- Inilah taraf tertinggi dalam ukhwah atau berkasih sayang. Dan taraf inilah yang berlaku di kalangan para Sahabat. Terbukti bagaimana Kaum Ansar yang sanggup membahagikan sama banyak apa saja yang mereka miliki untuk Muhajirin. Kalau sedikit, sama-sama dapat sadikit. Kalau banyak, sama-sama dapat banyak.
- Oleh kerana para Sahabat sangat mencintai Tuhan, maka mereka juga sangat berkasih sayang kerana kasih sayang itu adalah buah atau bukti mencintai Tuhan. Di kalangan mereka merasakan Sahabat lain lebih berharga, lebih berjasa, lebih mulia, lebih dihormati, lebih tinggi darjat, lebih perlu dibela dan lebih berhak untuk hidup berbanding diri sendiri.
- Sesama mereka saling meraikan Sahabatnya sendiri. Sedangkan mereka sering bertemu namun mereka meraikan sesama mereka seperti meraikan tetamu yang dua tiga tahun terpisah. Sesama mereka sentiasa mesra, ceria dan meriah. Mereka tidak sekali-kali bersengit hati dalam perkara material.
- Dalam hal membela kehidupan, mereka memberi sebelum diminta. Dalam keadaan tidak memiliki untuk keperluan sendiri, namun mereka tetap mengusahakan untuk orang lain. Mereka merasa malu kalau memberi setelah terlebih dulu Sahabat lain meminta, kerana seolah-olah tidak peka dan tidak prihatin kepada Sahabatnya sendiri. Meminta sesama mereka tidak dianggap hina atau menjatuhkan maruah diri kerana begitulah kehidupan berjemaah atau dalam satu keluarga. Yang tidak berlaku ialah sifat meminta-minta.
- Sesama mereka, para Sahabat sangat menjaga adab bersahabat, di antaranya menjaga aib dan maruah diri sesama mereka. Mereka merasakan ibarat satu tubuh, oleh itu mengumpat, menghina, menjatuhkan maruah, membuka aib seolah-olah ditujukan kepada diri sendiri.
- Begitu tinggi tahap persaudaraan dan kasih sayang mereka, begitulah utuhnya tahap perpaduan mereka. Sebab itu mereka sangat dibantu oleh Tuhan dan dikagumi manusia serta ditakuti oleh musuh.
- Sanggup bergalang ganti nyawa.
- Sangat pemaaf
Maksud Hadis Rasulullah SAW: ‘Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mencintai saudaranya seperti dia mencintai dirinya sendiri.”Ini adalah kategori kedua, merupakan tahap yang sewajarnya dipertahankan dan tidak boleh di bawah daripada ini. Kalau di bawah daripada tahap ini maka tidak lagi termasuk dalam adanya kasih sayang atau ukhwah.
Mencintai saudara seagama dikaitkan dengan kesempurnaan iman. Inilah hujah bahawa ukhwah atau kasih sayang itu dipandang besar oleh Tuhan hingga dikaitkan dengan kesempurnaan iman seseorang. Untuk lebih mudah difahami tahap ini ialah:
- Rasa bersama yang amat kuat. Apa yang kita rasai, itulah yang dirasai oleh saudara kita dan sebaliknya. Susah sama susah, senang sama senang. Apa yang kita sukai sesuatu itu ada atau berlaku kepada diri, itu juga yang kita sukai ada atau berlaku kepada saudara kita. Kejayaan saudara kita, itu juga kejayaan kita dan sama-sama bersyukur serta bergembira. Begitu juga kalau saudara kita gagal, ditimpa ujian atau musibah, maka kita rasai kegagalan bersama dan berusaha mengatasi secara bersama.
- Hidup bela-membela.
- Mudah sepakat dan muafakat dan seia sekata.
- Saling mengambil tahu antara satu dengan yang lain. Kalau ada yang meminta, pasti ditunaikan.
- Sangat kuat mengorbankan perasaan sehingga tidak ada yang tersinggung atau terguris hati atau kecil hati. Andainya berlaku juga ada hal yang tidak menyenangkan, masing-masing hanya menelannya begitu saja agar keburukan itu tidak dijaja atau tidak tersebar.
