Tuhan mengutus manusia di dunia ini dengan tujuan agar manusia hidup sempurna dan bahagia di dunia mahupun di Akhirat. Maka tentu sekali manusia memerlukan berbagai-bagai perkara untuk kehidupan mereka sama ada secara langsung atau tidak langsung,dikehendaki atau tidak dikehendaki, disedari atau tidak disedari.
Sebahagian besar keperluan manusia di dunia ini antaranya ialah:
1.Manusia perlu kepada Tuhan.
2.Manusia perlu kepada pemimpin.
3.Manusia perlu kepada satu ajaran.
4.Manusia perlu kepada satu masyarakat.
5.Manusia perlu kepada jemaah.
6.Manusia perlu kepada kebudayaan, ekonomi, pentadbiran, adat istiadat, undang-undang, perlembagaan, perhubungan sesama manusia sama ada di dalam atau di luar negara.
7.Manusia perlu kepada alat-alat perhubungan.
8.Manusia perlu kepada pelajaran dan pendidikan.
Itulah dia perkara asas yang diperlukan oleh manusia dalam kehidupan ini yang jika difahami dan dihayati, manusia akan mengecapi kesempurnaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan di Akhirat.
Identiti Sesuatu Bangsa Ditentukan Oleh Pendidikan
Daripada keseluruhan keperluan yang disebut di atas, aspek pelajaran dan pendidikan adalah yang paling penting. Ia adalah nyawa, roh dan nadi pada suatu bangsa dan negara. Identiti sesuatu bangsa juga ditentukan oleh pelajaran dan pendidikan. Ertinya, pelajaran dan pendidikanlah yang akan menentukan maju atau mundurnya sesuatu bangsa, bertamadun atau tidak bertamadun, berani atau penakut, bersatu atau berpecah, berjiwa besar atau berjiwa kecil, ada cita-cita atau tiada cita-cita.
Selain itu, pelajaran dan pendidikan jugalah yang akan menentukan hala tuju sesuatu bangsa di sebuah negara sama ada bangsa itu menjadi satu bangsa yang baik atau bangsa yang jahat, bangsa yang lembut atau bangsa yang kasar, bangsa yang individunya memikirkan diri sendiri atau memikirkan bangsa, agama dan negaranya.
Sebab itu kita lihat manusia di dunia ini, setiap bangsa itu mempunyai identiti tersendiri yang berlainan antara satu sama lain. Walaupun di atas nama satu ideologi seperti demokrasi, sosialis, komunis dan sebagainya tetapi oleh kerana dasar pendidikan yang tidak sama maka lahirlah identiti bangsa yang berlainan.
Bahkan di dalam satu bangsa itu, seperti bangsa Arab, disebabkan telah dipecah-pecahkan kepada negara-negara dan setiap negara itu mempunyai sistem pendidikannya tersendiri, akhirnya lahirlah identiti yang berbeza-beza walaupun dalam satu rumpun bangsa. Sebagai contoh, orang Iraq tidak sama watak dan identitinya dengan orang Jordan. Orang Mesir berbeza dengan orang Syria. Begitulah juga orang Sudan berbeza dengan orang Arab Yaman. Seperti juga bangsa Melayu, ada Melayu Malaysia, Melayu Indonesia, Melayu Singapura dan lain-lain. Walaupun satu rumpun Melayu, tetapi identiti dan wataknya berbeza hasil daripada sistem pendidikan yang berbeza.
Kalau begitu ternyata sekali bahawa hidup manusia ini tidak kira dari apa jua bangsa, di negara mana dia tinggal, sangat dicorak oleh pelajaran dan pendidikan. Sesungguhnya akal, nafsu, roh, dan sikap fizikal manusia itu sangat dipengaruhi oleh pelajaran dan pendidikan yang diterima. Seandainya sistem pendidikan dan pelajaran yang dibangunkan oleh sesuatu bangsa di sebuah negara itu tersilap maka akan tersilaplah bangsa itu dalam membina identitinya. Akibatnya, risiko yang akan ditanggung bukan sekadar seratus tahun bahkan akan berterusan beratus-ratus tahun lamanya.
Bukanlah satu perkara yang mudah untuk merubah sistem pendidikan yang sudah tersilap dan telah merosakkan bangsa dan negara itu. Sedangkan mereka tidak sedar bahkan mereka sudah merasa seronok dan mendapat keuntungan pula dari sistem yang rosak itu. Jika ada pemimpin yang datang selepas itu dan sedar atas kesilapan tersebut serta ingin mengubahnya, dia terpaksa berjuang bersungguh-sungguh dan perlu memakan masa puluhan tahun sebelum ia berjaya.
