Saturday, March 14, 2009

ASAS-ASAS RUMAHTANGGA BAHAGIA


Adalah tidak mudah membina rumahtangga bahagia, walaupun ramai orang memperkatakannya. Ini kerana membina dan memperkatakan adalah dua perkara yang amat berbeza.Memperkatakan rumahtangga bahagia itu mudah kerana ianya hanya satu teori lisanul hal tetapi nak membina rumahtangga bahagia itu adalah satu pratikal atau lisanul maqal. Orang lain yang turut serius tentang rumahtangga syurga, bahawa dalam banyak hal manusia sanggup menggadai nyawa untuk mencapainya. Contohnya sudah ramai yang mati terjatuh ketika mendaki Gunung Everest dan gunung-gunung yang lain. Dalam waktu yang sama, masih ramai yang menunggu giliran untuk mendaki. Mereka yang sudah berjaya ke puncak Everest tidak membawa pulang apa-apa untuk dikongsi oleh orang lain.

Banyak lagi pemburuan manusia yang berakhir dengan penderitaan. Sebab itu penjara, pusat serenti dan pusat sakit jiwa sesak dengan penghuni. Cukup sekadar contoh, ertinya manusia gigih, bersungguh-sungguh, cekal dan tabah dalam memburu cita-cita yang tidak dipastikan sama ada positif atau negatif. Ertinya dalam konteks membina rumahtangga syurga perlukan kegigihan, bersungguh-sungguh, cekal dan tabah dalam mencapainya. Kalau dalam aspek lain yang tidak dipastikan hasilnya positif atau negatif, itu pun manusia sanggup sampai tergadai nyawa, maka dalam membina rumahtangga syurga perlukan komitmen sepenuhnya juga. Bukan sambil lewa atau acuh tak acuh. Segala resipi mesti diikuti sepenuhnya. Kerana antara satu dengan yang lain saling lengkap melengkapi. Gabungan seluruh resepi itulah akan terjamin hasil yang memuaskan. Perlu juga difahami bahawa sesuatu yang bernilai tinggi lebih sukar diperolehi. Syurga tentulah amat bernilai biarpun sekadar syurga dalam kehidupan berumahtangga. Sudah menjadi pengalaman manusia, untuk memperolehi sesuatu yang bernilai, umpamanya gaji RM10,000 sebulan, atau untuk menjadi profesor atau doktor,memerlukan kerja keras dan berhempas pulas. Begitulah juga untuk menjadikan rumahtangga syurga.

Suasana rumahtangga syurga itu penuh dengan kebahagiaan,rasa tenang dan tenteram, aman damai dan harmoni.Penuh keceriaan dan kegembiraan. Di dalam rumahtangga syurga mestilah ada hal-ha1 seperti berikut:

1. Rumahtangga itu dibina atas nama Allah, cita-cita dan bermatlamatkan Allah, atas tujuan agama Islam, mengamalkan syariat Allah. Atau dengan lain perkataan, ada iman dan taqwa yang mana kalau susah pun mendapat keuntungan dan dalam keadaan senang pun mendapat keuntungan.

2. Subur kasih sayang iaitu lemah lembut, lunak, bertolong bantu, pemaaf, rasa bersama, bekerjasama, berkongsi susah dan senang, sepakat dan muafakat, seia sekata, berlapang dada, bertoleransi, tidak menyinggung dan tidak pula tersinggung, tidak mengguris hati dan tidak pula terguris hati.

3. Akhlak mulia sangat ketara dan menonjol di kalangan anggota keluarga.

4. Suami sentiasa tenang bersama isteri yang setia.

5. Isteri pula merasa bahagia bersama suami yang sangat bertanggungjawab.

6. Anak-anak merasa tenang dan jiwa terisi melihat ibu bapa yang bertanggungjawab dan berkasih sayang.

7. Antara sesama anggota keluarga, ketiadaan salah seorang antara mereka dirasai kehilangan dan kekosongan, rindu merindui, bertemu tidak jemu, berpisah diserang gelisah.Kehadiran bersama terasa selesai masalah.

8. Ibu ayah melihat anak-anak sejuk hati kerana berakhlak, mendengar kata dan hormat ibu bapa.

9. Dalam rumahtangga syurga tidak ada elemen negatif iaitu:
a. kata nista
b. perkataan atau perbuatan yang menyakitkan hati
c. berdebat, bertengkar, dan bertegang urat
d. sindir menyindir dan menghina
e. tuduh menuduh dan menfitnah
f. maki hamun dan adu domba
g. cerca mencerca dan menghasut
h. perkataan atau cakap kotor dan lucah
i. pukul memukul, bertumbuk, bersepak terajang, tendang menendang.

