Friday, March 27, 2009

BAHAGIA HAKIKI HANYA BILA MANUSIA MENYINTAI TUHANNYA. CINTA PALSU BILA MANUSIA MENYINTAI MANUSIA

Sebelum tajuk ini dikupas, terlebih dulu dihuraikan erti bahagia.

ERTI BAHAGIA
1. Bahagia itu bersifat rohaniah. Ia bersifat kejiwaan.
2. Bahagia itu adalah rasa atau perasaan. Ia tidak bersifat fizikal.
3. Apabila ia dikatakan rasa atau perasaan, maka bahagia itu bertapak pada roh. Bahagia itu bukan pada mata, telinga atau tangan.

Dengan kata lain, bahagia itu bukan bersifat luaran. Cuma kadang-kadang benda-benda luaran menjadi sebab kepada kebahagiaan. Itu pun tidak hakiki. Kebahagiaan itu berlaku juga kerana ia membentuk rasa-rasa, namun ia tidak kekal atau hanya berlaku pada masa-masa tertentu sahaja. Kerana itulah kebahagiaan yang begitu dikatakan tidak hakiki.

BAHAGIA YANG BERSIFAT DUNIA
Setelah diberikan definisi bahagia, sekarang dibahaskan pula tentang kebahagiaan dunia. Dalam kebahagiaan dunia, perkara atau benda luaran itu membantu juga. Hal-hal pendidikan juga membantu ke arah kebahagiaan itu walaupun ianya tidak hakiki. Kebahagiaan dunia itu tidak hakiki, tidak kekal dan boleh terbatal disebabkan keadaan-keadaan tertentu atau keadaan yang berubah. Sewaktu merasa bahagia, dapat dirasakan yang bahagia itu akan kekal. Oleh kerana bahagia itu bukan hakiki, kadang-kadang ia dibatalkan oleh keadaan-keadaan mendatang. Itulah kebahagiaan dunia, ianya tidak kekal.

Perkara ini perlu difahami betul-betul kerana ianya agak susah kalau hendak dihuraikan semula. Ini belum lagi memperkatakan tentang bahagia bersama Tuhan. Di sini, kita dibawa berfikir dahulu agar perkara ini dipandang secara luas dahulu sebab ini akan membantu. Di hujungnya nanti baru difokuskan kepada kebahagiaan bersama Tuhan.

Sebenarnya, apabila bahagia dikatakan bersifat rohaniah, ia ada hubungan dengan keyakinan sekalipun ianya hal dunia. Keyakinan itulah yang boleh membawa bahagia walaupun tidak kekal atau tidak lama masanya.

Ada beberapa contoh yang boleh diberikan untuk menunjukkan bahawa bahagia itu ada hubungan dengan keyakinan. Di antaranya:

Contoh 1:
Katakan terdapat dua orang yang sama-sama sakit. Kalau dengan sakit itu boleh dapat bahagia, kedua-duanya rasa bahagia. Kalau sakit itu tidak membawa bahagia, kedua-duanya tidak bahagia. Tetapi oleh kerana bahagia itu ada kaitan dengan keyakinan, maka yang satu boleh dapat bahagia dan yang satu lagi dapat sakit semata-mata.

Untuk memperjelaskan lagi, diandaikan kedua-dua orang sakit itu adalah perempuan. Yang pertama sakit hendak bersalin dan yang kedua mengidap sakit barah. Kedua-duanya sakit. Yang mengidap sakit barah tidak merasa bahagia kerana penyakitnya tidak ada harapan. Penyakit barah itu memang tidak ada harapan, hanya menunggu maut sahaja. Sedangkan bagi perempuan yang hendak bersalin, walaupun sakit tetapi oleh kerana ada harapan hendak mendapat cahaya mata, hilang rasa sakit. Dia dapat rasa bahagia sebab sakit itu adalah kerana hendak mendapat cahaya mata dan cahaya mata itu adalah rahmat. Dia rasa yakin bahawa sakit itu kerana hendak mendapat anak. Di sini dapat dilihat, untuk kebahagiaan dunia, apabila dua orang mendapat sakit, yang satu bahagia dan yang satu lagi tidak bahagia. Kenapa?

