Thursday, June 11, 2009

MASALAH MASYARAKAT 1: LARI DARI RUMAH

Tuhan kurniakan pada pasangan Othman dan Hawa 13 orang anak. Kehidupan keluarga sederhana ini mula dilanda keresahan kerana dua orang anak mereka melarikan diri dari rumah. Mokhtar, 13 tahun, dan Ali, 11 tahun, tidak pulang ke rumah sudah lebih setahun.

Harus juga diakui bahawa hidup di bandar besar seperti Seremban memang mencabar. Serba serbi memerlukan duit, seperti ungkapan yang biasa diluahkan oleh penduduk bandar, “Nak buang air kecil pun kena bayar 30 sen. Kalau silap buang sampah pula boleh melayang RM500 untuk bayar denda.” Cabaran kehidupan di bandar membuatkan isteri Othman terpaksa turut bekerja. Ini membuatkan sebahagian masa untuk anak-anak perlu dikorbankan.

Peluang dan ruang untuk bersama anak-anak semakin terbatas. Apa yang menghairankan, Mokhtar dan Ali meninggalkan rumah tanpa sebarang pesanan dan tanpa adanya tanda atau isyarat awal, umpamanya krisis atau kurang duit atau kena marah. Sudah berbagai usaha dilakukan untuk mengesan di mana mereka berada. Semua keluarga dan kenalan sudah dimaklumkan termasuk menggunakan khidmat bomoh.

Mengapa tidak menggunakan khidmat akhbar atau laporkan kepada pihak polis? Bukankah rugi dan mensia-siakan umur kerana dua beradik itu meninggalkan bangku sekolah? Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Pasangan Othman dan Hawa lebih-lebih lagi menanggung derita di atas kehilangan dua anak mereka. Namun tetap mempertahankan keputusan tidak mahu melaporkan kepada polis dan tidak mahu menggunakan khidmat media. Alasannya ialah untuk menjaga maruah Othman selaku pemimpin masyarakat setempat, imam dan sekali sekala memberi syarahan agama. Dengan status sosial yang dimilikinya itu walaupun tidak tinggi, sudah cukup merasa aib andainya masyarakat tahu bahawa anaknya lari. Masyarakat pula lazimnya akan menokok tambah dengan cerita rekaan yang dicampur dengan berbagai prasangka negatif.

Panduan yang disarankan kepada suami isteri itu antaranya dinyatakan di bawah ini. Panduan-panduan ini adalah memang diperlukan bagi setiap hamba untuk meningkatkan rasa bertuhan dan rasa kehambaan. Panduan-panduan ini perlu diamalkan bukan kerana hendak mencari anak lari, atau juga bukan kerana lain-lain habuan duniawi, atau bukan ketika menghadapi musibah dan kesusahan. Ianya untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Menjadi orang bertaqwa itulah yang lebih utama dalam apa keadaan sekalipun. Kalau pun tiada sebarang masalah, sifat-sifat taqwa itu tetap menjadi tuntutan utama dalam kehidupan manusia. Ini juga adalah sebagai iktibar, didikan dan hikmah di sebalik kehilangan anak Encik Othman dan Puan Hawa ini. Bertitik tolak dari kesedaran agar Tuhan kembalikan anak-anak, mereka memperoleh sebahagian panduan untuk menjadi orang bertaqwa.

Panduan-panduan yang diberikan ini melengkapi usahausaha lahir yang masih diteruskan.

1. Hendaklah sentiasa berbaik sangka terhadap Tuhan serta menyakini bahawa di sebalik peristiwa yang menimpa itu pasti terdapat didikan, pengajaran, iktibar dan hikmah. Ada maksud baik dari Tuhan biar pun tidak difahami.

2. Perbanyakan taubat terutamanya menghitung-hitung dosa yang lepas, terutamanya dosa dan kezaliman terhadap manusia lain. Mana tahu mungkin ada kezaliman terhadap manusia lain walau pun kecil, Tuhan pandang besar, maka Tuhan datangkan kifarahnya. Kezaliman terhadap manusia lain itu terutama terhadap kedua-dua ibu bapa dan guru. Oleh itu perlu sangat kedua suami isteri ini memohon maaf kepada sesiapa jua yang pernah dizaliminya.

