Tuesday, March 24, 2009

ROH: APAKAH MAKANAN UNTUK MENYIHATKANNYA?


Sabda Rasululah SAW:
Maksudnya:
"Dalam diri anak Adam itu ada seketul daging. Kalau baik daging itu maka baiklah manusia. Kalau ia rosak, maka rosaklah manusia. Ketahuilah itulah hati (roh)." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini bermaksud, hati kitalah yang menentukan tindak-tanduk kita seharian. Tangan, kaki, mulut, perut dan lain-lain anggota, cuma menunaikan kehendak-kehendak hati. Oleh kerana itu roh (hati) hendaklah diberi makanan atau hiburan yang baik (sempurna) barulah roh (hati) itu sihat dan kuat. Roh yang sihat ialah roh yang mempunyai sifat-sifat hati yang bersih (baik) yakni sifat-sifat hati yang mahmudah.

Sebaliknya kalau roh (hati) diberi makanan atau hiburan yang tidak baik atau kotor, roh tadi jadi sakit atau lemah (lemah jiwa). Roh yang sakit ialah kerana dia berpenyakit. Yakni roh itu mempunyai sifat-sifat hati yang kotor (keji) iaitu sifat-sifat mazmumah.

Barangkali boleh kita kiaskan keperluan makanan atau hiburan roh sama seperti keperluan makanan jasad lahir. Kalau jasad lahir perlukan makanan, maka roh juga perlukan makanan. Jasad akan gemuk dan subur kalau dia diberi makanan yang baik dan berzat. Memilih makanan yang baik untuk badan sangat penting untuk menentukan badan sihat bertenaga dan tidak berpenyakit seperti diberi makan nasi, daging, ikan, sayur, susu dan lain-lain lagi. Ia merupakan makanan berzat yang mampu membina tubuh. Jasad lahir jadi subur dan cepat membesar. Badan jadi segar, cergas, aktif dan bergerak tangkas.

Kalaulah jasad lahir tadi perlukan makanan yang baik dan berzat, roh juga perlukan makanan atau hiburannya yang baik untuk membina roh atau memberi kekuatan kepada roh. Makanan yang baik dan bersih untuk roh ialah zikir, tasbih, tahmid, tahlil, sembahyang, puasa, baca Al Quran, doa, selawat, tafakur, mendapatkan ilmu yang memberi manfaat, memahami dan merasa tentang kebesaran dan kehebatan Allah, faham kenapa Allah datangkan ujian, faham segala qadak dan qadar Allah. Juga berjuang dan berjihad, berdakwah dan mengajar kerana keredhaan Allah, berkhidmat dengan manusia sama ada dengan ilmunya, tenaganya, hartanya dan lain-lain lagi, dengan kefahaman dan penghayatan serta dengan hati yang penuh ikhlas.

Bila makanan yang baik untuk roh ini diberikan maka roh itu akan subur dan sihat. Kemudian ia tidak sakit dan berpenyakit. Roh yang sihat ialah roh yang mempunyai sifat-sifat yang baik (mahmudah) seperti sifat-sifat tawadhuk, pemaaf, pemurah, berani, tawakal, sabar, lapang dada, kasih sayang, timbang rasa, taat, patuh, redha, zuhud, cintakan Akhirat, cinta Allah, rindukan Syurga, takutkan Neraka dan lain-lain lagi. Dengan wujudnya sifat-sifat roh atau hati yang disebutkan tadi, akan tercetuslah keharmonian, aman damai dan kebahagiaan di dalam kehidupan secara individu dan bermasyarakat.