Inilah yang menunjukkan kedua-duanya mempunyai keyakinan yang berlainan. Bagi perempuan yang pertama, rasa bahagia sebab hendak mendapat anak. Lebih-lebih lagi anak sulung pula, mesti terfikirkan bagaimana agaknya rupa anak yang bakal lahir. Pada masa itu, sakit pun tidak terasa sangat. Sakit tetap sakit tetapi ia tidak menghilangkan bahagia.

Bagi yang menanggung sakit barah, apalah harapan yang ada bila menghidap penyakit ini? Jadi dia mendapat dua kali sakit. Pertama, sakit barah iaitu fizikalnya sakit. Kedua, sakit jiwa kerana tertanya-tanya bila akan mati. Itu yang membuat dia sakit jiwa.

Itulah contoh dan bukti bahawa bahagia itu ada hubung kait dengan keyakinan. Itu hanya masih bersifat dunia. Anak itu juga kebahagiaan dunia. Apabila lahir anak, bertambah rasa seronok dan hilang rasa sakit. Tetapi apabila anak membesar dan dewasa, dia menjadi derhaka. Pada masa itu rasa bahagia dibatalkan oleh keadaan. Ibu bapa hilang rasa bahagia kerana kecewa. Rupa-rupanya, anak yang pada mulanya membawa bahagia tetapi sekarang menghancurkan hati mereka. Dalam hal ini, mereka pernah juga mendapat rasa bahagia sebab ada keyakinan bahawa anak itu membawa bahagia tetapi dalam jangka masa panjang, rasa bahagia itu terbatal. Ini menunjukkan bahagia dunia itu tidak hakiki.

Setelah ada pengalaman pertama, barulah terfikir bahawa apabila mendapat anak tidak semestinya merasa bahagia. Itu telah dibuktikan setelah mendapat anak. Waktu tidak ada pengalaman dulu, ada keyakinan bahawa anak akan membawa bahagia. Waktu mendapat anak disangkakan bahagia. Apabila anak itu derhaka, rasa bahagia hanya tinggal separuh. Keyakinan pun tinggal separuh bercampur pula dengan bimbang. Pada masa itu mula terfikir kalau-kalau ianya terjadi lagi. Bimbang kalau anak kedua pun akan menjadi jahat juga.

Jadi, begitulah kalau orang bahagia dengan dunia. Ia tidak kekal. Kiaskanlah kebahagiaan dengan benda atau perkara yang lain seperti suami, isteri, harta benda, rumah dan lain-lain. Kebahagiaan itu bersifat kejiwaan atau perasaan. Hal-hal dunia ini akan mengalami beberapa keadaan, maka kebahagiaan dunia itu pun akan terubah oleh keadaan.

Contoh 2:
Seorang lelaki yang sudah bertunang, berjanji akan berkahwin dengan tunangannya. Waktu di dalam alam pertunangan, segalanya indah. Apabila sudah berkahwin, keindahan itu sedikit demi sedikit terhakis. Jelas menunjukkan di sini bahawa kebahagiaan dunia itu terubah oleh keadaan.

Kebahagiaan itu sangat berhubung kait dengan keyakinan. Contohnya, lelaki tadi menerima panggilan daripada tunangnya yang hendak berjumpa di satu tempat pada pukul dua pagi. Kemudian ada satu lagi panggilan dari orang lain, mahu berjumpa dengannya di tempat dan waktu yang sama. Pada waktu itu rasa bahagia tidak sama terhadap kedua-duanya. Dengan tunangnya, walaupun belum berjumpa tetapi sudah rasa bahagia sehingga hilang rasa mengantuk. Walaupun hendak berjumpa pukul dua pagi, dia tidak terasa susah kerana ada keyakinan. Yang hendak ditemui adalah tunangnya yang akan dikahwini. Apabila keyakinannya indah, dia rasa bahagia. Ada harapan di situ. Walaupun harapan itu tidak sampai ke mana dan tidak hakiki.

Dengan orang yang kedua, rasa susah hendak pergi berjumpa dengannya kerana tidak kenal dan tidak yakin. Rasa ragu-ragu, bimbang kalau ditipu. Tertanya-tanya kenapa hendak berjumpa? Kalau keyakinan tidak ada, hati rasa bergelombang.