- Hidup dalam suasana bertolak ansur, mengutamakan budi bicara dan bertimbang rasa. Bertolong bantu dalam apa saja aspek taqwa dan kehidupan, tetapi sangat menutup pintu kejahatan.
3. Lebih mencintai diri sendiri berbanding orang lain.
Kategori ini, masing-masing mementingkan diri sendiri. Puncanya ialah cinta dunia yang menimbulkan perpecahan. Tidak berkumpul dua cinta dalam satu hati serentak. Apabila hati mencintai Tuhan, hati yang sama tidak akan mencintai duniawi dan sebaliknya. Dunia yang dicintainya bukan material sahaja tetapi termasuk yang bersifat maknawiah seperti pangkat, populariti, pengaruh, keluarga serta klik sendiri.
Orang yang mencintai dunia, dia tidak akan memikirkan nasib agama dan masyarakatnya. Apa yang penting ialah cita-cita peribadinya tercapai. Lantaran itu dia sanggup berbuat apa saja tanpa pedulikan agama dan nasib orang lain, biarpun agama dan masyarakatnya sendiri terabai dan terpinggir. Bahkan lebih teruk daripada itu, dia sendiri turut menyumbang kepada rosaknya agama dan masyarakat, sekiranya dengan cara itu dia meraih keuntungan peribadi. Perpecahan sengaja dicetuskan agar dia kekal berkuasa, dapat kekayaan dan pengaruh. Kerosakan sengaja dicetuskan, selepas itu dia juga yang menjadi wira kononnya sangat prehatin terhadap masaalah masyarakat.
Dalam masyarakat yang semua mementingkan diri sendiri, natijahnya ramai orang terbiar, terabai, terpinggir dan tidak mendapat pembelaan. Mereka yang bernasib malang ini berada di mana-mana, bahkan di sesetengah negara menjadi golongan majoriti. Kalau ada yang menagih pembelaan, bukan sahaja akan kecewa bahkan dimalukan, ditempelak, diherdik, dijaja aibnya dan dijatuhkan maruahnya. Dituduh dengan berbagai andaian dan penuh prasangka.
Membela orang memang suruhan Tuhan dan Tuhan sukai, menjatuhkan maruah dan menjaja nama baik orang itu adalah berdosa, tambah pula kalau sampai memecahbelahkan perpaduan masyarakat, termasuk dosa besar. Itu semua tidak diambil kira. Dosa pahala dan apa kata Tuhan tidak ada dalam kamus hidupnya. Sebab itu hingga hari ini masyarakat Islam lemah, agama terpinggir dan tidak diperjuangkan kerana ramai di kalangan orang Islam yang bersikap begini. Kerana tidak mencintai Tuhan sebaliknya mencintai dunia, maka kasih sayang pun tiada, perpecahan menjadi-jadi.
Di sinilah para pejuang perlu berjemaah agar dapat hidup berkasih sayang, saling membela sesama pejuang, mencurah tenaga bersepadu umpama satu tubuh dengan setiap anggota ada peranan. Atau umpama satu bangunan yang setiap batu bata saling menguatkan, membahu, lengkap-melengkapi pada posisi dan peranan masing-masing yang membuahkan perpaduan sekaligus kekuatan yang luar biasa. Perlu bergabung tenaga menurut bidang dan kemampuan masing-masing kerana diakui tiada individu yang mampu membuat semua jenis dan bidang kerja. Itu sudah memang sunnatullah yang kita kena terima. Apabila anggota pejuang itu mencurahkan tenaga kepada perjuangan maka kenalah pula jemaah membela kehidupan mereka walaupun tanpa diminta. Dengan cara itu mereka tidak terganggu untuk terus memberi tenaga oleh urusan peribadi.
Dalam berperanan pula, jangan mengukur standard kemampuan orang lain dengan keupayaan diri. Itu ciri orang ego yang membatalkan kasih sayang. Dalam satu pasukan masing-masing ada kemampuan dan peranan tersendiri. Janganlah scorer perlecehkan barisan pertahanan dan penjaga gol kerana tidak pernah menyumbat gol lawan lantas mengatakan penjaga gol itu bukan pemain. Janganlah atlit pecut pertikaikan atlit angkat berat kerana tidak mampu memecut macam dirinya. Kalau kita pertikaikan orang lain, mereka juga ada ruang untuk pertikaikan kita, maka berlakulah saling mempertikai sesama pejuang. Hakikat inilah yang perlu diterima dan difahami oleh setiap pejuang agar perpaduan tetap kekal utuh.
