Thursday, June 11, 2009

IKUTLAH DISIPLIN TUHAN SEPANJANG HARI

Renungan:

*Apabila bangun tidur sahaja di waktu Subuh, mulakanlah dengan Tuhan. Ingatlah Tuhan. Dia adalah Kawan Setiamu.

*Apabila nanti kamu menyembah-Nya di dalam solatmu, engkau akan mudah mengingatinya. Engkau akan rasa puas beribadah. Kerana segala ikrar, seluruh bentuk pengaduan telah engkau panjatkan kepada-Nya.

*Selepas engkau selesai semua itu, kalau perlu makan, maka makanlah rezeki yang dianugerahkan kepadamu. Tetapi, ingatlah lebih dahulu nikmat yang di hadapanmu itu anugerah-Nya. Dan rasakan di hati bahawa kita tidak layak menerimanya. Tapi Allah Taala dengan kemurahan-Nya diberi-Nya juga, agar kita merasa malu berhadapan dengan nikmat Tuhan. Juga agar kita malu kepada-Nya kerana merasa Ia sentiasa memerhatikan kita. Kemudian mulakanlah makan dengan menyebut nama-Nya. Janganlah lupa menyebut nama-Nya lebih dahulu.

*Selepas itu berjalanlah pergi membuat kerja atau menunaikan kewajipan masing-masing. Tapi ingatlah, Tuhan hendaklah dibawa bersama. Dia adalah Kawan Setia kita.

*Di tempat kerja, jangan lupa lagi, Tuhan bersama kita. Ia memerhati dan melihat kerja-kerja kita.

*Selesai bekerja, menjelang pulang ingatlah bahawa Tuhan bersama kita. Rasa malulah, jagalah mata, jagalah telinga, Dia melihat kita. Sampai di rumah, masuklah ke rumah bersama Tuhan.

*Apabila mengerjakan sembahyang Maghrib dan Isyak, sembahyanglah puas-puas. Ertinya kita bercakap-cakap dengan Tuhan dengan sepenuh hati seperti Subuh tadi.

*Selepas itu tidurlah bersama Tuhan. Ertinya sepanjang hidup kita, kita mulakan dengan Tuhan dan kita tutuplah dengan Tuhan. Di waktu itu, kalau kita mati, di waktu mana dan bagaimana pun tidak mengapa. Kerana seluruh hidup kita telah mengikut disiplin Tuhan!

0 comments:

Post a Comment