BAHAGIA YANG HAKIKI
Setelah difahami apa erti bahagia dan sebab-sebab untuk bahagia, barulah boleh dikupas bahagia yang hakiki iaitu bahagia dengan Tuhan. Bahagia dengan Tuhan tidak sama dengan bahagia dengan dunia seperti yang telah dibincangkan tadi. Oleh kerana dunia ini dikatakan benda yang dekat, maka bahagia dunia iaitu bahagia dengan benda atau perkara yang telah disebutkan tadi, ia mudah untuk difahami.

Apabila mudah difahami, bahagia itu cepat dirasai. Cuma bahagia itu tidak kekal. Ia akan dibatalkan oleh keadaan. Sebab itu selalu berlaku orang kaya dan orang berjawatan tinggi pun bunuh diri. Kalau tidak bunuh diri pun, mati terhina di hujungnya. Ini kerana bila sampai satu tahap, kebahagiaan dunia akan hilang.

Untuk merasa bahagia dengan dunia adalah mudah dan cepat tetapi untuk merasa bahagia dengan Tuhan, susah dan tidak cepat berlaku. Jadi, sebenarnya amat payah untuk mencari bahagia dengan Tuhan. Falsafah ini tinggi, agak sukar difahami.

Hendak merasai bahagia dengan Tuhan, kalau setakat percaya sahaja yang Tuhan itu ada, memang tidak boleh. Aqidah itu hanya setakat cukup makan sahaja. Hanya untuk mengesahkan iman agar seseorang itu tidak kafir. Kalau hanya paras itu aqidah seseorang, dia sudah Islam dan bukan kafir tetapi dia belum dapat merasa bahagia dengan Tuhan. Seperti yang sudah diperkatakan tadi, bahagia ada hubung kait dengan keyakinan. Percaya saja tidak akan membawa kepada rasa bahagia. Yakni hanya percaya tetapi tidak yakin. Kalau hendak merasa bahagia dengan Tuhan tetapi tidak yakin dengan Tuhan, pasti kebahagiaan itu tidak dapat dirasakan.

Ramai ahli abid yang malamnya bersembahyang, siang berpuasa, wirid dan zikir tetapi hatinya setakat percaya. Aqidahnya kalau sekadar itu, hanya cukup untuk mengesahkan bahawa dia adalah orang Islam namun dia tidak akan mendapat kebahagiaan. Ini sudah banyak kali terbukti apabila didapati ramai ahli ibadah tidak dapat hidup tenang. Berapa ramai ahli ibadah yang suka marah-marah, bersifat bakhil dan hasad dengki sedangkan kalau tengok ibadahnya, dia seperti seorang wali. Itulah akibatnya bila beribadah tetapi terputus dengan Tuhan. Dia percaya Tuhan itu ada tetapi keyakinannya lemah. Dia percaya tetapi belum yakin. Itukah yang dikatakan beragama?

Bahagia hakiki adalah bahagia dengan Tuhan. Bahagia yang kekal abadi. Di dunia boleh dapat, lebih-lebih lagi di Akhirat. Begitu pun, ia tidaklah semudah mendapat bahagia dunia. Oleh kerana bahagia dengan Tuhan sangat mahal, hendak mendapatkannya payah. Hendak dapat bahagia dengan Tuhan iaitu bahagia di dunia sampai Akhirat yang hakiki dan kekal abadi, ada beberapa syaratnya. Di antara syarat-syaratnya ialah:

1.Tahap pertama
Mesti kenal Tuhan betul-betul sampai jatuh hati dengan Tuhan. Hingga dapat rasa takut dan cintakan Tuhan. Maka itu satu tahap. Apabila cinta Tuhan, automatik datang rahmat dan berkat dari Tuhan.