Ertinya, kalau roh sihat, individunya jadi orang yang baikbaik dan soleh. Bukan sahaja dia baik tetapi orang-orang lain juga dapat manfaat bersama dengan kebaikannya. Dia boleh memberi bantuan untuk keamanan dan keselamatan orang lain. Sepertimana pernah berlaku dalam sejarah di zaman Rasulullah SAW juga salafussoleh. Makanan roh mereka adalah zikir, tasbih, tahmid, tahlil, baca Al Quran, sembahyang, sedekah, puasa, tafakur, selawat dan lain-lain lagi. Mereka disebut oleh Rasulullah SAW sebagai:

Maksudnya:
"Sebaik-baik manusia ialah manusia di kurunku. Kemudian kurun yang mengiringinya. Kemudian kurun selepas itu." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Justeru itu lahirlah dalam kehidupan mereka hasil daripada roh yang kuat dan tenang serta akal yang dipimpin oleh hati, satu kehidupan yang luar biasa. Mereka aktif membantu masyarakat, berkhidmat pada masyarakat, mementingkan masyarakat dan mengutamakan orang lain lebih dari diri sendiri. Mereka jadi pelindung dan penaung kepada masyarakat. Jadi pembangun tamadun dan pengislah di bumi. Masyarakat selamat, dunia jadi aman makmur.

Kenapa berlaku roh atau hati itu sakit? Kiasannya, macam juga badan atau jasad lahir. Badan sakit kerana makanan yang tidak baik atau tersalah memilih makanan. Atau badan terdedah dengan udara yang berkuman. Badan atau jasad kurus kalau tidak diberi makanan yang baik-baik. Makanan yang tidak bersih, bernajis dan berkuman tidak baik untuk badan atau jasad seperti rokok, arak, candu, ganja, morfin dan lain-lain lagi. Akhirnya, badan jadi tidak subur, rosak dan mudah diserang penyakit.

Akibatnya badan jadi lemah, tidak bertenaga, hilang kecergasan, tidak bermaya, tidak aktif, pasif dan sakit-sakit. Bahkan menyusahkan orang lain dengan kesakitan yang ditanggungnya. Boleh jadi penyakitnya itu penyakit yang berjangkit yang menyebabkan orang menjauhi diri darinya. Ertinya bukan dia sahaja yang sakit dan susah bahkan orang lain juga turut susah dan disusahkannya.

Begitu jugalah bandingannya roh yang diberi makan dengan makanan yang tidak baik atau tersalah pilih makanan yang tidak bersih tadi. Makanan roh yang tidak bersih atau tidak baik itu seperti berhibur dengan nyanyian yang melalaikan, muzik-muzik, menonton filem-filem lucah, suka melihat aurat perempuan, suka bergaul bebas dengan lelaki atau perempuan yang bukan muhramnya, berhibur dengan judi, tari-menari, arak, zina, suka ke kelab malam, pub, disko, rumah sundal dan sebagainya.

Semua makanan atau hiburan roh bentuk ini akan membina mazmumah serta menyuburkan dan membangkitkan nafsu. Oleh kerana makanan roh tadi itu tidak bersih, maka akibatnya roh jadi tidak subur. Roh sudah dirosakkan. Jadilah roh itu sakit, mudah berpenyakit atau lemah jiwa. Iaitu ia ditimpa penyakit-penyakit sifat-sifat mazmumah seperti sombong, riyak, ujub, pemarah, tamak, hasad dengki, pendendam, bakhil, penakut, gila dunia, gila pangkat, gila puji dan lain-lain lagi.

Dorongan hati (roh) yang bersifat jahat ini akan menghasilkan tindak-tanduk anggota-anggota lahir yang mencetuskan perbuatan- perbuatan jahat di tengah kehidupan masyarakat. Maka lahirlah mengumpat, mengeji, menghina, menghasut, berkrisis yang tidak sudah-sudah, demonstrasi di sana sini, perpecahan di mana-mana, penipuan di semua peringkat, rasuah berleluasa, kecurian dan rompakan yang menjadi-jadi, penyalahgunaan kuasa bermaharajalela, menggelapkan wang negara, kekusutan rumah tangga yang berpanjangan dan pergaduhan yang akhirnya membawa peperangan. Inilah kemuncaknya. Akibat dari itu, akan hilang ketenangan, kebahagiaan, kedamaian dan keselamatan di kalangan manusia.

Tidak ada ketenangan, kebahagiaan dan kedamaian di dunia hari ini kerana roh manusianya sudah ditimpa penyakit mazmumah. Bukan sebab-sebab yang lain. Tapi malangnya para pemimpin, golongan intelek, para pendidik atau para cendiakawan hari ini banyak yang belum ketemu lagi punca-punca penyakit ini. Masing-masing menyangka tidak bahagia, tidak tenang, tidak damai adalah berpunca daripada soal-soal kemiskinan, berpunca dari soal-soal ekonomi, soal-soal politik yang ada, berpunca daripada sistem masyarakat yang wujud di hari ini.

