambil cerita-cerita para Rasul dan para sahabat r.a. Jangan jadikan rumahtangga kita macam panggung wayang, siaran tv-astro-movie sepanjang masa. ini plan yahudi yang nak melalaikan kita kononnya inilah cara keluarga bahagia bersantai. Jika ini yang diamalkan, InsyaalLah rumahtangga kita juga macam panggung wayang juga iaitu tidak ada ketenangan di dalamnya. Untuk menguruskan suasana keharmonian yang mendapat rahmat dari Allah ini maka pilihlah pasangan yang boleh mengemudikan kapal perkahwinan kearah itu. Jika tidak tunggulah neraka Allah didunia sebelum neraka Allah yang kekal abadi di akhirat nanti.

Begitu juga dalam perkara-perkara yang bersangkutan dengan pekerjaan dan ekonomi. Jika alat dah dijadikan matlamat, lihatlah orang-orang kaya, para hartawan, jutawan dengan pelbagai jenama lagi pada hari ini. Bahagiakah mereka ? Tenangkah hidup mereka? Yang berkrisis itu siapa? penoreh getahkah atau para hartawan? Yang bunuh diri itu siapa? nelayankah atau jutawan? yang naik turun mahkamah dalam kes saman menyaman itu siapa? petanikah atau para bangsawan? kerana apa? kerana kaya dah jadi matlamat bukan alat. Bila harta dah jadi matlamat, maka sepenuh-penuh masa hidupnya digunakan untuk mengumpul harta benda. Tak pernah ada perasaan cukup. Hari ini ada sejuta, tak cukup. Esok kumpul lagi dua juta. Tak cukup juga. Soal haram halal, tolak ketepi yang penting matlamatnya untuk harta akan tercapai. Maka dibuka kilang-kilang judi, arak, bank-bank riba. Penipuan, rasuah bermaharajalela. Tenangkah hidup orang kaya sebegini? Bahagiakah dia? Jawapannya..TIDAK.
Islam datang untuk mengajar manusia dalam hal ekonomi ini agar menjadikan Allah itu matlamat. Kaya sekaya-kayanya pun kita, bila pulang berjumpa Allah hanya diselimuti sehelai kain kapas yang berharga beberapa ringgit sahaja. Mana kekayaan yang kita kumpul? semuanya ditinggalkan. Allah menjadikan kita berharta agar kita dapat bersedekah pada mereka yang susah. Mengeluarkan zakat pada yang tak empunya. Mengingati pada yang yatim, pada yang papa, pada yang miskin, pada janda-janda. Untuk apa? agar kita mendapat tiket yang dinamakan pahala. Tiket ini akan digunakan pada timbangan amal nanti. Berat tiket pahala itu maka dekatlah dengan syurga Allah. Tiket pahala ini pula mestilah didapati dari amal-amal yang ikhlas, bersih dari pendapatan yang haram. Ertinya kekayaan yang Allah berikan kepada kita adalah sebagai alat ke syurga sahaja. Apabila alat disalahguna, maka bila mati..harta yang banyak itu tetap ditinggalkan, akhirat pula menjadi manusia yang muflis pula..waiyyazubillah. Kerana itu juga kita dapat membezakan mereka yang menjadikan harta itu alat atau matlamat. Orang bermatlamatkan harta sentiasa dalam keluh kesah,risau kalau-kalau hartanya berkurang. Bimbang kalau kalau dirompak, maka dipagar rumahnya setinggi-tingginya, diletakkan pengawal-pengawal. Tak cukup lagi, dibela pula anjing-anjing yang garang agar hartanya terjamin. Begitulah bila hati sudah tidak ada ketenangan. Golongan yang menjadikan harta itu sebagai alat sahaja bukannya matlamat tidak akan bimbang dalam hal-hal begini. baginya Allah yang mengurniakan padanya maka Allah juga berhak mengambilnya semula. hatinya tak bimbang kalau hartanya berkurang, Tak juga risau kalau hartanya hilang bahkan jika berlaku maka yang hanya keluar dari mulutnya ialah "Innalillahi wainna ilahirajiun"(dariNya dia datang dan kepadaNya lah jua ia kemnbali). begitulah ketenangan yang ada di dalam hatinya.

Bila manusia memahami dan membezakan antara alat dan matlamat maka dapatlah menyuluh diri tentang hakikat kehidupan kita hari ini. Hakikat hidup ini bahawa kita datang dari Allah dan akan pulang ke matlamatnya iaitu berjumpa Pencipta Yang Maha Agong iaitu Allah Azzawajalla. Orang yang berjaya ialah orang yang menjadikan alat itu sebagai jalan mencapai matlamat. Golongan yang gagal pula ialah yang menjadikan alat itu sebagai matlamat hidup..Wallahualam

0 comments:

Post a Comment