a. Bila cintakan Tuhan, datang cinta sesama makhluk. Apabila cinta sesama makhluk, kita akan jadi berkasih sayang, timbang rasa, bertolak ansur dan kita dapat hiburan di situ. Tapi kalau kita jenis beragama setakat Islam dan laksanakan syariat sahaja, tidak sampai cinta kepada Tuhan maka tidak dapat rasa indahnya. Kita menderma tetapi tidak rasa indah. Kita tolong orang pun tidak terasa indah. Sebab itu, orang di zaman dulu membantu orang kerana merasakan indahnya. Mereka tidak kaitkan dengan syariat tetapi dikaitkan dengan Tuhan. Di waktu susah, Sayidatina Aisyah tetap bersedekah setidak-tidaknya sebelah tamar. Itu pun sudah cukup untuk disedekahkan. Kalau dalam satu hari dia tidak dapat bersedekah, dia sangat tidak merasa bahagia. Apabila dapat bersedekah, dia cukup rasa bahagia. Terasa ringan satu hari. Bagi kita pula, kalau tidak bersedekahlah rasa bahagia. Kalau bersedekah, terasa rugi.

b. Begitu juga bagi orang yang takut dengan Tuhan. Mereka akan takut hendak berbuat jahat dengan makhluk Tuhan. Itulah kesan daripada rasa takut dengan Tuhan. Apabila tidak takut Tuhan, tidak takut hendak berbuat jahat dengan makhluk Tuhan. Di situlah tidak ada bahagia.

Contoh-contohnya:
i. Jika kita bersifat pemarah, adakah akan rasa bahagia? Lebih-lebih lagi kalau sifat pemarah itu sudah menjadi budaya. Ada kesan sampingan atau side effect yang sangat halus, yang tidak kita sedari, di mana dalam keadaan tidak marah pun, hati menjadi risau. Bila tidak ada masalah pun, selalu risau. Itulah side effect sifat pemarah. Orang yang pemarah itu, kesannya tidak akan bahagia. Sifat pemarah itu akan menggelodak dan mengganggu jiwa. Maklumlah ia itu penyakit hati. Sakit gigi pun kita tidak bahagia, inikan pula kalau hati yang sakit.

ii. Apabila rasa takut dengan Tuhan, maka akan rasa takut hendak berhasad dengki. Mengapa orang suka berhasad dengki? Itu kerana hatinya tidak bahagia melihat orang lain senang. Sifat pemarah sudahlah mencacatkan hati. Bila datang hasad dengki, maka bertambah lagi. Itulah kesan-kesan tidak takut Allah membuatkan orang tidak takut berhasad dengki. Adakah waktu hasad dengki itu rasa bahagia? Lebih-lebih lagi orang yang kita hasadkan lebih istimewa dan lebih maju menyebabkan kita merasa bertambah sakit dan bertambah tidak bahagia.

iii. Kita berdendam dengan orang kerana tidak takut Tuhan, adakah rasa bahagia? Pasti tidak ada. Berdendam itulah yang merosakkan kebahagiaan, menjadikan seseorang itu tidak merasa bahagia. Itu akibat tidak takut dengan Tuhan. Kalau tidak takut Tuhan maka tidak takut hendak berdendam sesama manusia.

Itulah rahsianya mengapa tidak bahagia. Sebaliknya apabila takut dengan Tuhan, tidak pernah berdendam tetapi berbaik sangka dengan orang, hati rasa bahagia. Kalau mazmumah itu hasil dari rasa tidak takut dengan Tuhan, walaupun berlaku sekali-sekala tetapi oleh kerana ianya banyak, kita memendamnya tanpa disedari. Memendam mazmumah itu menimbulkan tekanan rohani. Akibatnya, waktu tidak ada masalah apa pun, hati rasa risau. Apalagi waktu ada masalah, mesti menjadi lebih risau. Kesan sampingan dari memendam mazmumah itu ialah rasa risau, tidak tenteram, marah dan lain-lain lagi. Sedangkan kalau takut dengan Tuhan, mazmumah itu tidak ada, pasti rasa tenang dan bahagia sebab tidak ada yang mengganggu hati. Tidak ada hasad dengki, sombong, marah dan dendam yang mengganggu. Itu satu tahap bahagia.

