Wednesday, June 10, 2009

RASA BERTUHAN PARA SAHABAT

Kalau kita lihat di zaman Rasulullah SAW, para sahabat rasa bertuhannya kuat, ertinya kemana pun pergi mereka membawa rasa bertuhan. Seolah-olah Tuhan berkata, di mana engkau berada disitulah Aku berada, ertinya Tuhan dihayati betul-betul dalam jiwanya. Perasaan bertuhan itu kuat. Kalau rasa bertuhan itu kuat, maka akan terasa selalu diawasi oleh Tuhan di mana pun dia berada.

Mereka memiliki hubungan yang kuat dengan Tuhan. Ibadah-ibadah yang fardhu terutama solat tidak terabai oleh kerja-kerja lain. Walaupun kerja dunia itu kadang-kadang nampak besar dan berjaya, tapi bagi orang beriman ketika datang panggilan Tuhan, maka itulah yang utama. Bahkan bagi mereka, setengah jam sebelum waktu shalat sudah mesti menyiapkan diri. Kalau tidak dapat, minimal 15 minit sebelum solat.

Para sahabat Rasulullah SAW, disiplin solatnya sangat kuat. Hal ini disebabkan kekhusyukan dalam solat dapat dibantu dengan datang awal ketika masuk waktu solat. Ketika itu kita bertafakur, berfikir tentang kebesaran Tuhan dan mengingat dosa-dosa. Hal itu sangat membantu untuk mendapatkan khusyuk dalam solat. Cuba bandingkan bila ketika 10 minit lagi hendak solat, kita makan dulu, lihat majalah dulu dll. Tentunya kegiatan itu yang akan ada dalam ingatan kita ketika solat. Sedangkan kejadian yang telah 2 tahun dahulu, tiba-tiba dapat teringat, apalagi yang 10 minit menjelang solat.

Sebab itu sepatutnya 10 atau 15 minit atau setidak-tidaknya sewaktu azan kita sudah ada di tempat solat. Walaupun misalnya 10 atau 15 minit itu kita bukan di tempat solat, tapi mungkin di tempat kerja atau di dalam bilek, tapi kita sudah keadaan siap sedia untuk menunaikan solat. Ketika azan terus menuju tempat solat.

Kalaulah kita menjaga hak-hak Tuhan, terutama ibadah solat, maka hubungan kita baik dengan Tuhan. Nantinya kerja-kerja dunia akan menjadi mudah, sebab Tuhan yang akan melakukannya untuk kita. Kalau kita bersusah-susah untuk amalan yang akan menyelamatkan kita di akhirat, maka dengan dunia ini kita akan dimudah-mudahkan oleh Tuhan.

Sebab itu perlu untuk selalu istiqamah dalam mengerjakan segala ibadah, terutama ibadah yang fardhu. Kita mohon pada Tuhan untuk dapat selalu istiqamah. Bahkan itu lebih utama daripada memohon keselamatan. Dengan istiqamah itulah kita akan mendapat keselamatan. Sebab kalau kita kadangkala istiqamah, kalau Tuhan memberi kejayaan bukan atas dasar kasih sayangNya(istidraj).

Istiqamah diawali dengan ibadah yang fardhu, kemudian barulah yang sunat, seperti solat sunat, puasa sunat, sedekah dll. Ibadah solat sunat yang utama diistiqamahkan adalah solat malam. Ibadah itu meningkatkan darjat seorang hamba kerana jatuh kasih sayang Tuhan kepadanya.

Namun istiqamah bukanlah satu yang mudah. Istiqamah itu dapat dilakukan oleh orang yang kuat disiplinkan diri. Sebagaimana Sayidatina Aisyah tidak pernah meninggalkan amalan sedekah walaupun hanya dengan setengah biji kurma. Banyak sekali amalan yang kita buat tidak istiqamah, seperti solat, kadang dibuat tepat waktu, kadang tidak. Bahkan lebih selalu dibuat terlewat dari waktunya. Kadang puasa, kadangkala tidak. Padahal kalau kita dapat membuat amal secara istiqamah, maka insya Allah kerja kita dimudahkan oleh Tuhan.

Kadangkala kita beralasan tidak dapat istiqamah dalam beribadah, seperti solat di awal waktu ataupun solat berjemaah disebabkan kesibukan kerja-kerja rumah tangga, mengurus anak-anak dll. Memang begitulah kenyataan yang kita hadapi sehari-hari. Tapi bila rasa beTuhan telah kuat tertanam dalam hati, sebagaimana kehidupan wanita di zaman para sahabat, maka walaupun kehidupan mereka lebih susah, tapi dapat pertahankan istiqamah.

Sebab bagi mereka kalau kita kita jaga hubungan dengan Tuhan, maka Tuhan akan mudahkan segala urusan kita. Cuba kita bayangkan kehidupan para wanita di zaman Rasulullah SAW, untuk mendapatkan air wudhu mesti pergi dulu ke perigi di padang pasir. Tapi mereka tetap dapat juga istiqamah sembahyang malam. Sebab itu pernah Rasulullah bercerita pada para sahabat, nanti umatku dimudahkan oleh Allah dengan bermacam-macam kemudahan, seolah-olah waktu itu Rasulullah nampak air pun ada di dalam rumah.

Sahabat yang ketika itu mendengar merasa sedih. Seolah-olah sahabat berkata, mudah-mudahan umat Rasulullah SAW di waktu itu kuat ibadah, sebab merasakan betapa mereka susah untuk ibadah kerana susah untuk mendapatkan air. Rasulullah SAW berkata, "Oh tidak begitu,sekarang adalah lebih baik. Seolah-olah Rasulullah SAW berkata kemudahan itulah yang melalaikan, kesusahan kamu itulah yang menjadikan kamu kuat dan bersiap siaga.

Kalau kita sungguh-sungguh maka akan jatuh kasih sayang Tuhan. Walaupun kita letih pada malam hari tapi tetap Tuhan bangunkan pukul 4 pagi untuk tetap istiqamah solat malam, walaupun hanya tidur selama 1 jam. Waktu itu Tuhan beri kemudahan, setelah kita sungguh-sungguh mujahadah pada hari-hari sebelumnya sebagai suatu ujian.

Rasa bertuhan itu perlu dibawa kemana-mana. Walaupun sukar dan belum berjaya tapi mesti dicuba. Tuhan nilai bukan kerana ibadah, tapi usaha yang istiqamah, sehingga datang rahmat Tuhan. Jika tak berjaya, mohon ampun dengan Tuhan. Tuhan tidak berkata, siapa yang berjaya itu selamat, tapi siapa yang mencoba, kemudian tak berjaya tapi rasa tersiksa, maka akan datanglah rahmat Allah kepadanya.

0 comments:

Post a Comment