Saturday, June 6, 2009

MENGAPA IBADAH TIDAK MEMBANGUNKAN INSANIAH?

Mengapa ibadah tidak dapat membangunkan peribadi-peribadi umat Islam hari ini menjadi seperti peribadi-peribadi agung para Sahabat serta salafussoleh zaman dahulu? Umat Islam bersembahyang, tapi masih suka bergaduh. Mereka berpuasa, naik haji, membayar zakat, tetapi masih memfitnah, mengadu domba, hasad dengki, dendam, bakhil, tamak dan lain-lain. Mengapa terjadi demikian, sedangkan sepatutnya dengan beribadah, umat Islam akan menjadi semakin baik dari hari ke hari dan semakin maju dan bersatu padu?

Sebenarnya sejak beberapa ratus tahun yang sudah, terutama setelah penjajah memerintah negara-negara umat Islam, para-para pendakwah dan juga para ulama sudah tersilap cara dalam mengenalkan Islam. Mereka mengenalkan syariat dulu, tetapi tidak memperkenalkan Tuhan. Sedangkan syariat itu cara berhubung dengan Tuhan. Ertinya, cara berhubung dengan Tuhan ditunjuk, tapi Tuhan itu sendiri tidak dikenalkan. Kalau Tuhan itu disebut pun sedikit sangat. Sebab itu sembahyang, puasa, haji, wirid, zikir dan lain-lain tidak berkesan, kerana orang beribadah tapi sudah kehilangan Tuhan.


Cuba kita baca sejarah perjuangan Rasullullah SAW. Baginda Berjuang selama 23 tahun. Apa yang Rasulullah sampaikan hanya dua aspek.

Pertama , tentang aqidah iaitu tentang Tuhan.
Kedua , tentang syariat.

Tuhan hanya satu, sedangkan syariat beribu jenis; ada yang sunat, ada haram, ada makruh, ada fadhoilul a`mal.

Kalau kita tidak rujuk dengan sejarah, tentu kita rasa Rasulullah memperkenalkan syariat lebih lama daripada memperkenalkan Tuhan. Sebaliknya kalau kita kenang kembali sejarah perjuangan Rasulullah SAW dalam memperkenalkan Tuhan, sehingga bukan saja orang beriman dengan Tuhan, tapi datang rasa cinta, kasih dan takut kepada Tuhan, adalah selama 13 tahun. Padahal syariat yang begitu banyak, Rasulullah ambil masa hanya 10 tahun. Sebenarnya tidak sampai 10 tahun, iaitu 9 tahun lebih sedikit saja. Dalam tempoh 10 tahun memperkenalkan syariat itu Rasulullah masih terus memperkatakan tentang Tuhan. Ertinya keseluruhan hidup 23 tahun itu, Rasulullah memperjuangkan Tuhan. Secara relatifnya amat pendek masa yang digunakan untuk memperkenalkan syariat.

Di sini kita nampak, apa erti perjuangkan syariat tetapi tidak kenal Tuhan. Tidak ada kesan apa-apa. Sebab itu orang yang beribadah dengan orang yang tidak beribadah, sama saja. Kalau orang yang tidak sembahyang, tidak wirid, tidak baca Quran buat rasuah, itu tidak hairan. Tapi orang yang masih beribadah sama sahaja. Bahkan ampun maaf, di akhir zaman ini sumber fitnah yang paling besar berlaku di masjid. Kalau dulu di pasar adalah sumber fitnah, tapi sekarang di masjid.

Padahal masjid tempat sembahyang, tempat orang beribadah, tapi di situlah markas besar fitnah. Inilah hasil beribadah tapi sudah kehilangan Tuhan, cinta dengan Tuhan tidak ada, rasa bertuhan tidak ada, jadi tidak ada kesan apa-apa. Sebab itu bila pergi masjid sangat menakutkan, lebih elok pergi ke pasar. Di pasar, habis-habis pun orang tipu harga dan timbangan tapi orang tidak menyesatkan orang lain dan tidak memfitnah orang lain dengan ayat Quran dan Hadis.

Jadi kalau Tuhan tidak dicintai, macam mana kita hendak cinta dengan orang. Apa jasa orang dengan kita? Tuhan yang berjasa dengan kita pun kita tidak cinta. Padahal ulama, pemimpin, masing-masing melaungkan mari bersatu, berpadu, tapi ini nonsense. Bersatu dan berpadu anak kuncinya ialah cintakan Tuhan.

Mengapa perlu diutamakan penekanan terhadap Tuhan, kemudian baru syariat-Nya? Contohnya, anak-anak umumnya akan sangat cinta dengan mak ayahnya tanpa perlu susah payah disuruh, betapalah kalau disuruh, betapa seronoknya dia berkhidmat dengan mak ayahnya. Tapi kalau dengan mak ayah dia sakit hati makin disuruh makin sakit hati, kerana dia tidak cinta pada mak dan ayahnya.Begitulah dengan Tuhan, kalau bercinta dengan Tuhan, bukan sahaja syariat Tuhan itu diamalkan dan dihayati serta dijunjung tinggi bahkan nyawa pun sanggup orang korbankan untuk Tuhan.

Sebenarnya kalau kita faham, tentang Tuhan memang elok diutamakan dan didahulukan. Tetapi hari ini para ulama, para pendakwah, pejuang-pejuang lebih banyak menceritakan syariat daripada menceritakan Tuhan, sedangkan syariat orang tidak seronok dengar. Kalau ada orang yang mujahadahnya kuat, yang membolehkan dia ikut syairat, tapi syariat itu akan jadi ideologi. Sembahyang, naik hajinya banyak, tapi perangai tidak berubah. Kenapa? Sebab dia beribadah dan bersyariat tapi terputus dengan Tuhan. Dia beribadah itu bukannya sedap, dia berbuat dengan rasa tidak seronok dan rasa terpaksa, sembahyangnya bukan dari hati, hanya kerana berfikir aku orang Islam, terpaksalah dibuat.

Manusia kalau sudah asyik dengan Tuhan, bersyariat pun ketagih. Ertinya payah hendak diungkai walaupun menanggung risiko dan halangan. Cuba tengok orang ketagih rokok. Sedangkan mereka tahu ada risikonya. Tapi oleh kerana ketagih sangat susah hendak ditinggalkan tabiat itu.

Sebab itulah para Sahabat sangat suka bersembahyang. Sembahyang sunat yang paling `lekeh` di kalangan mereka sekurang-kurangnya 100 rakaat sehari semalam. Rasulullah SAW juga pernah bersabda, "Sembahyang itu cahaya mataku (kesenanganku dan kebahagiaanku)."

Sayidina Ali k.w., ketika bersembahyang sunat dua rakaat, begitu asyiknya dengan Tuhan sehingga apabila dicabut panah yang melekat di betisnya, dia tidak sedar dan tidak terasa sakit sedikit pun.

Sebaliknya kalau Tuhan tidak ditakuti, tidak digeruni bahkan tidak dikenali, syariat-Nya mudah terbarai. Susah sikit saja, bukannya boleh bawa mati, baru kena bisul umpamanya atau kesukaran dalam keretapi, sudah tidak sembahyang.dengan Tuhan, ini merupakan satu kesalahan. Apa ertinya bersyariat kalau tidak ada hubungan dengan Tuhan. Hasilnya sembahyang atau ibadah itu tidak akan dapat membangunkan insaniah seseorang.

0 comments:

Post a Comment