2.Tahap kedua
Mesti percaya dan yakin dengan Tuhan. Seperti yang telah diperkatakan, ramai orang percaya tetapi tidak yakin dengan Tuhan. Sedangkan Tuhan sentiasa berperanan. Mana ada waktu Tuhan tidak berperanan kepada kita walaupun dalam satu detik. Cuma peranan itu ada yang bersifat positif atau negatif. Dalam 24 jam, Tuhan mesti berperanan ke atas kita. Jadi, kalau setakat percaya dengan Tuhan tetapi tidak yakin dengan peranan Tuhan, apabila Tuhan datangkan sesuatu ujian seperti sakit, miskin, patah kaki dan sebagainya, akan hilang rasa bahagia sebab tidak faham dan tidak tahu kenapa Tuhan datangkan ujian sedemikian. Sedangkan kalau kita yakin dengan Tuhan, apabila menerima ujian, kita akan ucap, "alhamdulillah". Moga terhapus dosa-dosa. Terasa ada perhatian Tuhan terhadap kita. Rasa lega kerana tahu dan faham apa maksud Tuhan.

Sebab itulah terjadi, apabila dua orang yang kena musibah yang sama, seorang merasa susah dan seorang lagi merasa tidak susah. Yang satu kecewa dan yang satu lagi gembira. Ini adalah kerana yang seorang yakin dengan peranan Tuhan dan yang seorang lagi tidak yakin, menyangka Tuhan hendak merosakkannya. Inilah rahsia bahagia dengan Tuhan. Ini tahap kedua untuk bahagia bersama Tuhan.

3.Tahap ketiga
Apabila Tuhan memberi nikmat, kalau faham peranan Tuhan, ada dua kegembiraan dan kebahagiaan di situ.

a. Tentulah rasa gembira apabila dapat nikmat. Itu fitrah. Tetapi kalau rasa gembira dan bahagia itu hanya fitrah sahaja, ia akan menjadikan seseorang itu rosak dan sombong. Akibatnya dia boleh menyalahgunakan nikmat dan tidak akan bersyukur kepada Tuhan.

b. Kalau faham tujuan Tuhan memberi nikmat adalah agar kita boleh buat lebih banyak kebaikan dan nikmat itu dapat kita hebahkan, itu akan menambah satu lagi kegembiraan iaitu ia akan menyelamatkannya dan seseorang itu akan berbahagia sepanjang masa. Dia tahu rupanya Tuhan memberi nikmat supaya dia boleh berbuat baik. Supaya boleh mendapat pahala yang banyak. Dia akan berterima kasih kepada Tuhan.

Yang pertama tadi, apabila mendapat nikmat, seseorang itu akan merasa gembira sahaja. Itu terjadi secara semula jadi. Itu fitrah. Kemudian dia boleh menjadi sombong, megah dan jika tersalah guna nikmat, akan menjadi bakhil. Melainkan kalau ditambah lagi iaitu dengan memahami bahawa tujuan Tuhan memberi nikmat adalah untuk membuatkan kita berbuat lebih banyak kebaikan dan menambah pahala, itulah kebahagiaan yang sebenar. Itu bahagia hakiki. Kebahagiaan yang pertama tadi iaitu kebahagiaan semula jadi atau fitrah, tidak kekal kerana apabila datang ujian, bahagia itu terbatal. Tetapi kalau ditambah dengan kebahagiaan kedua, apabila sudah faham dan yakin tentang peranan Tuhan, kebahagiaan kedua itu tidak akan terjejas. Itu kebahagiaan hakiki.

Jadi itulah syarat kebahagiaan bersama Tuhan. Yang pertama, mesti kenal Tuhan. Apabila sudah kenal, akan rasa cinta kepada Tuhan. Kemudian takut dengan Tuhan dan faham serta yakin tentang peranan Tuhan. Meyakini bahawa setiap sesuatu yang Tuhan beri adalah tidak sia-sia dan semuanya ada maksud baik walaupun nampak negatif. Seseorang yang berkeyakinan begitu tidak akan kecil hati, berputus asa atau kecewa sebaliknya dia akan rasa bahagia.

Itulah yang dimaksudkan bahagia bersama Tuhan. Kalau sekadar percaya dengan Tuhan tetapi tidak yakin maka tidak akan dapat bahagia yang seperti itu. Seseorang yang cinta, takut dan faham serta yakin dengan Tuhan, dia akan tahu bahawa peranan Tuhan semuanya baik dan tidak ada yang sia-sia. Asalkan ianya boleh difahami dan diterima. Itulah bahagia yang hakiki. Di dunia lagi sudah mendapat bahagia, apalagi di Akhirat nanti

0 comments:

Post a Comment