I
Maiz bin Malik telah datang kepada Rasullah saw sebanyak tiga kali, meminta agar dia dihukum kerana berzina. Namun Rasullah saw menolaknya (untuk kepastian), sehinggalah dia datang pada kali ketiga, barulah Rasulullah memerintahkan dia dihukum rejam sampai mati.
Rasulullah saw bersabda “Dia telah bertaubat. Jikalau taubatnya dibahagi-bahagikan di antara manusia, nescaya cukup untuk mereka itu.” (Riwayat Muslim dari Buraidah)
II
Seorang lelaki yang bertaubat setelah membunuh 100 orang, meninggal dunia dalam perjalanan untuk berhijrah (berpindah) ke suatu negeri atas nasihat seorang alim. Lalu malaikat rahmat dan malaikat azab berselisih pendapat tentang lelaki itu. Allah menyuruh kedua-dua malaikat mengukur jarak perjalanan lelaki itu dengan negeri yang ditinggalkannya berbanding negeri yang ditujunya. Di dapati dia lebih hampir kepada negeri yang ditujunya hanya sebanyak sejengkal. Maka dia dimasukkan kepada golongan yang diampunkan dosanya.
III
Seorang lelaki telah melakukan suatu dosa. Dia bertanya kepada Ibnu Mas’ud apakah ada taubat untuknya. Ibnu Mas’ud pun berkata, “Bahawa Syurga itu mempunyai lapan pintu. Semuanya terkunci kecuali pintu taubat. Maka pada pintu taubat itu ada seorang malaikat yang menjaganya, di mana dia tidak mengunci pintu tersebut. Dari itu bertaubatlah dan janganlah engkau putus asa!”
IV
Bertaubat bukan hanya untuk orang yang sudah terlajak melakukan dosa. Orang yang hatinya dekat dengan Allah, akan sentiasa merasa bersalah sekalipun tidak buat salah. Sebab itu mereka paling banyak bertaubat kepada Allah. Malah Rasullah saw sendiri yang maksum, bertaubat sekurang-kurangnya 70 kali sehari.
0 comments:
Post a Comment