Kasihan.
Itulah nasibnya menjadi manusia ada rupa, barangkali.
“Anta cakap macam mana kepada perempuan itu?” saya menyoalnya.
“Saya beritahu dia yang saya belum bersedia untuk memikirkan hal ini. Saya baru sahaja menjejakkan kaki ke universiti, tak mahulah pening-pening kepala fikir tentang cinta,” jawabnya. Sugul.
“Hah, rasanya ustaz boleh agak kenapa perempuan itu tidak faham atau buat-buat tidak faham,” saya ketawa kecil.
“Kenapa ustaz?” anak muda itu seperti kaget dengan reaksi saya.
“Sebab anta masih memberikannya harapan. Perkataan anta menolaknya amat samar dan kesamaran itu diterjemahkan sebagai harapan” saya menambah.
Ya.
Itulah akibat-akibat yang timbul daripada perhubungan yang cuba dibuat di luar ikatan perkahwinan. Benda yang asalnya sudah salah, amat sulit untuk diperbetulkan.
Jika ia sebuah perkahwinan, maka komitmen perkahwinan diikat dengan proses ijab dan kabul, tanda menerima perhubungan itu secara sedar dan penuh tanggungjawab. Segala-galanya harus jelas. Apabila perkahwinan tidak lagi dapat dipertahankan, maka kaedah memutuskan ikatan yang telah dibina oleh ijab kabul itu, turut dilakukan dengan ijab kabul yang jelas juga.
Segalanya jelas.
“Aku terima nikahnya,” kata pengantin lelaki.
Ya, hubungan itu ialah sebuah pernikahan. Maka tanggungjawab, kasih sayang dan segala yang timbul tenggelam dalam perkahwinan itu dikendalikan oleh sebuah sistem bernama pernikahan.
Tetapi jika seorang lelaki dan perempuan itu ‘kawan-kawan dulu’, ‘teman tapi mesra’, ‘lebih hangat daripada biasa’ dan entah apa-apa lagi status rekaan seperti ini, atas dasar apakah garis panduan perhubungan itu mahu diuruskan? Melainkan serabutlah jiwa dan raga manusia yang terbabit dengan perhubungan seperti ini, dan ‘tiada Allah untuk membantu mereka’.
Itu soal menerima.
Soal memutuskan hubungan juga sama.
“Aku ceraikan engkau… dengan talak pertama” kata seorang suami.
Ungkapannya jelas. Bahawa ia bernama sebuah penceraian. Pemisahnya adalah talak. Justeru segala tanggungjawab, batas hubungan dan lain-lain, diuruskan oleh sebuah sistem bernama ‘penceraian’.
Tidak sekali-kali sebuah penceraian dibuat dengan ungkapan yang tidak jelas.
Ungkapan, “engkau tiada lagi di dalam hidupku” atau “mulai hari ini kita sudah tidak lagi boleh bersama” atau “pulanglah engkau ke rumah ibumu dan jangan kembali lagi” atau “engkau dan aku seperti anak panah yang sudah meninggalkan busarnya”, semua itu adalah ungkapan-ungkapan kinayah yang menyusahkan. Ia memerlukan kepada penyiasatan dan padanan contoh bagi mencari maksud apakah sang suami itu menceraikan isterinya, atau apa?
Maka permulaan perkahwinan adalah dengan ikatan yang jelas. Penyudah perkahwinan juga adalah dengan kenyataan yang jelas. Tiada samar-samar di dalamnya.
“Habis, apa yang patut saya buat?” tanya anak muda itu dengan wajah yang sudah agak cerah berbanding sebelumnya.
“Berikan perkataan yang jelas kepada perempuan itu” saya memberikannya cadangan.
“Aku ceraikan dikau?” soalnya sambil ketawa.
“Sudah aku terima nikahnya kah? Cuba anta sebutkan perkataan yang jelas. Ustaz nilaikan” saya menyoalnya pula.
“Saya tidak mahu bercinta dengan awak atau dengan sesiapa. Saya takut Allah. Lupakan saya. Lima tahun akan datang, kalau ada jodoh, adalah. Kalau tiada, pun tak mengapa” katanya, mencontohkan sebuah ‘talak’ untuk perhubungan di luar perkahwinan.
“Err… bahagian pertama lulus. Bahagian kedua, tak perlu” saya mengomen.
“Maksud ustaz?” tanya anak muda itu.
“Sebutkan sahaja yang anta takutkan Allah dan tidak mahu terbabit dengan cinta. Full stop. Bab kalau ada jodoh ke tak ada jodoh tu, tak payah sebut” saya menyambung cerita.
“Tapi macam kejam sangat bunyinya nanti, ustaz” kata anak muda itu.
“Ya, apalah sangat kejam pada menolaknya sekarang, berbanding kejamnya pilihan kalian menyertai kemurkaan Allah!” saya cuba menyudahkan perbualan.
“Hmm… I got the point. Thanks ustaz!” beliau tersenyum. Berfikir barangkali.
“No sweat… Selamat menduda kerana-Nya” saya menghulurkan salam.
“Lepas buku AKU TERIMA NIKAHNYA, tulislah buku AKU CERAIKAN DIKAU pula, ustaz!” katanya.
“Horrornya cadangan anta!” saya ketawa.
“Apalah sangat horror mengajar orang bercerai cara betul, berbanding horror membiarkan kami-kami ini kebingungan dalam kemurkaan Allah!” katanya, meniru ayat saya tadi.
“Amboi, pulang paku buah keras nampak!” saya tersenyum.
“Ustaz juga yang ajar!” jawab beliau, disambut dengan tawa kami semua.
Ya, andai keredhaan Allah yang kalian utamakan, fikir-fikirkanlah mengapa Allah meletakkan jarak pemisah antara kita dan zina seperti Timur dijauhkan dari Barat dengan firman-Nya:
“Dan janganlah kamu menghampiri zina, Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang amat jahat” [al-Israa' 17: 32]
Mungkin kerana kurangnya teruna tunggal dan anak dara tunggal sebelum mereka berkahwin, menjadi punca membiaknya ibu tunggal dan bapa tunggal selepas mereka berkahwin.
0 comments:
Post a Comment