Monday, June 8, 2009

PENDAKWAH ATAU PENDAKYAH?

Mari kita bincangkan sedikit di sini tentang isu PENDAKWAH ini. Di antara para pejuang ialah pendakwah dan penceramah. Pendakwah dan penceramah wajib mengenalkan Tuhan kepada manusia agar Tuhan disembah, dicintai, ditakuti, dibesarkan disanjung sebagai idola. Mengajak manusia menanamkan rasa bertuhan, supaya subur rasa kehambaan. Dari situlah timbulnya rasa hebat, rasa malu, rasa hina, rasa syukur, rasa harap dan dengan itu lahirlah insan-insan yang tawadhuk dan merendah diri di bumi Tuhan. Setelah wujud rasa bertuhan sekaligus meneballah rasa kehambaan. Bilamana rasa kehambaan subur barulah manusia patuh kepada syariat-Nya. Taat suruhan-Nya, menjauhi larangan-Nya.

Itulah dia tugas mubaligh dan dai di dalam kuliah dan ceramah-ceramahnya tapi amat sedihnya apa yang kita lihat hari ini. Para penceramah dan pendakwah sasarannya adalah manusia bukan Tuhannya, terutama musuh-musuh politiknya. Mereka menanamkan permusuhan, pergaduhan, dendam-kesumat sesama manusia. Dengan cara mengata, menghina, memfitnah, menuduh dan menjatuhkan air muka.

Tuhan tidak diperkatakan, syariat Tuhan sedikit sekali diperkatakan hanya sekitar hudud, keadilan dan penzaliman dan sekarang nampaknya nak berdakwah di perkampungan orang asli pun sanggup ditawarkan ganjaran wang beribu-ribu ringgit. Sembahyang, ibadah, akhlak jarang diperkatakan, membaiki diri, membaiki hati, mujahadatunnafsi lebih-lebih lagi tidak disebutkan.

Hakikatnya mereka itu bukan mubaligh dan dai tetapi pembawa fitnah dan pemecah-belah. Mereka menebalkan mazmumah memusnahkan mahmudah, kemudian menggelarkan diri pejuang agama dan orang lain dipandang hina. Sebenarnya mereka bukan para pejuang tapi penjenayah.

Duit pula telah menjadi tuhan buatan, Tuhan palsu yang sangat merosakkan insan. Bukan sahaja pekerjaan dunia memerlukan duit, pekerjaan Akhirat pun duit diperlukan. Sudah banyak pekerjaan Akhirat tempat cari makan tetapi nampanya gelanggang ibadah pun sudah menjadi gelanggang mengambil upah.

Mengajar muqaddam dan Al Quran juga telah jadi gelanggang mencari makan dan wang. Sebelum pengajian dimulakan berlaku tawar-menawar lebih dahulu untuk menetapkan berapa bayaran.Berdakwah dan membuat syarahan, pendakwah tidak akan memberi syarahan kalau tanpa bayaran yang ditetapkan. Mengaji agama atau kelas agama juga dikena bayaran setiap orang yang mengikut pengajiannya. Tidak akan ada yang mahu mengajar tanpa dibayar upah zaman sekarang. Sekalipun orang itu sudah ada gaji yang lumayan atau banyak wang.

Begitulah hidup di akhir zaman duit menjadi utama bukan Tuhan tidak seperti di zaman dahulu, kanak-kanak mengaji muqaddam dan Al Quran tidak dikenakan bayaran. Sebagai contohnya, mengaji kitab di rumah tuk guru untuk menambah ilmu tidak pernah ada bayaran. Dirotan, dia beri makan, dia hendak marah, dan dia bagi kasih sayang macam keluarga kandung. Ibu bapa rasa bangga pula melihat guru kerana itulah mereka sangat menghormati guru. Begitulah guru satu masa dahulu, gelanggang Akhirat dia tidak jadikan tempat cari makan, bahkan dia beri makan. Sungguh jauh keikhlasan guru dahulu dengan guru sekarang setelah duit menjadi Tuhan buatan.

Tujuan berjuang adalah kerana hendak mengenalkan Tuhan pencipta alam agar Ia disanjung, dicintai, disembah dan dijadikan idola. Selepas itu hendak kenalkan syariat-Nya untuk keselamatan manusia agar manusia hidup bersatu, bekerjasama, harmoni dan bahagia. Berjuang bukan kerana ekonomi, membangun dan berkemajuan. Ia merupakan sampingan sahaja, kalau boleh dijadikan untuk Tuhan. Berjuang mengajak manusia membesarkan Akhirat mengingatkan manusia, Akhirat tempat akhir buat insan. Di sana tempat kekal abadi sama ada di Syurga mahupun di Neraka.

Itulah dia tugas-tugas para dai, mubaligh-mubaligh dan ulama. Mengajak manusia menyembah Tuhan. Jalan dan caranya itulah syariat-Nya. Jangan membesarkan Tuhan atau menyembah-Nya cara yang kita reka-reka sekalipun yakin betul, tapi tersesat jalannya. Ingin kepada Tuhan, jalannya telah dinyatakan dan dijelaskan. Kalau jalannya mengikut cara sendiri, tidak sampai kepada-Nya.

Hari ini dakwah dan ceramah merata negara mercup tumbuhnya macam cendawan tumbuh di musim hujan. Tapi isinya politik dan unsur-unsur yang membawa pergaduhan. Tuhan tidak dikenalkan, jauh sekali untuk disanjung dan dibesarkan.

Ini bukan pendakwah tapi pendakyah.Ia bukan fisabilillah tapi jalan yang sudah tersalah. Ini bukan hendak mencari redha Allah tetapi mencari bala dan dosa serta Neraka.

0 comments:

Post a Comment