Walhal itu semua adalah buah atau hasilnya. Pokoknya adalah hati. Hati (roh) itulah punca segala masalah (penyakit). Oleh kerana cerdik pandai dan para pemimpin hari ini tidak nampak penyakit-penyakit ini berpunca daripada hati, maka dicuba-cubalah baiki penyakit-penyakit tadi dengan membaiki sistem yang ada ini. Dibaiki sistem pentadbiran, dibaiki sistem politik, dibaiki sistem masyarakat, membasmi kemiskinan dan lain-lain lagi. Yang paling parahnya, hati mereka sendiri lebih banyak penyakitnya (mazmumah) atau paling jahat. Apakah orang jahat boleh membaiki orang jahat? Anda jawablah sendiri. Inilah yang berlaku di dunia moden hari ini.

Oleh itu kononnya berhibur mengikut istilah masyarakat hari ini mesti dengan melakukan maksiat dan kemungkaran. Itu adalah pendapat yang tidak betul menurut Islam. Hakikatnya ia menjadikan hati (roh) macam badan atau jasad yang makan makanan yang kotor, bernajis dan berkuman atau macam tersalah pilih makanan seperti ganja atau morfin. Bahkan bertambah melalaikan dan merosakkan badan. Begitu juga roh (hati), dia jadi bertambah berpenyakit dan sakit. Memperdalamkan lagi sakit jiwanya. Disangka terhibur tapi yang sebenarnya tidak.

Cuma berhibur dengan maksiat ini mengghalitkan (melalaikan). Lupa sekejap masalah dan penderitaan jiwa (buat semen- tara waktu). Bukan membahagiakan, hanya lupakan sekejap masalah diri. Selepas itu penderitaan itu datang semula bahkan bertambah kusut dan bertambah frust lagi. Buktinya, kita lihat di dunia hari ini, mereka yang menggelar diri mereka itu penghibur antarabangsa, merekalah yang paling tidak terhibur. Berjaya menghiburkan orang tetapi hatinya sendiri tidak terhibur. Akhirnya ambil dadah, ganja, morfin dan sebagainya. Diri binasa dengan AIDs dan akhirnya mati. Sesetengahnya pula bunuh diri.

Sebab itu penghibur-penghibur di hari ini seperti penyanyi, penasyid-penasyid yang telah melacurkan nasyid-nasyidnya, penari, pelakon, penyambut tetamu, peragawati, pelacur-pelacur, yang dedah aurat dan jual maruah diri dengan harga yang murah, mereka semuanya sebenarnya orang yang paling sakit jiwa. Itulah sebabnya golongan inilah yang paling banyak ‘frust’ dalam hidup. Data dan fakta menunjukkan golongan inilah yang paling banyak bunuh diri, kahwin cerai, kecewa dan sakit jiwa. Paling tidak, jiwanya gelisah.

Ini menunjukkan berhibur cara itu bukan fitrah tetapi adalah rangsangan nafsu yang jahat. Oleh itu orang-orang yang berhibur dengan perkara itu tadi, akan jadi orang yang jahat pula. Yang mana selalu jadi masalah pada masyarakat. Untuk membuktikan ia bukan dari fitrah murni tetapi dari dorongan nafsu jahat, kita lihat walaupun majoriti manusia terjebak dengan hiburan itu kerana tidak mampu untuk lawan nafsu tetapi kalau seseorang itu hendak jadi pemimpin negara atau raja, orang ramai akan mempersoalkan jika dia kaki disko, kaki zina dan kaki membuang masa di kelab malam.

Di Barat, mana-mana pemimpin yang terlibat dengan kes-kes perempuan, dia akan jatuh dalam pilihan raya. Rakyat tidak menyenanginya sedangkan rata-rata rakyatnya pun sama-sama jahat seperti pemimpin mereka. Ini menunjukkan fitrah manusia suka pada kebaikan walaupun dia sendiri seorang yang tidak baik

0 comments:

Post a Comment