Thursday, June 4, 2009

AGAMA YANG KHALIS

Tuhan berfirman dalam satu ayat yang pendek:
Maksudnya: "Kepunyaan Tuhanlah agama yang murni itu." (Az Zumar: 3)

Semoga huraian kepada ayat ini menjadi ilmu yang kita boleh fahami, hayati dan applykan dalam kehidupan kita. Ayat ini boleh dihuraikan dalam tiga bahagian:
1. Kepunyaan Tuhan
2. Ad Din
3. Agama yang murni (khalis)

KEPUNYAAN TUHAN
Tuhan memiliki satu khazanah kepunyaan-Nya yang paling berharga. Satu khazanah yang terlalu indah, cantik, selamat dan menyelamatkan. Sewaktu di alam roh, Tuhan telah menawarkan khazanah-Nya yang paling berharga ini kepada bumi, langit dan gunung-ganang. Tuhan telah mempromosi betapa cantik, indah, selamat dan menyelamatkan khazanah ini lalu ia mesti dijaga betul-betul dan dipelihara dengan penuh bertanggungjawab. Dari itu datanglah takut pada bumi, langit dan gunung-ganang. Mereka menolak tawaran Tuhan kerana takut tidak dapat menjaga amanah dan tidak dapat bertanggungjawab.

Maka akhirnya Tuhan menghadapkan khazanah ini kepada roh-roh manusia. Mendengarkan keindahan khazanah itu tanpa rasa cemas terhadap tanggungjawabnya, mereka berkata, "Kami sanggup, wahai Tuhan." Waktu di alam roh, kita mengaku tetapi bila roh masuk ke jasad, kita lupa. Lantas untuk mengingatkan kembali kepada manusia akan amanah yang diberi oleh Tuhan, inilah hikmahnya Tuhan datangkan rasul, nabi, mujaddid dan para ulama ul amilin. Khazanah Tuhan yang berharga itu adalah Ad Din. Ad Din atau agama sebenarnya adalah khazanah kepunyaan Tuhan yang paling berharga.
Rupa-rupanya kita telah berjanji dengan Tuhan di alam arwah (roh) untuk menjaga amanah ini. Satu amanah yang langit, bumi dan gunung-ganang tidak sanggup menerimanya tetapi kita sanggup. Amanah ini adalah Ad Din iaitu agama yang murni.

AD DIN
Ad Din adalah khazanah Tuhan yang cantik, indah, selamat dan menyelamatkan. Ad Din bermaksud agama. Dalam bahasa Sanskrit 'a-' maknanya tidak, 'gama' maknanya berpisah-pisah atau bercaing-caing. 'Agama' ertinya tidak berpisah-pisah, tidak bercaing-caing.

Dalam bahasa Arab, Din itu agama yang bermaksud cara hidup. Maka agama adalah satu cara hidup yang tidak boleh dipisah-pisahkan antara satu sama lain. Ertinya ia berangkai. Kita tidur, itu cara hidup, mesti jadi agama. Bangun dari tidur juga cara hidup, mesti jadi agama. Selepas itu sembahyang Subuh, itu cara hidup yang mesti jadi agama. Sarapan pagi juga cara hidup, mesti dijadikan agama. Kita pergi kerja, itu cara hidup yang mesti jadi agama. Jadi tidur, bangun, aktif bergerak, semuanya adalah aktiviti manusia yang pelbagai bentuk, tetapi ia berangkai, tidak terpisah. Masa juga tidak memisahkannya kerana masa itu bersambung. Rupa-rupanya agama adalah cara hidup yang tidak boleh dipisah-pisahkan.

Janganlah hanya sembahyang, puasa, naik haji jadi agama tetapi di dalam pekerjaan, berekonomi, bermasyarakat, berpendidikan tidak jadi agama. Sedangkan semuanya mesti berangkai. Pergi mengembara jangan terkeluar dari agama. Kita bangunkan ekonomi, itu dunia, itulah juga agama. Di dalam mentadbir, berkebudayaan, kesihatan, perhubungan, jangan ia dipisahkan dari agama.

Apa pun aktiviti hidup mesti kita agamakan. Mesti ada hubung kait dengan Tuhan. Tuhan mahu apa sahaja cara hidup kita sama ada yang lahir atau batin, jangan terkeluar dari agama. Apa pun dibuat mesti jadi agama. Kerana kita telah berjanji kepada Tuhan di alam arwah untuk menerima amanah dan tanggungjawab menjaga agama-Nya. Mampukah nanti di Akhirat kita bertanggungjawab di hadapan Tuhan kalau agama-Nya kita khianati?