3. Setiap dosa memang dituntut untuk segera bertaubat dan diiringi dengan perbuatan atau amalan menebus dosa. Amalan menebus dosa ini di antaranya berkhidmat kepada ibu bapa untuk tempoh tertentu. Zikir, selawat dan membaca Al-Quran dengan ditentukan jumlahnya serta ditetapkan jangka masa. Yang paling baik ialah membanyakkan sedekah. Di samping dapat menghiburkan manusia, sedekah juga lebih tajam (mustajab) berbanding dengan doa. Maka setiap kali bersedekah, niatkan agar Tuhan kembalikan anak mereka yang hilang itu ke pangkuan keluarga.

4. Istiqamah bangun malam untuk solat tahajjud, solat hajat, merintih, merayu, bermunajat kepada Tuhan. Memohon agar Tuhan ampunkan dosa serta bersihkan hati dari sifat-sifat mazmumah.

Encik Othman dan Puan Hawa berbuat menurut panduan-panduan yang disarankan. Usaha menjejaki anak-anak yang lari itu tetap diteruskan. Hanya satu sahaja dari panduan-panduan tersebut yang mereka belum lakukan iaitu memohon maaf daripada guru. Mereka merasa sukar untuk melakukannya atas dua alasan iaitu tidak tahu apa kesalahan dan kalau tahu pun tentulah sukar pula untuk menyatakan kesalahan.

Dalam soal kesalahan kepada manusia lain, Encik Othman dan Puan Hawa sama saja dengan kefahaman dan tanggapan umumnya manusia. Kefahaman dan tanggapan yang salah iaitu apabila hanya melihat kesalahan di sudut lahiriah sahaja. Sedangkan kesalahan batiniah iaitu sifat-sifat mazmumah jauh lebih banyak dan lebih besar implikasinya.

Dosa-dosa lahir mudah dihitung kerana sifatnya yang nyata dan dapat dilihat. Manakala dosa-dosa mazmumah sifatnya tersembunyi, tidak dapat dihitung satu persatu. Kalau dosa mazmumah itu dihimpunkan semenjak baligh, mungkin sudah tidak terkira lagi banyaknya.

Akhirnya Encik Othman dan Puan Hawa akur tentang dosa mazmumah ini. Mungkin sifat buruk sangka, mungkin mempertikaikan keputusan guru, mungkin meragui akan kebenaran dan ilmu yang diberikan, mungkin iri hati terhadap murid yang kelihatan lebih disayangi oleh gurunya. Mereka akhirnya mengakui memang terdapat dosa mazmumah terhadap guru mereka.

Atas dorongan takutkan Tuhan kerana memiliki mazmumah sekaligus untuk membersihkannya, juga dengan harapan agar Tuhan gerakkan hati anak-anak mereka supaya pulang, mereka tekad untuk menghadap guru mereka untuk memohon maaf.

Di sinilah terbukti betapa perlu kenal Tuhan serta faham kerja Tuhan. Betapa perlunya dalam setiap aspek kehidupan bersandar kepada Tuhan, tidak meminggir dan mengabaikan Tuhan. Kerja Tuhan sentiasa aneh, ajaib dan di luar lojik, sentiasa berlaku tidak seperti yang akal manusia fikirkan.

Selang dua hari sahaja selepas suami isteri ini memohon maaf kepada gurunya, mereka dikejutkan oleh panggilan telefon dari sebuah hospital di Kuala Lumpur. Pihak berkenaan di hospital tersebut memaklumkan bahawa dua orang anak mereka ingin menemui mereka. Hari itu juga mereka bergegas ke Kuala Lumpur. Alangkah gembira bercampur sedih apabila mereka menemui anak-anak mereka di wad hospital. Gembira kerana Tuhan kembalikan anak-anak ke pangkuan keluarga. Sedih kerana anak-anak mereka dalam keadaan kurang sihat. Lebih-lebih lagi sedih kerana anak-anak mereka lari lantaran selama ini mereka terlalu lalai dengan Tuhan, bahkan dalam kebanyakan masa sudah tidak lagi ada hubung kait dengan Tuhan. Dunia hanya semata-mata duniawi yang tidak lagi menjadi ibadah, jauh sekali daripada menambah sifat taqwa. Selama ini `lari`nya hati mereka dari Tuhan dan juga dari guru mereka, Tuhan jadikan anak mereka benar-benar lari dari rumah. Tuhan kembalikan anak-anak mereka setelah hati mereka `jinak` dengan Tuhan dan membaiki hubungan hati dengan guru mereka.

0 comments:

Post a Comment