Allah berfirman dalam al Quran yang maksudnya :
" Kebenaran itu datang dari Tuhanmu dan janganlah kamu menentangnya." (Al Baqarah 147)
Kebenaran atau yang hak itu berasal dari satu sumber saja iaitu dari Tuhan. Ertinya akidah yg hak adalah akidah yang datang dari Tuhan. Pertolongan hidup yang benar itu datang dari Tuhan. Setiap yang benar itu hanya datang dari Tuhan. Akhlak yang benar itu datang dari Tuhan, pendidikan yang benar itu pendidikan yang datang dari Tuhan. Sistem ekonomi yang benar itu sistem ekonomi yang datang dari Tuhan. Sistem politik yang benar itu sistem politik yang datang dari Tuhan. Sistem masyarakat yang benar itu adalah yang datang dari Tuhan. Jemaah yang benar itu jemaah dari Tuhan. Pemimpin yang benar itu pemimpin yang ditunjuk oleh Tuhan. Ilmu yang benar itu adalah ilmu yang datang dari Tuhan. Perjuangan yang benar itu adalah perjuangan yang datang dari Tuhan. Begitulah seterusnya
Kalau kebenaran itu bukan datang dari Tuhan, ia bukanlah kebenaran. Kalaupun benar, ia merupakan kebetulan saja, sebab bukan datang dari Tuhan. Memang ada setengah-setengah ajaran benar, tapi kerana tidak datang dari Tuhan, maka itu suatu kebetulan sahaja. Misalnya semua orang tidak suka mencuri, tapi tidak dikaitkan dengan Tuhan, maka itu bukan kebenaran, hanya fitrah saja. Kebenaran itu datang dari Tuhan, diamalkan kerana Tuhan dan dengan menggunakan panduan yang datang dari Tuhan. Itulah huraian ayat tadi.
Kebenaran yang hak, lawannya kebatilan. Di dunia ini biasanya kebatilan itu lebih banyak dan berlakunya lebih lama. Sedangkan kebenaran datang sekali sekala sahaja. Oleh kerana kebatilan itu selalunya merosakkan manusia, maka ianya tidak disukai oleh orang, samada ia baik ataupun jahat. Bila gejala masyarakat sudah membiak dan menyusahkan masyarakat, bukan hanya orang baik yang cakap, tetapi orang jahat juga cakap, sebab kebatilan itu menyusahkan semua orang. Jangan anggap orang yang tak suka gejala ini hanya orang baik sahaja. Kalau kerana kebatilan yang berlaku dalam masyarakat itu Tuhan akan turunkan hukuman, maka Tuhan tak pilih, orang jahat atau orang baik terkena juga. Manusia tidak mahu kebatilan, tetapi mereka tidak tahu macam mana melahirkan yang hak.
Ayat yang ke-2 bermaksud ,
Katakanlah : Telah datang yang haq (kebenaran) dan telah lenyap yang batil atau yang palsu. Sesungguhnya yang batil itu pasti lenyap. (Al Israa' 81)
Bagaimana huraian ayat ini?
Ayat ini mengatakan bahawa bila datang yang hak atau yang benar, otomatik yang batil hilang. Macam bila datang malam, maka otomatik siang lenyap dan bila datang siang, maka hilanglah malam.
Bagaimana huraian bila datang yang hak, otomatik yang batil hilang? Untuk memahami siang dan malam mudah, sebab Tuhan yang buat. Sedangkan yang jahat dan yang hak manusia yang buat. Kalau berlaku yang hak, orang yang batil dan jahat mendapat nikmat sama, begitu juga bila lahir yang batil, orang yang baik dan jahat susah sama. Bila malam datang, semua orang terlibat dengan malam, samada dia suka atau. Begitu juga bila datang siang, semua orang kena menerimanya, tak boleh tolak.
Begitulah, bila yang hak datang semua suka, samada dia jahat ataupun baik. Bila yang batil datang, bukan hanya orang jahat yang susah, tapi orang baik juga susah. Sebab itu semua manusia samada baik atau jahat menunggu kebenaran, cuma mereka tidak faham bagaimana mewujudkannya.