Kaedah Pendidikan Mesti Tepat
Untuk membangunkan sistem pelajaran dan pendidikan, perlu berhati-hati dan tidak boleh dilakukan secara trial and error kerana manusia bukan seperti pokok yang boleh dijadikan bahan ujikaji. Pokok, sekiranya gagal setelah diuji, hanya sekadar tidak boleh dimakan hasilnya. Sebaliknya manusia jika gagal dididik, mereka sendiri akan menerima akibatnya. Firman Tuhan:
Maksudnya: “Telah berlaku kerosakan di daratan dan lautan hasil dari perbuatan tangan manusia supaya Dia dapat merasakan kepada mereka sebahagian dari apa yang mereka lakukan semoga mereka kembali.” (Ar Rum: 41 )
Ditegaskan di sini bahawa sistem pendidikan dan pelajaran yang hendak dilagangkan kepada manusia mestilah dengan kaedah yang sudah pasti dan berhasil bila dilaksanakan.
Bila mana manusia sudah rosak dan Tuhan tahu kerosakan itu berpunca daripada rosaknya sistem pendidikan dan pelajaran yang diterima, maka apabila Tuhan hendak menukar sistem itu, Tuhan akan utuskan orang-orang-Nya iaitu para rasul. Mereka datang membawa sistem pendidikan Tuhan yang pastinya berhasil bila dilaksanakan. Mereka bukan seperti pemimpin-pemimpin yang tidak ditunjuk oleh Tuhan macam ahli-ahli falsafah dan ahli-ahli fikir yang hanya berteori dalam pendidikan dan menjadikan manusia bahan ujikaji teori pendidikan mereka.
Demikianlah besarnya peranan pendidikan daripada keseluruhan aspek keperluan dalam kehidupan manusia. Sebelum Tuhan utuskan Nabi Adam ke muka bumi ini, dunia ini kosong dan yang ada hanyalah pokok, haiwan, khazanah dan sebagainya, sama ada yang dapat dilihat ataupun yang maknawi. Semuanya itu berada dalam keadaan tidak tersusun. Ia umpama satu istana besar yang telah disiapkan dan hanya perlu kepada seorang penyusun untuk menyusun semuanya itu. Apabila Tuhan ciptakan Nabi Adam, Tuhan mengajarkan kepadanya nama-nama benda-benda itu. Firman Tuhan:
Maksudnya: “Dan Dia mengajar kepada Adam semua nama-nama.”(Al Baqarah: 31)
Bukan sahaja nama-nama benda yang diajar kepada Nabi Adam, bahkan dengan ilmunya dan konsepnya sekali. Contohnya kayu, maka diajarkan ilmu tentang kayu, kegunaannya dan sebagainya. Dengan segala ilmu yang diajar oleh Tuhan itulah, Nabi Adam mengatur dan menyusun alam ini pada waktu itu sama ada yang dapat dilihat mahupun yang maknawi. Maka manusialah yang menentukan dan mencorakkan segala-galanya.
Hanya Orang Bertaqwa Boleh Bina Sistem Pendidikan Tuhan
Dalam diri manusia ini ada satu pakej yang terdiri daripada akal, roh, nafsu dan fizikal yang mana sebelum ianya dihidupkan, ia adalah kosong. Apabila Tuhan hendak jadikan manusia sebagai penggerak, maka pakej tadi akan diisi dengan sesuatu yang datang dari Tuhan. Akal, roh, nafsu dan fizikal diisi dengan bahan dari Tuhan, maka jadilah ia umpama janakuasa elektrik yang menjanakan kehidupan dalam semua aspek. Sebaliknya jika pakej tadi diisi dengan sesuatu yang bukan dari Tuhan seperti ideologi ciptaan manusia, maka ia akan menjuruskan manusia kepada kerosakan.
Jika satu bangsa diumpamakan seperti seorang manusia, maka pelajaran dan pendidikan adalah roh pada manusia itu. Sekiranya ia tidak betul-betul dijaga dan dipelihara, akibatnya akan rosaklah seluruh manusia itu sama ada akal, fizikal, nafsu, sikap fizikalnya dan apa saja yang dilakukannya. Maka untuk melagang satu sistem pendidikan, tidak boleh dilakukan secara sambil lewa. Sebaliknya perlulah dilakukan secara berhati-hati dan sistem ini tidak boleh dilakukan oleh sebarangan orang tapi mestilah dari seorang pemimpin yang benar-benar bertaqwa.
Bertolak dari sistem pendidikan inilah akan lahir sistem-sistem yang lain seperti kebudayaan, ekonomi, kesihatan dan sebagainya. Bahkan sistem rumah tangga itu sendiri dibentuk oleh sistem pendidikan juga. Dengan lain perkataan, bila sistem pendidikan sudah rosak, maka akan rosaklah kesemua sistem dan aspek-aspek kehidupan yang lain. Jika ini difahami sungguh-sungguh kita akan rasa takut dan bimbang dengan sistem pendidikan. Ia tidak boleh ditangani secara mudah tetapi perlu berhati-hati dalam menyusunnya kerana ia memberi kesan kepada aspek-aspek dan sistem-sistem yang lain. Rosak sistem pendidikan, maka rosaklah sistem-sistem yang lain. Bila rosak sistem pendidikan, manusialah yang akan menerima risiko dan padahnya.
0 comments:
Post a Comment