10. Anggota keluarga membesarkan Allah melalui:
a. sembahyang berjemaah
b. qiamullail
c. mengajar, belajar dan membaca Al-Quran
d. wirid zikir seperti takbir, tasbih, tahmid, tahlil, istighfar dan doa
e. kuliah-kuliah pengajian, motivasi dan fardhu ain
f. nasihat menasihati.

Oleh itu setelah melihat kepada asas di dalam rumahtangga bahagia atau rumahtangga syurga ini maka asas sebelum membinanya mestilah dianggap perkara terpenting. Umpamanya kalau nak membina rumah yang selesa, cantik, teguh dan tahan lama maka foundation(asas) kepada membina rumahtangga adalah penting seperti jenis kayu, kualiti kayunya, tapak rumah yang kukuh dan seumpamanya. Begitulah jika hendak membina rumahtangga syurga maka asas kepada rumahtangga syurga iaitu lelaki dan wanita tadi dianggap penting. Mana mungkin jika rumahtangga yang diidamkan itu rumahtangga syurga tetapi lelaki atau wanita mempunyai sikap yang sebaliknya. Asas yang penting itu umpamanya lelaki atau wanita itu mempunyai iman yang mantap, bertaqwa kepada Allah, terdidik dengan ilmu-ilmu Islam yang kukuh, mempunyai pandangan yang sama di dalam perjuangan, kuat jiwa atau rohnya, mulia akhlak sehariannya, merdeka akalnya dari ideologi yang bersalahan dengan Islam, terhindar pekerjaannya dari hal yang haram dan syubhat.

Semua asas ini hendaklah pula teruji. Ramai yang boleh mengaku beriman tetapi ramai mana pula yang telah teruji keimanannya. Paling asas kepada ujian ini ialah melihat sikap sehariannya. Jika seharian yang keluar dari mulutnya hanya puji-memuji tentang kecantikan calon pasangannya, impian kekayaan di dalam rumahtangga, saiz rumah dan perabot dan pelbagai hal yang lahir maka asas kepada rumahtangga syurga dan bahagia ini sangat lemah bahkan saya katakan hanyalah satu tipuan sahaja. tetapi sebelum berumahtanga sudah ada pesan-memesan supaya menjaga solat, menjaga aurat, menceritakan tentang iman para rasul dan sahabat, menceritakan tentang teguhnya perjuangan rasul dan sahabat, bercakap tentang perjuangan Islam, berpesan-pesan supaya mengelakkan fitnah, tipu daya syaitan, saling memberi hadiah berupa bacaan-bacaan agama supaya teguh imannya dan pelbagai lagi yang berkaitan dengan kaedah rumahtangga yang bersandarkan Tuhan, maka terdapatlah tanda-tanda bahawa rumahtangganya mempunyai asas atau tapak kepada rumahtangga bahagia.
Ingatlah, bahawa rumahtangga bahagia tidak dibina di atas dasar lahir manusia seperti rupa-paras,tua-muda,cacat sempurnanya pasangan, besarnya saiz rumah, mewahnya harta benda kerana yang cantik itu akan tua dan segala kemewahan itu mungkin lenyap. Binalah rumahtangga atas jiwa manusia. sesuai dengan firman Allah yang bermaksud
"Wahai nafsu (jiwa) yang tenang (suci). Kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dengan (hati) redha dan diredhai (Tuhan). Maka masuklah kamu dalam golongan hamba-hamba-Ku. Dan masuklah kamu ke dalam Syurga-Ku." (Al Fajr: 27-30)"
Jiwa yang baik maka rumahtangganya juga baik. Yang zahir sahaja baik belum tentu rumahtangganya baik. Manusia yang jiwanya baik maka perwatakannya semulajadi akan baik bukan dilakon-lakonkan, pergaulannya baik, rakan karibnya terdiri dari orang yang baik-baik, amalannya baik, atau senang dikatakan jika manusia yang jiwanya baik maka zahirnya juga baik.
Tetapi calon rumahtangga yang jiwanya tidak baik , maka hidupnya penuh lakonan. Dilakonkan dirinya supaya nampak baik, cakapnya dilakon-lakonkan supaya keluar perkataan yang baik-baik. Hakikatnya lakonan ini berakhir apabila rumahtangga itu terbina. Maka selepas itu keluarlah taring dirinya yang sebenar.
Wahai mereka -mereka yang mencari jalan bahagia,rumahtangga bahagia. Carilah dengan akal dan jiwa . Ujilah mereka dan janganlah tertipu dengan zahir manusia. Sudah jutaan manusia sudah tertipu. Yang diidamkan bahagia, beroleh derita. Yang impikan syurga rupanya hanyalah neraka. Kembalilah kepada kaedah Allah dalam mencari bahagia, InsyaAllah..pasti bahagia. Amin

0 comments:

Post a Comment