Malam dan siang Tuhan sendiri yang buat, tidak ada campur tangan dan usaha-usaha manusia. Tetapi perkara yang hak dan batil, manusia yang melakukan dan mengusahakannya. Yang batil semua manusia tidak suka, sebab menyusahkan semua orang, dan yang hak semua manusia suka, sebab menyenangkan mereka.
Sebab itulah, orang yang memperjuangkan yang hak, demi kebaikan semua, besar pahalanya. Bila dia mati dalam membuat perkara yang hak tersebut, ia mati syahid. Kerana itu menegakkan yang hak lebih besar nilainya dari pada sembahyang sunat, puasa sunnat, berzikir dan bertasbih. Sebab kebenaran itu datang sekali sekala sahaja, sedang yang batil datang selalu. Maka siapa yang memperjuangkan yang hak besar pahalanya dan dianggap jihad fisabilillah.
Menegakkan kebatilan mudah, tidak niat pun jadi. Kadang-kadang tak ada niat untuk berbuat jahat, tapi terbuat juga. Tapi untuk membuat kebenaran susah, mesti ada ilmu, ada niat dan usaha baru jadi.. Maka Tuhan sebut bila datang kebenaran, hilang kebatilan, macam bila datang malam siang terus hilang.
Apa maksud Tuhan, bila kebenaran itu datang maka kebatilan pasti hilang? Orang sudah tidak membahas dan menghuraikan ayat ini, padahal ayat ini sudah sering kita dengar dari kecil lagi.
Kebenaran yang dapat menyebabkan hilangnya kebatilan secara otomatik adalah kebenaran yang bersifat global. Kalau tak global, kebatilan tidak hilang. Kalau kebenaran itu global, dia indah dan menyenangkan. Orang baik atau orang jahat suka. Dia berlaku secara pakej, 1 set, global.
Pakej kebenaran yang global itu mesti bermula dangan adanya pemimpin kebenaran yang dilantik oleh Tuhan. Kalau tidak, pemimpin biasa tidak boleh membuat pakej itu. Pemimpin kebenaran ini diiring atau Tuhan lengkapkan dengan ilmu kebenaran dari Tuhan. Kalau pemimpin itu tidak mendapat ilmu kebenaran dari Tuhan, ia tidak akan mampu. Bila dia memperjuangkan ilmu dari Tuhan itu, ia akan mendapat kawan, maka lahirlah jemaah kebenaran. Di dalam jemaah kebenaran itulah pemimpin kebenaran dan pengikut-pengikutnya melahirlah sistem hidup kebenaran menggunakan panduan dari Tuhan. Bila lahir sistem ini baru nampak kebenaran itu global dan indah. Orang jahat pun tertarik dan sanggup serah diri apatah lagi orang baik.
Jadi yang dimaksudkan bila datang kebenaran yang batil pasti lenyap, ia bermula dengan datangnya pakej kebenaran iaitu pemimpin yang ditunjuk oleh Tuhan, ilmu dari Tuhan, jemaah, sistem. Sistem itu mesti mencakup seluruh aspek kehidupan manusia kerana manusia hidup terlibat dengan berbagai sistem seperti sistem kemasyarakatan, sistem ekonomi, sistem pendidikan, sistem kebudayaan dan lain-lain lagi. Kalau kebenaran itu tidak membawa 1 sistem yang global, ianya tidak ada erti, cacat. Katalah kebenaran tu kita kata hanya pendidikan saja, sudah tentu tidak indah sebab manusia hidup tidak cukup hanya dengan pendidikan. Tapi memerlukan juga hiburan, ekonomi, kemasyarakatan dan lain-lain. Kebenaran itu mesti lengkap, tidak boleh hanya 1 juzuk sahaja.
Di zaman ada rasul, Rasullah ilmunya wahyu. Di zaman tidak ada rasul, yang ada mujaddid, ilmunya ilmu ilham. Tetapi sayang sekali banyak orang yang menolak ilham. Menurut mereka ilham bukan sumber ilmu.
Sebab itu di akhir zaman ini supaya Tuhan buatkan pada kita kebenaran hingga hilang kebatilan, mestilah kita lahirkan kebenaran itu secara global.
SEKIAN
0 comments:
Post a Comment