Perumpamaan Din itu adalah sebagai jaring. Jaring yang elok boleh mendapatkan sesuatu, contohnya ikan. Tetapi kalau jaring itu sudah bolong merata-rata, tentu tidak dapat ikan. Apa maksud jaring bolong? Iaitu hidup kita dari mula bangun, bekerja, ada yang dijadikan agama, ada yang dijadikan dunia. Ibarat jaring bolong, tidak dapat ikan. Ertinya Islam kita tidak lengkap. Bila tidak lengkap, tidak boleh dapat taqwa. Bila tidak dapat taqwa, inilah rahsianya mengapa umat Islam tidak maju, tidak mendapat bantuan Allah SWT. Sedangkan Allah berfirman dalam Al Quran:
Maksudnya: "Allah jadi pembela bagi orang bertaqwa." (Al Jasiyah: 19)

AGAMA YANG KHALIS (MURNI
Setidak-tidaknya ada dua maksud agama yang murni:
1. Agama yang khalis bermaksud agama yang murni, 'pure' atau tulen. Ertinya tidak boleh sebahagian hidup jadi agama, sebahagian lagi jadi dunia. Bila sudah bercampur hal-hal dunia maka tidak 'pure' lagi agama kita.
Bila sembahyang di masjid, itu banyak hablumminallah. Sedangkan di pasar ada hablumminallah dan ada hablumminannas. Hablumminannas adalah hubungan dengan manusia seperti tidak terlalu berkira, mesra, jujur dan berkasih sayang semasa berniaga. Hablumminallah bermaksud hatinya bersama Allah secara batin sewaktu berniaga. Perniagaan itu diniatkan sebagai suatu ibadah kepada Tuhan dan suatu khidmat kepada manusia. Kiranya ada keuntungan akan disedekahkan kepada jalan Allah. Itu yang dimaksudkan di pasar itu kita beragama.

Apa yang berlaku sekarang sembahyang jadi agama, tapi apabila di pasar sudah bukan agama. Boleh tipu-menipu, tindas-menindas, mengamal riba dan sebagainya. Bahkan sekarang di masjid pun sudah tidak ada agama yang tulen. Di masjid pun hal agama telah dicampur dengan hal dunia. Kadang-kadang hal agama diduniakan. Di pejabat lagilah susah. Khalis itu maksudnya jangan agama dengan dunia dicampur. Manusia telah merosakkan agama Tuhan apabila urusan kehidupan diduniakan.

2. Agama murni yang batin itu bagaimana? Di dalam agama, niat adalah penting. Niat adalah roh ibadah. Kalau niat sudah rosak, rosaklah semuanya.
Peranan niat ini sangat penting. Apa pun yang kita lakukan walaupun sekecil-kecil perkara, jangan diniatkan selain kerana Tuhan. Contoh, "Aku hendak sembahyang jemaah di masjid, Tuhan suka." Kemudian ada pula terselit niat, "Aku suka sembahyang di masjid sebab orang selalu kenduri." Itu sudah tidak khalis. Ada niat kerana Allah, ada kerana hendak makan.

IKHLAS YANG BERCAMBAH
Tuhan hanya menerima apabila agama yang kita sembahkan itu agama yang murni. Jangan ada termasuk kerana selain Allah. Bagi orang yang benar-benar menghayati agamanya, bukan saja dapat khalis yang asas bahkan bercambah lagi. Contohnya, "Saya hendak sembahyang jemaah di masjid kerana itu kesukaan Tuhan. Nanti bolehlah berkasih sayang dan bersilaturrahim. Di masjid itu ramai orang, boleh berbincang tentang Islam, tentang perjuangan. Di sebelah masjid ada restoran, senanglah hendak belanja kawan."
Maka ikhlasnya disuburkan, dicambahkan lagi. Sedangkan kalau kita dapat murnikan niat yang asas pun sudah cukup.

Namun ada orang yang kerana ikhlasnya, niat asalnya bercambah-cambah lagi kerana terlalu menghayati Tuhan. Jadi yang dimaksudkan agama yang khalis itu adalah agama yang benar-benar tulen, sama ada yang lahir mahupun niat yang batin. Hari ini bukan sahaja yang batin, yang lahir pun sudah rosak. Hingga yang bukan agama pun dianggap agama.
Kesimpulannya, yang dikatakan Din atau agama, ialah sesuatu kepunyaan Tuhan, khazanah milik Tuhan yang maknanya adalah cara hidup. Cara hidup itu pula berangkai-rangkai dan tidak boleh dipisah-pisahkan. Dengan maksud seorang itu hendaklah beragama dengan cara hidup yang Tuhan aturkan dan dalam beragama hendaklah ikhlas. Agama tidak boleh dicampurkan dengan ideologi lain atau dengan niat-niat lain. Agama Islam yang khalis itu adalah agama yang murni, pure dan tulen. Ia cara hidup yang tidak berpisah-pisah atau bercaing-caing. Agama Islam yang khalis itulah agama yang selamat dan menyelamatkan.

0 comments:

Post a Comment