Hubungan antara pemimpin dengan pengikut dalam jemaah atau dalam kelompok atau dalam pertubuhan atau apa-apa institusi, bukan seperti majikan dan kuli. Dalam jemaah, hubungan yang dijalin umpama adik-beradik. Perbezaan hanyalah pada tanggungjawab dan peranan. Jawatan itu hanyalah dari sudut keupayaan berperanan dan bukan penentu taqwa. Taqwa adalah darjat manusia di sisi Tuhan, tiada siapa yang tahu. Betapa tersembunyinya taqwa itu, adakalanya orang lain dibantu atas sebab taqwa orang lain. Manakala diri orang bertaqwa itu diselubungi berbagai kelemahan. Inilah caranya Tuhan hendak selamatkan orang yang bertaqwa itu kerana kalau dia sendiri terdetik di hati merasai dia orang bertaqwa maka Tuhan batalkan taqwanya.
Berbalik tentang hubungan pemimpin dengan pengikut yang bagaikan adik-beradik, pemimpin itu abang, pengikut itu adik. Sesama mereka di ikat oleh kasih sayang. Sama-sama merasakan dapat saluran ibadah dan menyumbang bakti menurut kemampuan yang Tuhan anugerahkan. Ini berbeza dengan majikan dan kuli. Kalau majikan dan kuli diikat oleh kepentingan, majikan hendakkan untung dengan memerah tenaga kuli, manakala kuli hendakkan gaji. Tidak ada kasih sayang. Bila majikan perlukan kuli, diambil bila-bila masa dengan berbagai tawaran. Sepanjang bekerja boleh ditengking herdik. Nasib mereka tidak difikirkan. Bagaimana situasi kehidupan mereka tidak pernah difikirkan. Sekiranya tenaga mereka tidak diperlukan lagi atau syarikat menghadapi masalah ditendang begitu saja. Sebab itu banyak syarikat bertindak membuang pekerja.
Ketiadaan kasih sayang, manusia akan hidup menderita walaupun kaya raya, betapalah kalau papa. Ketiadaan kasih sayang, manusia tiada tempat hendak mengadu, derita tanggung sendiri. Akibatnya menjadi orang yang membenci orang lain.
Kesan dari kasih sayang amat besar kepada manusia. Kalau ayah memberi kasih sayang kepada isteri dan anak-anak, mereka satu keluarga akan menjadi ceria dan bahagia. Anak-anak akan mudah taat dan mendengar kata. Kalau guru-guru memberi kasih sayang, anak murid akan menjadi lembut dan mudah dididik. Kalau pemimpin memberi kasih sayang kepada anak buah, mereka akan sanggup berkorban apa saja dengan penuh rela. Mereka taat dalam perasaan yang bahagia dan seronok, dan tidak ada istilah taat dalam seksa atau derita, atau istilah lain taat dalam rasa terpaksa. Apa tugas atau kerja yang diberikan kepada mereka akan disambut dengan penuh gembira. Ke mana saja mereka disuruh pergi mereka merasakan mendapat satu hiburan, kalau ingkar terasa hilanglah berkat hidup, bahkan rasa berdosa.
Pemimpin yang begini sifatnya, kehadirannya dinanti-nanti. Ketiadaannya dirindui dan terasa kehilangan. Bersua muka saja hati sudah merasa lega. Ketika mula bertemu, separuh masalah sudah terasa ringan dan hilang. Bertemu sekejap rasa tidak puas, bertemu lama tidak pula jemu. Sekali bertemu tiga bulan jiwa rasa terisi dan mendapat ilmu serta panduan, ibarat pokok layu yang mendapat siraman air. Tegurannya tidak melukakan hati atau mengguris hati bahkan jadi penyembuh jiwa yang gersang.
0 comments:
Post a Comment